Selamat Tiba Nur Aqilah
Written by Najibah Mustaffa on 12:38 PMAssalamualaikum w.b.t.
Rindu benar rasanya untuk 'blogging'. Dan, hari ini sudah masuk hari ke-18 saya berpantang. Bermakna anakanda kami - Nur Aqilah sudah berusia 18 hari. Saya tiada akses internet di rumah mak, ini pun mencuri peluang menggunakan laptop abang yang pulang ke Terengganu ketika cuti hujung minggu.
Alhamdulillah, berakhir sudah penantian dalam debaran kami suami isteri menunggu si permata hati menjengah dunia. Syukur dan pujian selayaknya bagi Allah kerana menyempurnakan kelahiran Nur Aqilah dengan begitu baik sekali. Meskipun di minggu-minggu akhir kehamilan, perasaan saya sedikit diduga. Allahuakbar, sudah takdirNYA, Nur Aqilah akhirnya menjengah dunia setelah 41 minggu menghuni alam rahim.
Pagi 21 Julai 2009, usai solat subuh berjemaah dengan suami, saya meneruskan zikir pagi. Sambil mengusap perut, saya berdoa pada Allah agar memudahkan segalanya. Dalam hati masih menggunung harapan agar ada tanda bersalin sebelum saya 'menyerah diri' di HTAA keesokan harinya.
Allahuakbar. DIA mendengar doa saya. Pagi itu juga, lebih kurang jam 7.15 pagi, keluar tanda bersalin dan kami ke hospital. Hasil VE yang dilakukan, bukaan pangkal rahim baru 1cm dan saya dibenarkan pulang memandangkan masih tiada kontraksi berdasarkan CTG yang dilakukan. Sepanjang hari dirumah, saya meneruskan rutin seperti biasa, petang masih sempat membeli belah di Giant.
Jam 12.oo tengah malam, sakit perut sekali sekala mula terasa. Cuba untuk tidur, namun sakit makin kerap, sekitar 10 minit sekali disertai dengan perut yang mengeras. Sehingga jam 4.30 pagi saya gagal melelapkan mata kerana kontraksi, lalu mengejutkan suami untuk ke hospital. Hasil VE kali ini, bukaan sudah mencecah 3cm dan saya ditahan wad.
Begini rasanya kontraksi. VE dilakukan lagi pada jam 11.30 pagi dan kali ini bukaan mencecah 5cm. Saya diminta menyiapkan pakaian bayi dan jam 12.00 tengahari dibawa masuk ke Labor Room.
Hampir 4 jam di LR. Alhamdulillah, suami bersama sepanjang tempoh yang 'memeritkan' itu. Sukar diceritakan bagaimana rasanya 'bertarung' dengan sakit kontraksi sepanjang tempoh tersebut. Apatah lagi tempoh kontraksi yang makin kerap dan lama setelah saya dimasukkan sejenis ubat untuk mempercepatkan kadar kontraksi.
Ketika bukaan sudah mencapai 7cm, saya hampir hilang semangat. Allahuakbar, kalau bersalin sudah begini rasa sakitnya, bagaimana rasa sakitnya mati? Itu yang bermain di fikiran saya sepanjang tempoh tersebut. Terasa tidak mampu lagi bertahan, suami tidak putus-putus memberi semangat. Saya merayu agar diberikan suntikan epidural namun menurut jururawat, epidural tidak boleh diberikan ketika bukaan sudah 7cm. Ada risiko kepada bayi.
Bibir makin lemah mengalun zikir. Saya minta suami bacakan ayat-ayat suci al-Qur'an di tepi telinga. Ya, saya hampir kalah bertarung dengan kesakitan. Air mata sudah mengalir. Suami sekali lagi meyakinkan saya, hanya sedikit masa sahaja lagi permata hati kami bakal menjengah dunia. Tangan saya digenggamnya erat. Terasa secebis kekuatan mengalir dalam diri.
Allah mengetahui kelemahan saya. DIA permudahkan segalanya. Ketika bergelut dengan tahap kontraksi yang makin kuat dan rasanya tidak tertahan, pemeriksaan doktor kali ini mengesahkan sudah masanya untuk saya bersalin. Alhamdulillah, dengan 3 kali teran sahaja, Nur Aqilah selamat dilahirkan.
Syukur pada-Mu Ya Allah. Inilah manisnya bersalin, selepas menempuh perit. Kali pertama mendengar tangisannya, saya menangis. Suami juga hampir menitiskan airmata. Saya tahu, dia juga tidak tahan melihat keadaan saya yang hampir tewas tadi.
Bersalin memang perit, tapi berbaloi! Dia yang dikandungkan selama 9 bulan di alam rahim sudah selamat menjengah dunia. Alhamdulillah, cukup sempurna sifatnya. Lahirnya mengubah status saya dan suami. Kami sudah secara rasminya bergelar ibu dan ayah.
Terima kasih pada semua yang mendoakan. Dan penghargaan buat suami tercinta kerana menemani pada saat getir itu.
Dan, kini saya menjalani tempoh berpantang di Terengganu. Mengurus diri dan anak juga menghadiahkan saya pengalaman baru. Cabaran sebagai ibu telah bermula. Dan, berjauhan dengan suami di saat-saat begini cukup menguji perasaan. Bukan tidak pernah kami berjauhan, di awal perkahwinan dulu kami pernah berjauhan hampir 3 bulan kerana saya alahan dan berehat di Terengganu. Namun, berjauhan ketika adanya Nur Aqilah, diuji perasaan rindu. Benarlah, anak itu pengikat kasih.
Terima kasih Ya Allah, atas anugerah terindah ini. Anak cahayamata pengikat kasih kami.
Najibah
9 Ogos 2009
1.46 pm
Marang, Terengganu.