Sayu Hati Seorang Ibu
Written by Najibah Mustaffa on 8:29 AM
28 September 2009: Saya sudah kembali bekerja setelah dua bulan cuti bersalin. Dan, dengan hati yang cukup berat Aqilah ditinggalkan bersama pengasuh, yang juga jiran sebelah rumah.
Ini bukan suatu keputusan yang mudah untuk dibuat. Jika diikutkan hati, ingin rasanya berhenti kerja. Namun kekangan kewangan masih belum mengizinkan saya untuk menjadi surirumah sepenuh masa. Bayaran kereta, pinjaman pendidikan dan pelbagai perbelanjaan wajib diri saya setiap bulan rasanya tidak wajar dibebankan kepada suami. '
Kali pertama berpisah, hati sebak mendengar tangisan dan rengekan si sayang ibu. Bukan hanya kerana sedih berpisah, lebih daripada itu, memikirkan serasikah dia dalam jagaan orang lain? Mampukah orang lain menjaga dia sebaik ibu dan ayah? Akan renggangkah dia dengan ibu dan ayah? Cukupkah perhatian diberikan kepadanya? Dan..apa yang menjadi kebimbangan besar saya dan suami…adakah persekitarannya baik untuk perkembangan rohani dan jasmaninya?
Tiada lagi masa 24 jam bersama si manja ini. Hanya malam dan hujung minggu!. Malam yang terhad untuk bermain-main dengan si anak, dan ibu ayah pula sudah penat setelah bekerja seharian.
Masih terbayang renungan matanya pada hari pertama ketika saya menyusukannya setelah pulang dari kerja. Dia merenung mata saya dengan renungan yang sedih. Saya bercakap-cakap dengannya, memujuk hati saya (dan juga dia), meskipun saya tahu bayi yang baru berusia 2 bulan masih belum memahami percakapan orang lain, namun saya yakin emosinya dapat merasakan sesuatu. Dia merengek dan bersuara dengan nada yang sedih..saya memujuk lagi…dan akhirnya saya turut sama menangis.
Ketika menulis catatan ini (di hari ke-3 Aqilah di rumah pengasuh), hati saya masih sedih, sebak dan sayu. Airmata yang bergenang di tahan-tahan. Sering diingatkan pada diri, saya perlu jadi ibu yang kuat dan tabah. Saya tidak boleh kalah dengan perasaan. Ini cabaran yang perlu dihadapi oleh ibu bekerja. Hanya dalam doa yang dipanjatkan kepada rabbul jalil, agar si permata hati ibu dan ayah ini, sentiasa selamat dalam jagaan-NYA. Dijauhkan daripada sebarang keburukan…dan sentiasa dipelihara rohaninya agar membesar dalam iman dan taqwa.
Dan kini…saya mengerti perasaan ibu-ibu yang telah menghadapi situasi ini lebih dahulu daripada saya!.
30 Sept 2009
11 Syawal 1430
3 comments: Responses to “ Sayu Hati Seorang Ibu ”
By Mas on September 30, 2009 at 9:14 AM
Mas bacapon rasa sayu je.. be strong kak, byk2 doa...
By Anonymous on September 30, 2009 at 3:10 PM
tAK LAMA LAGI, Mas pun akan hadapi benda yang sama. Moga kalian tabah
By Hairin Herlina Abdul Halim on October 1, 2009 at 8:27 AM
mcm tu jugaklah saya rasa masa terpaksa tinggalkan Muaz di rumah selepas 2 bulan bercuti..
takpe, lama2 nanti awk akan biasa..
tunggu aqilah besar skit, boleh call dr opis..
Muaz pun dah pandai call Mama di opis..hehehe..:) bessssttt...:)