Written by Najibah Mustaffa on 2:00 PM
“Bila nak update blog?”. Acapkali pertanyaan itu singgah ke telinga saya.Segan rasanya orang datang berziarah, tapi tuan rumahnya tiada di rumah. Hampir 3 bulan saya terputus hubungan dengan dunia internet, usahkan update blog, check email pun tak. Mujurlah suami saya yang memang ‘kaki internet’ sentiasa update saya apa sahaja yang berlaku, terutama update dari blog sahabat-sahabat, atau cerita-cerita terkini.
Terima kasih pada yang sudi berziarah. Insyaallah, kami (err..suami) dah ada laptop sendiri, setelah beberapa lama dilanda ‘demam panas’ kerana laptop ofis suami rosak. Sebelum ni, hanya ada broadband, tanpa laptop – sudah pasti tiada fungsi.
Sebenarnya saya masih sibuk dengan penyesuaian diri di tempat baru, kerjaya baru. Namun, bagi menghargai ‘permintaan’ sahabat-sahabat (dan suami) supaya saya update blog, sedikit rangkuman cerita pendek dan kisah sepanjang hamper 3 bulan saya menyepi.
1ST TRIMESTER YANG PENUH MUHASABAH!
Sebaik sahaja disahkan pregnant (ketika itu usia kandungan 5 minggu), saya melalui satu fasa yang sudah pasti menjadi kenangan manis dalam hidup. Susah payah untuk bergelar ibu!. Fasa alahan yang agak teruk member saya pengalaman dua kali menjadi penghuni wad hospital, alah pada makanan dan minuman, hatta seteguk air yang masuk ke mulut sudah pasti dengan muntah yang agak teruk, dan sepanjang tempoh ‘kronik’ tersebut, muntah 15 kali sehari itu sudah pasti. Alah pada bau-bauan, dan alah pada suami, walaupun dengan hanya bercakap melalui telefon (saya di Terengganu dan suami di Kuantan), saya boleh termuntah. Apatah lagi jika suami bercakap banyak. Dan sepanjang tempoh itu, berat saya menyusut 10kg, satu pencapaian terbaik walaupun tanpa melalui program pengurusan badan!.
Alhamdulillah, ianya telah berakhir apabila masuk 2nd trimester. Syukur, kerana saya tidak diuji seperti emak, yang menempuhi fasa alahan sehinggalah saat melahirkan sepanjang mengandung 6 orang anak!. Namun, apa yang berlaku menghimpun rasa syukur dalam hati saya – muhasabah secara langsung dari Al-Khaliq saya hayati.
Sihat itu tersangat nikmat, dan beribadah ketika sihat itu juga nikmat yang terucap. Saya syukur kembali bersolat dalam keadaan berdiri seperti biasa, boleh mengaji, boleh amalkan ma’thurat, di mana semua itu tak termampu saya lakukan sepanjang tempoh alahan. Solat sekadar mengambil syarat wajib, khusyuk? Sudah pasti amat jarang saya dapat, kerana solat pun dihujung-hujung waktu, dalam bergelut dengan pelbagai rasa tidak selesa dan melemahkan.
Kasih mak ayah, yang tidak pernah pudar untuk anak. Mereka berdua lah yang melayan saya bagai anak kecil, sabar tanpa mengeluh. Ayah sering mengingatkan saya tentang ujian dalam kesakitan itu tanda kasih sayang Tuhan, mak menitipkan kata-kata semangat agar saya terus bersabar. Dan, ‘keperitan’ bergelar ibu menjadikan saya makin mengimani firman Allah : “ Wabil waalidaini ihsaana….” (dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa…”.
Keprihatinan sahabat-sahabat – call, sms, (walaupun jarang saya respons) serta doa membuatkan saya terasa begitu dihargai. Terima kasih!
Dan, sudah pasti, pengorbanan dan pengertian dari suami tercinta, insan paling akrab – berulang alik dari Kuantan – Terengganu hampir saban minggu, sabar dengan karenah alahan saya yang kadang-kadang saya sendiri rasa tak wajar, dan segala-galanya yang tak terucap. Ya Allah, terima kasih kerana menganugerahkan ‘dia’ dalam hidup saya.
Semoga, Allah memberi kesihatan dan kemudahan untuk mengharungi fasa ini untuk 5 bulan mendatang.
SELAMAT TINGGAL KL!
Syukur, Allah memudahkan saya untuk kembali ke sisi suami di Kuantan. Takaful Malaysia saya tinggalkan, setelah hampir 2 tahun 5 bulan berkhidmat. Wajar atau tidak saya meninggalkan Jabatan Syariah dalam situasi sekarang, bukan lagi persoalan. Saya nekad setelah mendapat restu suami dan mak ayah. Namun, rindu itu tetap ada. STMB melatih saya banyak perkara, dan sudah pasti, sahabat-sahabat yang masih berjuang di sana tetap saya ingati.
Saya tidak lagi menghuni Rumah Ajaib – Anjung Zahra’ yang tak sunyi dari pelbagai cerita, karenah dan nikmat ukhuwwah yang membahagiakan. Gadis-gadis manis AZ – rindunya pada kalian!
Dan dream team Nisa’ Malaysia, jarak KL – Kuantan mudah-mudahan tidak menjadi penghalang untuk saya terus memaknakan diri dalam perjuangan ini. Kita laksanakan impian bersama!.
‘KOI’ DAN KUANTAN
Bahagia kembali ke sisi suami, berdikit-dikit membina kehidupan di alam rumahtangga yang baru berusia 5 bulan. Dan bahagia menjadi warga Bandar Kuantan, jauh dari kesesakan dan hiruk-pikuk KL. Kami perlu terus berdoa diiringi syukur yang makin bertambah, agar sentiasa dipandu Allah sepanjang jalan.
SEGALANYA BARU!
Tempat kerja baru, bidang kerjaya yang baru dan segala-galanya baru. Menjadi pensyarah – cita2 sejak sekian lama, menjadi kenyataan. Namun, saya masih dalam tempoh penyesuaian. Tension, penat, cuak sepanjang 2 minggu pertama ini adalah proses biasa. Dorongan, pertolongan dari suami dalam menyediakan bahan-bahan pengajaran dan berkongsi pandangan tentang subjek undang-undang yang diajar, serta setia mendengar laporan harian saya setiap kali balik kerja sudah menjadi terapi terbaik! Terima kasih abang!.