Cinta Hati
Written by Najibah Mustaffa on 4:15 PM
Ketika di kampus dulu, saya pernah ditanya oleh salah seorang sahabat akrab, apa yang memberi kekuatan kepada saya dalam kehidupan?
“ Mak ayah..” Jawab saya ringkas.
Selain daripada rahmat Allah SWT dan meneladani Rasulullah SAW dalam mengatur langkah kehidupan, itu lah dia dua insan teristimewa yang tidak boleh saya nafikan peranan mereka dalam membentuk siapa saya hari ini.
Mak dan ayah bukanlah sesiapa. Mereka hanya orang biasa. Orang kampung yang pernah merasai peritnya kehidupan sebelum merdeka. Pelajaran tidak begitu tinggi, Mak hanya bersekolah sehingga darjah 6, dan ayah lebih sedikit mampu sampai ke tingkatan 3 di sekolah agama. Sempat belajar bahasa arab, dan boleh serba sedikit bercakap Arab ringkas dengan saya.
Ayah pula hanya membuka bengkel kereta di kampung, dan mak setia di rumah sejak 38 tahun dulu mengurus rumahtangga!
Namun, mereka itulah yang tersangat saya hargai.
AYAH TIDAK PERNAH BERI ’APA-APA’
Menelusuri zaman kanak-kanak sehinggalah remaja, saya memang tidak pernah merasa untuk mendapat ’apa-apa’ daripada ayah. Bukan sekali dua saya cemerlang di sekolah, samada dalam akademik mahupun persatuan, namun tidak pernah sekalipun saya menerima ’apa-apa’ dari ayah.
Pernah ketika di Tingkatan 3 di SMA Marang, saya mendapat markah 100% bagi kertas Bahasa Arab (Subjektif) untuk peperiksaan pertengahan tahun. Ustaz Razak, guru bahasa Arab ketika itu berkali-kali menyemak kertas jawapan saya, cuba mencari satu dua kesalahan, paling kurang ejaan. Katanya, mustahil boleh dapat ’full mark’ bagi kertas subjektif. Tapi keputusan itu kekal, kertas jawapan saya memang tiada kesalahan.
Dan ketika itu juga, saya mendapat nombor 3 teratas bagi seluruh tingkatan 3. Nama saya jadi sebutan guru-guru dan rakan-rakan.
Bila diceritakan kepada ayah, hanya ucapan ’alhamdulillah’ terpacul dari mulutnya seraya mengukir senyuman paling manis. Tiada hadiah, tiada ganjaran. Dan membuatkan saya ketika itu terasa seolah tidak dihargai.
Bila meningkat remaja, saya aktif berpersatuan. Persatuan pilihan ketika itu adalah Pergerakan Puteri Islam dan pada tahun 1999, sebelum tamat sekolah menengah di SMKA Sheikh Abdul Malek Kuala Terengganu, saya menerima anugerah Tokoh Puteri Islam. Dan dalam akademik, saya masih antara yang cemerlang.
Namun, reaksi ayah tetap sama.
Zaman kanak-kanak yang terlalu suka meminta. Masih ingat lagi ketika di Tingkatan 2, saya terlalu ingin memiliki sebuah jam tangan. Seperti biasa, meminta pada ayah tapi tidak dilayan.
Lalu mak yang barangkali kasihan, menggunakan duit saku yang diberikan ayah untuk membelikan jam untuk saya yang berharga RM150, sudah cukup mahal ketika itu.
Ketika di Tingkatan 5, saya pernah meminta kepada ayah untuk membeli sebuah komputer. Bersekolah di SMKA Sheikh Abdul Malek ketika itu, ramai di kalangan kawan-kawan orang ’bandar’. Masing-masing dirumah mereka ada komputer, ada akses internet. Saya ketika itu, untuk menggerakkan ’mouse’ komputer pun terkial-kial.
Masih lagi. Ayah tidak melayan kehendak saya.
Jiwa muda saya memberontak. Kenapa ayah terlalu kedekut!?
MENGINJAK USIA DEWASA
Pergaulan dengan ramai orang ketika menuntut di kampus UM banyak mematangkan saya. Mengenali latarbelakang keluarga orang lain yang pelbagai, dan kadang-kadang begitu complicated menjadikan saya begitu bersyukur.
Penglibatan dalam aktiviti berpersatuan, PMIUM dan PMAPIUM banyak melatih saya untuk menerbitkan potensi diri, terutama dari aspek kepimpinan dan komunikasi.
Dan berjauhan dengan mak, ayah dan keluarga sepanjang tempoh pengajian di UM menjadikan saya seorang yang sangat menghargai keluarga.
Kehidupan di kampus tidak semudah yang disangkakan. Menjadi pelajar UniPerdana banyak memaksa saya untuk merasai kesusahan hidup. Duit pinjaman Yayasan Terengganu terpaksa dicatu, digunakan sekadar keperluan. Ketiadaan kenderaan untuk digunakan menyebabkan saya terpaksa berulang-alik dari kolej ke Akademi Pengajian Islam, ke Perpustakaan mahupun ke mana-mana program dalam kampus hanya berjalan kaki, siang dan malam!
Dan ketika itu, baru saya faham. Mengapa ayah tidak mengajar saya dengan ’kesenangan’ walaupun sebenarnya ayah mampu. Supaya saya tidak ’mua’ (kata orang Terengganu). Supaya saya perlu belajar susah dahulu, dan senang di kemudian.
GURAUAN SEORANG AYAH
Ketika cuti Aidilfitri yang lalu....
” Tak lama lagi, bila kak bah dah kahwin, jaranglah balik ke rumah...” Ayah cuba berseloroh.
Saya yang sedang makan ketika itu menarik muka masam. Saya, anak tengah dalam keluarga memang terkenal dengan sifat manja dan sensitif.
”Apa pulak cakap macam tu?....” Air mata mula bergenang. Hati saya cukup sensitif dengan ungkapan-ungkapan sebegini.
”Betullah, dah jadi isteri orang. Tak apalah, tanggungjawab ayah hanya mengahwinkan anak..yang lain tu tak apalah...”. Ayah tersenyum kelat.
Terus airmata saya meluncur laju. Jarang benar saya menangis. Tapi kali ini, saya begitu sedih.
Saya tidak mahu mereka terasa kehilangan saya dengan sebab saya telah berkahwin!
Pesan ayah ketika bercakap soal calon suami kepada saya:
” Ayah tak kisah orang tu miskin ke, tak lawa ke..yang penting jaga solat, baik akhlaknya...istikharah dulu”
Syukur benar kerana ibu bapa saya bukan materialistik. Alhamdulillah.
PEMBERIAN YANG PALING BERHARGA
Saya membesar dengan mengutip ’ajaran-ajaran’ secara tidak langsung yang ditunjukkan oleh kedua ibu bapa saya.
Sikap ayah yang sangat tegas terutama dalam bab agama, kadang-kadang membuatkan kami adik-beradik kecut-perut kalau terlambat solat. Tarbiyyah itu meresap ke dalam diri saya sehingga kini, ditambah pula dengan pendidikan agama secara langsung di SMA Marang, SMKA Sheikh Abdul Malek dan Universiti Malaya. Mudah-mudahan ianya terus kekal dalam diri ini.
Mengapa saya menulis semua ini?
Jawabnya mudah. Kerana semakin usia ini menginjak dewasa, dan masanya kian hampir untuk saya membina keluarga, terasa benar jasa mereka berdua, tunjuk ajar dan pesanan, memberi saya pedoman untuk menempuh hari-hari mendatang. Dan mengingatkan saya untuk terus bersyukur atas semua ini.
Mak dan ayah, mereka berdua cinta hati
Saya perlukan doa dan redha mereka untuk terus meniti hari-hari mendatang
Mudah-mudahan rahmat dan redha Allah juga terus menaungi saya
Ya Allah, rahmati kehidupan kami sekeluarga.
0 comments: Responses to “ Cinta Hati ”