Blog: Jangan ia menjadi beban
Written by Najibah Mustaffa on 3:34 PM
Kenapa tulis blog? Soalan ini sering bermain dalam fikiran saya. Sementelah menziarah blog @ laman individu-individu hebat, seperti saiful islam, ustaz zaharuddin dan ramai lagi, terasa benar blog saya tidak berisi. Tulisan mereka bermaklumat dan bermanfaat. Mereka menulis atas nama ‘dakwah’, menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.
Tersentak dengan tulisan dan ‘teguran’ Ustaz Zaharuddin kepada blogger, pemilik friendster, facebook dan macam-macam lagi, “jangan ianya menjadi beban kepada kita di akhirat kelak.”
Ini suatu muhasabah buat diri sendiri. Sebetulnya, sudah lama saya ingin menulis tentang perkara ini, panduan buat blogger, terutamanya yang bergelar muslimah. Dan perkara ini juga seringkali saya bincangkan bersama suami, dan sebagai nakhoda dalam pelayaran bahtera rumahtangga ini, ‘dia’ sering mengingatkan saya tentang etika dan panduan ketika menulis.
Ada yang menulis blog kerana ingin mengabadikan catatan perjalanan hidupnya ke dalam sebuah ‘diari’, tidak kurang yang sekadar mengikut trend terkini dan ada yang menulis sememangnya kerana ingin ‘memberi’, mendidik masyarakat @ mad’u dalam lapangan maya yang kesannya lebih meluas dan efektif berbanding ceramah mahupun halaqah.
Biar apa pun tujuan kita menulis, namun perlu diingatkan tulisan atau catatan itu biarlah berakhlak, gambar-gambar yang dipaparkan biarlah sopan dan menutup aurat, terutama kepada mereka yang bergelar ‘muslimah’, kerana wanita itu ruang fitnahnya lebih besar berbanding lelaki.
Saya ‘takut’ melihat gambar-gambar blogger yang dipaparkan di blog masing-masing. Bagi mereka yang tiada asas agama, mungkin tidak terlalu jelik di pandangan mata. Namun bagi mereka yang dirasakan faham agama dan tahu hukum, gambar dengan ‘pose’ manja, auratnya kurang sempurna, ini sudah pasti membuah dosa. Lelaki yang memandang, menatap dan menghayati keindahan wanita tersebut sudah pasti terdetik perasaan yang tidak sewajarnya dalam hatinya, dan di sini syaitan sudah mula memainkan peranannya lalu berlakulah fitnah.
Begitu juga dengan tulisan atau catatan. Tidak salah berkongsi cerita peribadi, namun awasilah setiap perkataan yang ditulis dan tapislah fakta yang ingin dikongsi, yang mana perlu dan yang mana tidak.
Semua yang ditulis, dan gambar yang di ‘upload’, semuanya ada ‘saham’ di akhirat kelak. Apa yang kita inginkan, saham itu saham yang membawa kita syurga, membantu meringankan azab di barzakh kelak, memudahkan kita di perhitungan mahsyar yang maha luas nanti.
Bukannya ‘saham’ yang menambah beban ketika di soal munkar dan nakir di alam kubur, dan menjerumuskan kita ke neraka yang seksaannya maha dahsyat sekali. Naudzubillahi minzaalik!
Catatan ini peringatan buat diri saya yang sering lupa, dan kalian jua. Semoga beroleh manfaat.
Ya Allah, kami damba redhaMu. Kami berlindung dari kemarahanMu. Ampunkan kami di atas kealpaan kami selama ini.
0 comments: Responses to “ Blog: Jangan ia menjadi beban ”