Bertamu di ‘Taman Syurga’
Written by Najibah Mustaffa on 5:03 PM"Apabila kamu melalui taman-taman syurga,minumlah sehingga puas. Para sahabat bertanya: ”Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan taman-taman syurga itu? Nabi menjawab : "Majlis-majlis ilmu".(Hadith Riwayat At-Tabrani)
Sudah lama jiwa ini tak terisi dengan ilmu.
Sudah lama hati ini tidak diketuk untuk bermuhasabah
Sudah lama nurani ini tidak disuburkan dengan ingatan pada Tuhan
Agak penat sepanjang hari di pejabat. Kerja masih belum mahu surut, malah kian bertambah. Malam ini saya mengambil keputusan untuk tidak kemana-mana. Walaupun sebenarnya ada satu mesyuarat yang perlu dihadiri. Saya memohon maaf pada junior yang beberapa kali menghantar SMS untuk mengesahkan kehadiran.
Setelah seminggu yang padat dengan kerja di pejabat, dan mesyuarat di waktu malam, saya perlu akur pada ketidakmampuan diri. Penat. Saya perlu berehat.
Kebetulan, ramai pula penghuni Anjung Zahra’ ada di rumah. Masing-masing tidak kemana-mana, tidak seperti selalu. Yang tiada hanya faiz yang pulang ke kampung, sempena majlis pertunangan kakaknya, dan Hana, teman sebilik saya yang selalu saja pulang lewat dari pejabat. Beruntung Bank Rakyat ada pekerja yang berdedikasi dan rajin sepertinya.
Kami solat Maghrib berjemaah. Sudah lama tidak berpeluang berjemaah Maghrib. Menghayati syahdu bacaan Shahid yang menjadi imamah, menghadirkan ketenangan buat saya. Terapi buat diri.
Usai Solat Maghrib, Shahid bersuara:
” Ok, kita akan ada sesi tazkirah ye lepas ni, dari kak bah...”
Saya yang sedang melipat sejadah terpinga-pinga. Aii, bila masa pulak saya cakap nak bagi tazkirah.
Segera warga AZ yang memang terkenal suka berbincang tentang ilmu, dan berbahas mengenai isu-isu semasa membentuk halaqah.
Majlis dibuka dengan Al-fatihah, kami berkongsi ilmu.
Shahid memula bicara, dengan mengajak kami menghayati sirah, kisah Rumaisya Ummu Sulaim, isteri Abu Talhah – salah seorang sahabat Rasulullah, yang begitu sabar dengan ujian kematian anaknya. Kata Rasulullah, ’ ketika aku berjalan di dalam Syurga, aku mendengar bunyi tapak kaki, dan itulah Rumaisya...”
Kesabaran yang datang dari iman.
Ummu yang sedang bersiap-siap untuk pulang ke Kedah, sempat juga berkongsi soal ujian dan kekuatan dalam kehidupan. Pengalaman melihat penderitaan orang lain menjadi motivasi untuk kita melihat bahawa masalah yang dihadapi oleh diri sendiri begitu kecil sebenarnya.
Dan Ina Junior juga ingin berkongsi, kisah Perang Mu’tah, yang begitu banyak pengajaran dan pelajaran. Mari berguru dengan sirah.
Saya menyimpulkan majlis tazkirah kami malam itu.
Terima kasih adik-adik yang berkongsi. Sudah lama jiwa ini tidak disuburkan dengan majlis ilmu seperti ini. Dalam kesibukan bekerja, mesyuarat, program, usrah dan komitmen lain, jarang benar kami berpeluang menikmati ’masa emas’ seperti malam tadi.
Tazkirah itu menjadi terapi buat diri. Bertamu seketika di ’Taman Syurga’ ini menghadirkan ketenangan dan memberi sedikit energy pada hati yang akhir-akhir ini sentiasa runsing, sesak. Seperti sesaknya jalanraya KL yang terpaksa ditempuh setiap kali pergi dan pulang bekerja.
Semoga, Allah masih memberi ruang dalam kesibukan ini, masa untuk kita menyuburkan minda dan jiwa dengan ilmu dan muhasabah.
0 comments: Responses to “ Bertamu di ‘Taman Syurga’ ”