Di Angka 26 ini...
Written by Najibah Mustaffa on 1:40 PMSelamat tahun baru 1429H! Juga selamat datang 2008. Sebetulnya, saya terasa ralat kerana membiarkan ‘rumah’ saya ini kosong tak diisi, tak dikemaskini. Komitmen kerja di pejabat dan penglibatan dengan Nisa’ tidaklah begitu menjadi punca, yang utamanya kerana saya tidak boleh posting ke blogspot ini dari PC di office, di block. Hati sebenarnya meronta-ronta untuk menulis, saya rindu untuk ’bercerita’. Namun, saya tak punya banyak masa untuk ke cyber cafe selepas waktu pejabat, kerana lazimnya saban hari bekerja, ketika azan Maghrib berkumandang, barulah kaki ini menjejak rumah. Itu pun kalau tiada sebarang mesyuarat di luar. Mesyuarat yang dihadiri selepas waktu pejabat biasanya hanya akan berakhir pada jam 11 atau 12 malam, dan kerapkali juga melarat sampai jam 1 pagi. Dan, sudah pasti bila penat seharian di pejabat, saya lebih suka merehatkan diri terlebih awal. Kumpul tenaga untuk kembali bekerja keesokan harinya.
Hujung minggu pula? Keadaannya hampir sama, mesyuarat, program, kadang-kadang memenuhi undangan kenduri, dan selebihnya saya lebih suka memerap di rumah. Mengurus kembali keperluan peribadi, mengemas rumah, membaca novel atau melayani hobi lama – design menggunakan Adobe Photoshop.
Itu cerita saya mengapa sudah lama blog tak terisi.
Dan, cerita di tahun baru. Desiran angin 2008 / 1429H ini benar-benar membahagiakan saya. Alhamdulillah, Allah masih mengurniakan segala yang baik-baik kepada saya. Keluarga, persahabatan, kerjaya, perjuangan....
Memang sesekali ada kepahitan singgah dalam hidup, dan acapkali juga saya tewas menghadapinya, tapi tewas itu tidak sampai jatuh tersungkur. Ia ibarat hanya tersadung kerana tersepak batu. Saya bersyukur untuk ini. Di saat saya lemah, saya lebih suka menyendiri. Mencari ruang untuk muhasabah diri. Dosa-dosa lampau dihitung-hitung, mengenang ’ibrah di sebalik semua ini. Saya seringkali percaya, Allah ’menegur’ saya dengan menjadikan perasaan saya sebegini tewas. Dan akhirnya, saya akan pulih sendiri. Maha suci Allah yang maha mengerti hati. Subhanallah!
Dan, tahun baru ini membawa saya ke satu lagi takah usia. 26 tahun. Terasa begitu tua dengan angka sebegitu. Mula mencongak-congak, di usia 26 ini, sejauhmana pencapaian diri. Teman-teman akrab yang masih bujang membebel sendiri, ”Kita ni dah 26, tapi tak kawin-kawin lagi!”..
Saya hanya tersenyum. Ahh.. ’Kahwin’. Di usia begini, itulah topik yang paling hangat. Lebih hangat daripada biasa. Itu memang menjadi keinginan semua orang, tapi bukanlah kerunsingan saya ketika menjengah usia 26 ini. Syukur di atas apa yang telah DIA mudahkan bagi saya setakat hari ini. Alhamdulillah
Sebetulnya, di angka 26 ini, saya tidak punyai apa-apa azam, samada yang baru atau untuk diperbaharui. Kerana azam saya adalah pada setiap hari. Makin menginjak usia ini, saya ingin terus diberi kekuatan oleh Allah untuk melayari hidup dengan iman dan taqwa yang makin kejap di hati. Saya tahu, bukan mudah untuk ini. Cabaran umat akhir zaman ini bukanlah sedikit. Cuma, saya perlu terus berdoa. Bukankah doa itu senjata mukmin?
Saya sebenarnya malu untuk terlalu meminta pada Allah. Diri ini banyak kekurangan di sana-sini. Tapi, manusia ini sifatnya perlu bergantung. Dan saya ingin terus berdoa, agar Allah sentiasa mudahkan urusan hidup saya, mengurniakan saya dan keluarga segala yang terbaik, dan pengakhiran nanti juga yang terbaik.
Apa yang Dia anugerahkan kepada saya hari ini, sudah lebih dari cukup. Saya tak rasa kurang apa-apa, saya bahagia dengan kesederhanaan ini. Cuma, apa yang masih terbuku di hati, impian yang saya harap akan tercapai juga suatu hari nanti...
Kembali ke laman ilmu. Saya terlalu rindu untuk kembali berguru.
Kembali menjejakkan kaki ke Haramain. Ya Allah, izinkan kaki ini menjejak lagi ke perkampungan kekasih-MU.
Semoga rindu ini akan membawa saya kembali ke situ....Amin
an_nuwairah
Petaling Jaya
0 comments: Responses to “ Di Angka 26 ini... ”