Sayyidul Ayyam
Written by Najibah Mustaffa on 10:15 AM
Jumaat penghulu segala hari. Alhamdulillah, masih dikurniakan kesempatan dan ruang waktu oleh Allah untuk meneruskan kehidupan. Pagi ini saya rajin sikit dari hari sebelum-sebelumnya, sebab tak rasa sakit pinggang seperti selalu. Buat sarapan yang betul-betul untuk abang (Biasanya sarapan ringkas-ringkas je).
Pagi ni, masak nasi pulut gaul nyior, makan dengan ikan cencaru goreng yang mak mertua bagi. Hm, saya makan dengan berselera tapi abang..erkk, macam tak laju je makan. Ingatkan dia tak suka nasi pulut, tapi abang dengan penuh berhikmah jawab, ‘sebab tak de pedas, abangkan suka pedas..’. Agaknya bimbang saya kecil hati kot!.
Peliknya kalau makan nasi pulut dengan sambal pedas!. Saya mengomel. Hmmm, selera dua negeri, yang masih dalam proses untuk serasi. Saya perlu belajar kurangkan gula dan tambahkan pedas dalam masakan!.
Dan….Jumaat memang hari yang paling mendamaikan buat saya sejak dari zaman persekolahan lagi. Ketika itu, saya seronok menanti hari Jumaat kerana hari tersebut merupakan cuti bagi Terengganu, dalam erti kata lain, tak sekolah!
Jumaat juga menyeronokkan ketika zaman remaja saya, kerana setiap pagi Jumaat ada kuliah Tuan Guru Haji Hadi atau lebih dikenali sebagai ‘ayoh chik’ oleh masyarakat setempat. Kuliah yang diadakan di masjid Rusila setiap minggu (seumpama kuliah Tuan Guru Nik Aziz di Kota Bharu) akan penuh dengan manusia yang datang dari pelusuk negeri samada untuk berniaga (Rusila di pagi jumaat akan meriah dengan gerai-gerai jualan yang pelbagai) ataupun mendengar kuliah. Dan, saya sejak dari kecil lagi dididik oleh ayah ‘gi dengor’ (mendengar) kuliah mingguan yang menjadi santapan rohani penduduk setempat, berpuluh-puluh tahun lamanya.
Dan, kini..Jumaat masih lagi menyeronokkan bagi saya. Sebabnya, Sabtu dan Ahad adalah hari cuti. Dan, yang lebih penting, hari Jumaatlah satu-satunya ‘hari emas’ dalam seminggu bagi mereka yang menggemari rancangan-rancangan agama di TV, seperti saya. Bermula Khamis malam Jumaat, saya akan ‘conquer’ channel TV untuk menonton Forum Perdana Ehwal Islam @ TV1 dan Halaqah @ TV9. Juga Kes Syariah @ TV9. Walaupun banyak kali bertukar channel ke Keliwon @ TV3 kerana meraikan suami..hehehe...
Malam tadi, Forum Perdana Ehwal Islam membincangkan tajuk ‘Zikrullah’ di mana salah seorang panelnya adalah Ustaz Nazri Chik dari BIMB. Dan, diskusi Halaqah mengenai ‘Keluar Rumah’.
Dan pagi Jumaat, segar jiwa bila dimulakan dengan rancangan Tanyalah Ustaz @ TV9. Saya suka program soal- jawab agama macam ini. (Teringat pengalaman di Takaful Malaysia dulu, menjawab macam-macam soalan agama dari staff). Pagi ini, bersama Ustaz Zahazan membicarakan tajuk 'Musibah'.
Jika berkebetulan Jumaat bercuti atau cuti umum, saya suka tengok rancangan Al-Hidayah @ TV3, Usrah @ TV9 dan mengikuti siaran langsung Solat Jumaat dari Masjid Negara. Tapi, ini jarang-jarang dapat sebab jumaatkan hari bekerja. :-)
Dan, petang ini, akan ada rancangan Al-Kuliyyah @ TV3, dan sebelah malamnya pula akan ada Semanis Kurma @ TV9. Erkk, selalunya rancangan ini akan di ‘block’ oleh suami saya (atas sebab-sebab tertentu..hehehe).
Bagi orang yang tak suka tengok TV seperti saya (melainkan Cerekarama @ TV3..hehehe), rancangan agama seperti ini ibarat siraman air hujan, yang menyubur jiwa yang kadang-kadang gersang dari peringatan dan muhasabah. Sekarang dah terlalu jarang dengar kuliah di masjid atau surau, tak seperti di zaman kampus dulu, ada sahaja program ceramah dan tazkirah, paling tidak pun usrah. Saya merindukan semua itu.
Syukur ya Allah, atas nikmat Jumaat yang membahagiakan.
0 comments: Responses to “ Sayyidul Ayyam ”