Satu semester yang berlalu..
Written by Najibah Mustaffa on 12:50 PM
“ Puan, boleh jawab paper law hari tu…”. Kata Alauddin, salah seorang pelajar saya untuk subjek Sistem Perundangan dan Pentadbiran Malaysia sambil tersenyum. Puas hati barangkali.
“Alhamdulillah..mudah-mudahan result OK “. Saya membalas juga dengan senyuman.
Sebetulnya, saya gusar, bimbang tentang pencapaian pelajar-pelajar untuk ketiga-tiga subjek yang saya ajar untuk semester ini. Dan semester hadapan, akan bertambah lagi satu subjek. Satu semester yang penuh dengan ‘try’ dan ‘error’.
SEGALA-GALANYA BARU
Apapun, semester ini telah berakhir. Tempoh yang agak mencabar bagi saya, kerana semester ini dilalui dengan keadaan segala-galanya baru.
Tempat kerja yang baru. Saya aman di Kuantan berbanding KL yang penuh sesak yang telah saya tinggalkan.
Bidang baru. Dua tahun saya di sektor korporat, semua itu jauh berbeza dengan bidang yang dilalui kini. Sektor pendidikan terlalu baru bagi saya. Semester yang menguji perasaan, berdepan dengan pelajar-pelajar yang pelbagai ragam. Saya kurang ilmu paedagogi, acapkali tewas mendidik insan!
Mengharungi satu semester dengan pengalaman baru bergelar bakal ibu. Terasa penat dan mengahnya mendaki anak tangga untuk ke kelas, bersengkang mata di malam hari menyediakan nota kuliah, dan macam-macam pengalaman lagi.
Dan, di usia perkahwinan yang masih baru, saya kadang-kadang bergelut dengan perasaan. Tanggungjawab mengurus rumahtangga sebaik mungkin tidak terlaksana, tatkala tewas dengan kepenatan bekerja dalam keadaan diri yang sentiasa sakit di sana-sini sepanjang tempoh mengandung.
ANUGERAH YANG DISYUKURI
Alhamdulillah, semua itu dapat dilalui dengan sokongan suami tersayang. Syukur pada-Mu Ya Allah kerana dikurniakan teman yang memahami dan sentiasa menghulur bantuan meringankan beban.
Teman yang setia mendengar cerita-cerita (laporan harian) saya setiap kali pulang dari kerja. Teman yang tidak mengeluh dan bermasam muka bila saya tidak mampu mengurus rumahtangga dengan sebaiknya. Meskipun saya tahu, jauh disudut hatinya, tentu inginkan rumahtangga diurus sesempurna mungkin. Teman yang tidak banyak songeh soal makan. Sentiasa ‘OK’ untuk makan di luar atau hanya membeli di pasar malam, bila tiba hari-harinya saya tiada daya untuk memasak.
Terima kasih abang, atas pengertian dan bantuan.
KELUAR DARI ZON SELESA
Bergelar pensyarah di kolej swasta ini, bertambah lagi kantung pengalaman. Meskipun dalam hati ini masih berharap untuk mencari destinasi yang lebih baik, demi kepuasan ilmu. Namun, saya syukuri tarbiyyah yang Allah berikan kepada saya setakat hari ini.
Bertemu mad’u yang pelbagai, samada di kalangan pelajar dan pensyarah sendiri. Sebelum ini, saya sentiasa di ‘zon selesa’. Lingkungan saya adalah ‘orang baik-baik’. Yang ada kefahaman agama, dan inginkan kehidupan beragama.
Namun di sini, situasinya berbeza sama sekali.
Berdepan dengan pelajar yang sedang menginjak usia remaja, asyik-mahsyuk dengan budaya couple, masalah sosial yang meruncing, cara hidup yang tiada beza dengan remaja KL, solat entah ke mana…
Acapkali dalam sesi selingan saya di waktu kuliah, memberikan kata-kata nasihat buat renungan mereka, hingga terpacul keluar dari mulut salah seorang pelajar saya…”hmmm, tazkirah lagi!” sambil menunjukkan muka bosan. Pertama kali agak tersentak, namun itulah hakikat yang perlu saya terima, inilah mad’u saya yang sebenar.
Ada juga dikalangan pelajar yang dahaga ilmu agama, dalam keadaan pihak kolej ‘tidak mesra’ dengan program-program keagamaan, mungkin dianggap tiada kepentingan, atau pun mungkin juga bimbang tiada sambutan, datang berjumpa saya bertanyakan soal hukum agama. Itulah penawar bagi saya. Mereka perlu dibimbing, disedarkan.
MASA DEPAN YANG LEBIH BAIK
Saya pernah menyuarakan pada suami:
“ Dulu, company lama, dalam tempoh 2 tahun ayang dapat banyak pengalaman. Bagi training kepada staff, bagi ceramah kepada orang awam, pernah wakil company untuk bentang dalam meeting di Bank Negara, ilmu-ilmu agama bertambah sebab staff sentiasa tanya soalan, buat paper work, buat audit, improve English….bla…bla..”
Suami hanya tersenyum, mengiyakan. Pendengar yang setia.
Itu yang hilang daripada saya. Bukan menyesali keputusan yang dibuat untuk kembali ke sisi suami, meninggalkan kerjaya yang sudah selesa di bandar KL, tidak sama sekali, cuma saya rindu.
Ya, saya merindukan suasana kerja yang mana sepanjang tempoh kerjaya itu, memberikan nilai tambah kepada diri saya. Daripada tak tahu kepada tahu, daripada kurang mahir kepada mahir. Suasana yang mendesak saya untuk memerah otak, mengasah minda, saya sukakan cabaran.
Itulah yang masih saya cari. Doakan saya dipermudahkan, untuk masa depan yang lebih baik.
10 comments: Responses to “ Satu semester yang berlalu.. ”
By Anonymous on May 26, 2009 at 2:11 PM
Huhu.. Syahdunye K.Teh baca posting ni.
Masing2 ade destiny masing2 yg tlh ditentukan Allah terbaik utk kite. W'pun kdg2 kite slalu rase xpuas hati @ rase xcukup, mmg itu selayaknye utk kite, kan..
Baca korang tulis bestla ayat m'cairkn hati:)
By Najibah Mustaffa on May 26, 2009 at 3:17 PM
Kak Teh,
Tu entri meluah rasa. :-)
By Mas on May 26, 2009 at 4:22 PM
kak, jgn dikesal keputusan semalam, teruskan perjuangan, nikmatilah hari2 sekarg, teruskan menuai dan berbakti..besar jasa cikgu cum lecturer ni, terima kasih cikgu
By Hairin Herlina Abdul Halim on May 27, 2009 at 8:24 AM
Mungkin kita rasa keputusan yang dibuat itu membuatkan kita tak puas, namun kita mesti yakin disebalik keputusan yang dibuat dengan tawakal kepada Allah, PASti akan menerima ganjaran yang tidak mampu kita syukuri...
hadapilah dugaan baru ini dengan tabah & berani..Yakinlah Allah sentiasa bersama-sama dengan hambaNya yang sentiasa mempunyai jiwa daie, insyaallah..
All the best to U..
By Najibah Mustaffa on May 27, 2009 at 10:54 AM
Mas,
Kak Bah tidak pernah kesal dgn keputusan yang diambil, tidak sama sekali. Malahan Kak Bah bersyukur dan berbahagia bila duduk disamping suami. Cuma, kadang2 rasa tidak puas dalam pencarian ilmu dan pengalaman. Namun, tak bermakna bidang ini langsung tidak ada makna pada kak bah.
Hairin,
Atas keyakinan pada apa yg Allah aturkan itulah, saya belajar menyintai apa yg sedang saya lalui kini. Saya bersyukur kerana apa yg telah sy tinggalkan dulu, Allah anugerahkan saya kebahagiaan membina rumahtangga, dekat dgn suami, itu lebih bermakna dari segala-galanya.
By kmai on May 27, 2009 at 4:43 PM
najibah: sedikit sebanyakpun kmai rasa regret resign dari government, tetapi..kita tgk ke dpn...yg dah lepas tu..apo nak di kato..yg ada di depan mata skrg, hakikatnya sangat membahagiakan...May Allah blees us...
By kmai on May 27, 2009 at 4:45 PM
typo : blees ..= bless
By paracetamol on May 27, 2009 at 11:44 PM
salam kak bah....
7 weeks to go!!!
excited!!! xsbr tggu insan bru nak lahir..
By Muna 'Izzah Fadzil on May 28, 2009 at 9:41 AM
kat company lama tu, termasuklah rindukan akak ye jeeb? heehe..
kngan kita yang terindah di takaful.
simpan baik2. :)
By Najibah Mustaffa on May 28, 2009 at 12:36 PM
To Kak Mai:
Yup. Apa yg berlalu, biarkan berlalu. Saya tak regret pun, cuma tu lah..sesekali angin lalu, teringat kenangan2 lama..hehehe..amin. mudah2an. Takpe kak mai, saya sentiasa percaya pada rezeki yg Allah bg,kalau niat kita ikhlas kerana-NYA. Tempat seorang isteri adalah di sisi suami. ye tak? :-)
To Sarhanah:
Nor! Miss u much...study ok? kim salam fadhillah ngan ina junior yek..take care
To Kak Muna:
Yup, kenangan kita kat takaful mmg saya takkan lupa. Bersama kakak2 yg sporting sangatlah membahagiakan. miss u sis!