Wrap-up
Written by Najibah Mustaffa on 10:56 AMAssalamualaikum w.b.t
Setelah 3 hari 'berpisah' dengan laptop hubby kerana dihantar ke kedai, hari ini saya kembali ke dunia internet tanpa batasan. Terasa hari-hari di pejabat kembali bersemangat. Namun, idea-idea untuk entri blog yang sebelum ini sudah ada dalam kepala, hilang entah ke mana. Sekadar mencatatkan beberapa rangkuman cerita.
"Government-in-waiting"
Hujung minggu ini (5-7 Jun 2009) akan berlangsung Muktamar Tahunan PAS yang ke-55 di Stadium Melawati, Shah Alam. Saya teringin sangat untuk menghadiri muktamar yang dijangka sengit pada kali ini, tapi hari ini, saya dan suami akan pulang ke Terengganu bersempena cuti sekolah dan memenuhi beberapa undangan kenduri di sana.
Apapun, saya mengucapkan tahniah kepada sahabat-sahabat yang komited menjadi AJK pelaksana muktamar kali ini. Tentu penat bukan? Teringat pengalaman menjadi AJK untuk muktamar yang lepas, berkampung di Pejabat PAS Jalan Raja Laut untuk menyiapkan buku muktamar.
Dan, selamat bermuktamar kepada seluruh perwakilan. Semoga diberikan ilham dan idea yang bernas dalam setiap usul, cadangan dan perbahasan ke arah merealisasikan PAS sebagai "Government-in-Waiting". Insyaallah.
"Tetamu itu rahmat"
2 hari lepas, ketika di office, hubby call.
"Abang Li nak datang rumah petang ni, tumpang tidur ". Abang ipar saya sekeluarga dari Bera datang berkunjung ke Kuantan.
" Haaa? Macamana ni?". Saya cuak, dan terkejut. Bukan tidak senang dengan kehadiran tetamu, cuma memikirkan keadaan rumah yang tidak berapa terurus sejak beberapa bulan ini, dan juga memikirkan menu apakah yang perlu saya masak untuk santapan tetamu nanti?.
Abang ambil saya di kolej jam 5.30 petang. Singgah di Tunas Mart untuk beli bahan-bahan memasak. Sudah hampir 3 minggu peti ais kami tidak 'berisi' kerana saya tidak lagi memasak untuk makan malam sejak abang decide untuk diet. Dan, sampai rumah, terkocoh-kocoh kami mengemas rumah. Alhamdulillah, abang memang rajin mengemas. Dan saya memulakan tugas di dapur menyiapkan menu makan malam kami, nasi ayam.
Terkial-terkial abang memotong ayam. Opss! (sepatutnya off record..). Saya sejak mengandung 'geli' untuk memotong ayam. Erkk!
Alhamdulillah, bantuan abang banyak memudahkan saya. Apa yang penting KERJASAMA. Menerima tetamu itu membuka pintu rahmat, apatah lagi tetamu itu keluarga suami. Bukankah memuliakan keluarga suami itu akan membahagiakan suami?
Mudah-mudahan ada berkatnya.
" Check-up @ 34 weeks "
Semalam, check-up dan ujian ke-3 OGTT (minum air gula) selesai. Lega sebab dah takkan ada minum air gula dah selepas ini. Seksa nak menghabiskan segelas air glukos yang pekat dan 'manis leting' (kata orang terengganu), walaupun berperisa!.
Check-up kali ini, HB saya turun. Check-up lepas 10.8, ditanda dengan dakwat biru (bermakna melepasi paras berjaga-jaga), tapi semalam turun ke 10.0 dan kembali ditanda dengan dakwat merah! Mungkin kerana saya agak culas makan ubat. Iberet folic yang disarankan doktor hanya diambil di kala teringat.
Dan, berat saya juga menurun! Musykil. Tapi memang di akhir-akhir kehamilan ini, saya sudah kurang selera makan. Mungkin sebab penat. Makan hanya ketika lapar, dan bila baby menendang-nendang perut tanda isyarat dia kelaparan. Mungkin!.
Sebulan setengah sahaja lagi. Ini sememangnya fasa cemas dan mendebarkan bagi saya walaupun seboleh mungkin cuba diusir dari hati. Fasa ini saya memerlukan sokongan moral dari insan sekeliling, perlu kepada emosi yang tenang, dan yang penting mental perlu kuat agar tidak terpengaruh dengan 'cerita-cerita seram' pengalaman orang lain bersalin.
Ya Allah, mudahkan segalanya.
"Tahniah!"
Tahniah kepada sahabat saya, Tipah dan Suhaimi yang baru menimang cahayamata sulung pada tanggal 2 Jun yang lalu. Juga Nitrah (kak andak) pada 3 Jun. Kedua-dua lelaki. Alhamdulillah, bertambah lagi ummat Muhammad.
Dan juga, tahniah kepada sahabat-sahabat yang telah dan akan melangsungkan perkahwinan. Junior saya di UM, Yati Bashir pada 31 Mei, Nasir Sulaiman, Zainal dan Zurina pada 6 Jun ini.
Barakallahu lakum.
"Free Insurance Coverage"
2 hari lepas, saya mendapat panggilan dari AIA Insurance. Caller tersebut memaklumkan saya mendapat tawaran perlindungan insurans kemalangan diri PERCUMA selama 3 bulan dari company insurans tersebut kerana saya merupakan salah seorang pengguna kereta keluaran PERODUA. Mungkin kerjasama antara Perodua dengan AIA.
Caller tersebut meminta pengesahan saya untuk penerimaan. Saya menjawab .."No, thanks". Walaupun berulang kali dia menyebut 'ini percuma. Puan tak perlu bayar apa-apa....".
Walaupun PERCUMA, tapi ia tetap bukan pilihan saya. Kerana, orang Islam wajib memilih yang halal dan di mana pilihannya sudah ada, Sistem Takaful atau Insurans Islam.
0 comments: Responses to “ Wrap-up ”