Sesekali diuji begini
Written by Najibah Mustaffa on 1:04 PM
Petang semalam, saya dan suami bertolak jam 4.30 pm dari Marang, Terengganu menuju ke Kuantan. Sepanjang perjalanan yang agak sesak dengan kereta, fenomena biasa di musim cuti sekolah dan kenduri kahwin, kami sempat menyinggah di Kelulut untuk membeli keropok. Salah satu tempat yang famous kerana keropoknya yang sedap, tapi layanannya..'out!!'. (Ini berdasarkan pengalaman saya dan keluarga setelah berkali-kali singgah membeli keropok di situ). Mungkin kerana 'sedap' dan 'tersohor', ramai juga yang singgah membeli walaupun dilayan oleh anak-anak gadis yang mukanya masam mencuka dan kurang budi bahasa.
Setelah hampir 15 minit abang beratur, barisan masih tidak bergerak, saya mengajak abang meneruskan perjalanan. Tak jadi beli keropok. Bimbang terlambat sampai di Kuantan kerana kami telah berjanji dengan Hairin dan Nizam, sahabat dari KL untuk bertemu, memandangkan jalan yang agak penuh dengan kenderaan bertali arus.
Persinggahan kedua di Merchang untuk membeli buah naga (dragon fruit) sebanyak 3 kg, petronas untuk mengisi minyak, masjid jamek kerteh dan akhir sekali di Kijal, rumah kawan abang yang baru melangsungkan perkahwinan.
Maghrib, kami masih di Kijal. Badan sudah terlalu penat, lebih-lebih lagi abang, matanya layu - mengantuk. Untuk 'offer' diri memandu, saya kurang berani. Dalam keadaan letih, dah sejak akhir-akhir ini sering dilanda pening tiba-tiba, memandu di waktu malam dalam keadaan saya 'silau', saya enggan mengambil risiko.
Sampai di Kuantan jam 9.30 malam. Niatnya hanya untuk menyimpan sotong segar sebanyak 5kg yang dibeli ke dalam peti ais, dan terus keluar untuk bertemu Hairin yang lama menunggu kami.
Masuk rumah, ruang tamu bersepah!! Pasu yang diletakkan potpouri, kertas-kertas, beg, majalah semuanya berselerak. Rumah kami dipecah masuk!. Pintu dapur terbuka.
Naik ke tingkat atas, keadaannya lebih teruk, almari pakaian, drawer, kotak-kotak semuanya diselongkar oleh sang pencuri.
Apa nak dikata. Ada beberapa barang dan duit yang hilang. Namun, syukur kerana barang-barang berharga lain tidak dibawa lari sama. Dan syukur juga kerana kejadian itu ketika kami tiada di rumah. Gerun juga membayangkan jika rumah dipecah masuk ketika kami ada di rumah, diacukan senjata dan diapa-apakan! Seperti yang sering dibaca di dada akhbar.
Alhamdulillah 'ala kulli haal. Cuma terasa penat untuk mengemas seluruh rumah yang bersepah.
Sesekali diuji begini.....
0 comments: Responses to “ Sesekali diuji begini ”