Najibah's Weblog

Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.

Link Worth

"Say from your heart.."

Written by Najibah Mustaffa on 12:22 PM



" I nak you all semua bercakap benar, walaupun pahit, just say from your heart." Kata-kata kak mas, pengarah Nisa' Malaysia terngiang-ngiang di telinga. Itulah perkataan yang selalu diulang-ulangnya, tiap kali perjumpaan kami.

Ajaib! Orang yang bercakap atau memberi dari hati, kesannya akan terus menusuk ke dalam kalbu si pendengar.

Walaupun kalimah yang terucap di bibirnya hanya sepatah kata, namun kerana ikhlas dan benar dalam berkata-kata, Allah ‘bantu’ dengan menyampaikan hasrat si pemberi terus ke hati penerima. Subhanallah, yang menghubungkan hati-hati, yang mentadbir dan mengarahkan bagaimana hati berhubung.

Dan konsep inilah yang makin sebati dalam diri kami, anak muda yang bergerak dalam Nisa’, menyumbangkan sedikit sebanyak tenaga dan keupayaan yang ada. Meskipun acapkali dihambat cabaran seorang da’ie muda. Rumahtangga, kerjaya, kewangan, keluarga. Semuanya menuntut komitmen yang bukan sedikit. Permulaan ke arah stabil.

Dan, pengajaran ini yang diperolehi ketika bersama Kak Mas dan Nisa’ Malaysia saya kongsikan bersama suami. Sudah banyak kali kami berbincang soal ini. “Bercakap dari hati”. Dan, lahirlah entri “Agar Dapat Ku Sentuh Hatimu”, suara hati suami saya yang digarap dari pesan ustaz abang (Ustaz Zamri).

‘HATI’ DALAM LAPANGAN DAKWAH

Sebagai seorang da’ie, kita berhubung dengan hati mad’u. Mudah sahaja untuk memiliki fizikal seorang mad’u, namun untuk menawan hati? Boleh mengambil masa bertahun-tahun! Sebagai contoh dalam pilihanraya, bukan mudah untuk menawan hati pengundi, bakal YB dan parti yang diwakilinya perlu bekerja keras bertahun-tahun! Namun, usaha keras itu lebih berbaloi kerana hati yang ditawan dalam tempoh yang lama lebih teguh berbanding hati yang ditawan hanya dalam tempoh berkempen, dengan taburan duit, beras, kain pelikat dan t-shirt!

Bukan mudah menawan hati.

Syaratnya, da’ie perlu memberi dari hati, seikhlasnya dan benar dalam percakapan. Bukan sekali dua kita mendengar ceramah, ada penceramah TV, penceramah radio, penceramah surau atau pun penceramah pentas-pentas politik. Tidak kurang juga penceramah yang memegang title ‘selebriti’.

Namun, tidak semua intipati ceramah itu masuk ke hati dan dihayati. Ada penceramah yang siri ceramahnya berdegar-degar, namun ceramahnya hanya didengar oleh kerusi-kerusi dan meja.

Ada penceramah yang tampil dengan pelbagai kisah yang dikatakan bersumberkan sirah, namun tidak dapat dipastikan kesahihannya, mendayu-dayu suaranya bercerita, diasyikkan lagi dengan lenggokan badan dan lirikan mata. Pendengarnya khusyuk mendengar, bukan mendengar untuk mengambil iktibar, mendengar kerana terpaku dengan cara penceramah itu bercerita!

Dan, tidak kurang juga penceramah yang memukau pendengar dengan pakaiannya yang bergemerlapan. Make-up nya ‘sekilo’ bak kata suami saya. Teringat kata-kata Ustaz Pahrol dalam blog beliau tentang penceramah sebegini…”anda murabbi atau selebriti?”.

Begitu juga buat petugas-petugas Islam, ajaklah mad’u mendekati Islam dengan hati yang ikhlas. Kerana sayangkan mereka, kerana inginkan mereka turut bersama-sama kebenaran. Bukan ‘mempergunakan’ mereka hanya semata-mata untuk mendapatkan undi dan kepercayaan mereka.

‘HATI' DALAM RUMAHTANGGA

Hati dalam rumahtangga sepertimana dalam lapangan dakwah, peranannya cukup besar. Rumahtangga yang dilayari tanpa kebersamaan hati, sudah pasti hari-hari yang dilalui hambar dan suram. Dan, rumahtangga yang dilayari dengan terlalu mengutamakan ‘soal hati’, kadang-kadang boleh membawa kepada persengketaan antara suami isteri, mencalar rasa dan membunuh kebahagiaan.

Pesan buat para suami, memberilah dari hati. Nafkah buat keluarga, walaupun terasa beban begitu berat terpikul di pundak, ikhlaslah atas nama amanah. Nasihat yang dititipkan buat isteri dan anak-anak, lazimilah ia dengan perasaan ikhlas. Menegur dan mendidik kerana sayang, kerana amanah, bukan dirasuk nafsu ammarah.

Pesan buat para isteri, memberilah juga dari hati. Tempat kita dalam rumahtangga bukan sekadar menerima. Hayati erti memberi dalam mengurus rumahtangga, menggembirakan hati suami, menjaga makan minumnya, pakaiannya, memelihara maruahnya, menghormati keluarganya. Semua itu bukan sia-sia. Andai ikhlas dan sabar sentiasa menjadi amalan diri, pahala berganda yang tak terhitung difikiran dan tak ternampak dimata telah Allah sediakan.

SIAPA PUN KITA, DI MANA-MANA


Memberilah dari hati. Dan hati itu perlulah bersih, ikhlas dan sentiasa benar.
Orang yang memberi dengan hati yang ikhlas, kesannya akan jatuh terus ke hati si penerima. Jauh ke ruang paling dalam.

Dan, rasanya cukup berbeza dengan orang yang memberi sekadar di bibir, namun hati tidak seikhlasnya memberi. Pemberiannya tawar dan hambar, tidak semanis orang yang memberi dengan hati!

Ya Allah, peliharalah hati-hati kami ini dari karat mazmumah. Agar kami pulang kepada-Mu dengan membawa hati yang sejahtera. Amin.

Related Posts by Categories



Widget by Hoctro | Jack Book
  1. 1 comments: Responses to “ "Say from your heart.." ”

  2. By Muna 'Izzah Fadzil on April 26, 2009 at 10:15 AM

    tq for coming dear. from my heart. :)

Perjalanan hidup ini sebentar cuma. Manfaatkan masa sepanjang usia. Tempatmu sebagai anak, jadilah anak yang solehah. Tempatmu sebagai isteri, jadilah bidadari yang membahagiakan suami. Tempatmu sebagai ibu, berusahalah menjadi ibu mithali mendidik generasi rabbani. Tempatmu sebagai insan..jadilah manusia yang berbakti.. Dan sudah pasti, tempatmu sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakan, sedarilah...KITA INI HANYA DI TARAF HAMBA. Carilah seberapa banyak bekal untuk dibawa pulang..ke sana.

Islamic Calendar