Wahai yang bernama lelaki...
Written by Najibah Mustaffa on 4:51 PMWahai yang bernama lelaki…
Cerita 1:
“ Tahu tak pinah (safinah) dah meninggal? “.
Tanya mak ketika kami selesai menikmati makan tengahari. Sungguh berselera saya mengadap menu ’air tangan’ mak hari itu, nasi putih berlaukkan sotong bakar berempah, ikan goreng sumbat, salad dan sambal belacan.
”Innalillahi wa inna ilaihi raaji’un....bila? Kenapa? ”. Tanya saya. Terkejut. Seingat saya arwah masih muda, mungkin sebaya kakak saya. Cantik orangnya. Telah berkahwin dan dikurniakan 3 orang cahayamata.
Mak mula bercerita. Rupa-rupanya arwah sudah lama sakit. Cuma saya yang tidak tahu, disebabkan pulang ke kampung hanya sesekali. Saya tidak begitu mengenali arwah secara dekat. Menurut cerita mak, arwah sudah lama hilang penglihatan, dan telah terlantar di hospital berbulan-bulan lamanya akibat penyakit ’misteri’. Dan untuk menguruskan jenazah beliau, pihak hospital yang memandikan dan sebagainya, bukan keluarga beliau.
Dan apa yang menyedihkan saya, rupanya penderitaan arwah dan sakit ’misteri’ itu ada kaitan dengan virus yang paling ditakuti oleh kita semua – dijangkiti dari suaminya, bekas penagih. Masyaallah! Al-Fatihah.
Cerita 2:
” Najibah, permohonan zakat akak hari tu macam mana? ” Tanya Kak A pagi tadi.
” Belum lagi, tengah proses untuk dapat approval SAB ”. Jawab saya ringkas. Pagi ini agak sibuk dengan outstanding task.
Kak A kelihatan murung, sambil bercerita masalah kewangan yang menghimpit. Kerjanya hanya sebagai tea-lady, gajinya tidak seberapa dan menanggung 4 orang anak yang sedang meningkat dewasa.
” Akak ni ibu tinggal..dah 12 tahun dah...”. Kak A mula bercerita. Kisahnya yang sudah ditinggalkan ’suami’. Sudah 12 tahun digantung tak bertali! Hanya sesekali pulang ke rumah, sekadar ’bertanya-khabar’ anak-anak. 12 tahun tidak pernah menghulur nafkah!
”Kenapa tak minta fasakh?”. Saya agak emosi. Telinga saya memang berdesing bila mendengar kisah-kisah penganiayaan lelaki terhadap wanita, lebih-lebih lagi ’suami’ terhadap ’isteri’.
” Rumah yang akak dan anak-anak duduk sekarang rumah dia..nanti kalau bercerai, akak nak duduk mana? Suami akak dah ugut akak...”
Huh!!...Telinga saya tambah berdesing.
Cerita 3:
”Ustazah, boleh terangkan kepada saya tentang lafaz talak secara kinayah? ”. Tanya seorang kakitangan wanita kepada saya melalui emel.
Saya membalas emel beliau dan menerangkan se ’detail’ mungkin.
” Ustazah, apa hukumnya suami menjatuhkan maruah isteri depan keluarga dan kawan-kawannya, dan sering menceritakan hal ehwal dalaman rumahtangga kepada orang lain? ”. Soalan tadi dipanjangkan.
Setelah berbalas-balas emel, barulah diketahui, rupanya wanita ini menghadapi masalah rumahtangga walaupun usia perkahwinan belum lagi mencecah 3 bulan. Tekanan perasaan yang dihadapinya sangat hebat kerana keluarganya sendiri ’memulaukannya’ gara-gara tindakan suaminya yang sering memburuk-burukkannya.
Emosi juga saya ketika itu. Lelaki jenis apa ini? Mengapa berkahwin kalau hanya untuk menganiayai pasangan!
Huh! Memanglah wanita tidak boleh menjadi hakim dalam kes-kes sebegini. Emosi!
**************************
Cerita-cerita yang dipaparkan, dan banyak lagi yang singgah di telinga, atau berlaku di depan mata membuatkan kadang-kadang saya gerun untuk berumahtangga.
Kebanyakkan kes keruntuhan rumahtangga adalah berpunca daripada lelaki iaitu ’suami’. Maaf, saya bukan bersifat feminisme, tapi itulah hakikatnya. Mungkin, lelaki di akhir zaman ini sudah tidak ramai yang ’berkualiti’.
Dan, trend masyarakat kita sekarang, bagi ibu bapa yang ingin mengahwinkan anak perempuannya, antara soalan-soalan yang biasa ditanya terhadap calon suami ialah:
” Kerja apa? ”
”Mahal ke gajinya? ”
” Lawa ke orangnya? ”
Jarang sekali calon lelaki ini di ’soal-siasat’ amal-ibadahnya, akhlaknya, kemampuannya sebagai ’imam’ dan ’pemimpin’ dalam mengemudi bahtera rumahtangga.
Hmm, bila soal ’kuantiti’ diutamakan berbanding ’kualiti’.
Saya tak mahu mengulas panjang. Cuma, saranan buat lelaki yang telah bergelar suami, atau pun bakal menjadi suami, bacalah buku sulung Ustaz Hasrizal Jamil : ”Aku Terima Nikahnya ”.
Mudah-mudahan, ada panduan untuk menjadi suami yang berkualiti, imam yang membawa makmumnya ke destinasi selamat, dunia dan akhirat.
0 comments: Responses to “ Wahai yang bernama lelaki... ”