Najibah's Weblog

Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.

Link Worth

Nur Fatimah, Perginya Bersama Cinta

Written by Najibah Mustaffa on 11:58 AM

9 bulan 'bersahabat' sejak di alam rahim, hanya 3 bulan 18 hari bersahabat di alam dunia.
Saya merindui pertemuan ini.

Usai solat subuh kira-kira jam 5.50 pagi ini, hati saya terdetik teringatkan Nur Fatimah. Terasa ingin menghantar SMS kepada Khadijah bertanyakan perkembangan. Namun saya tangguhkan kerana Nur Aqilah terjaga untuk menyusu. Kepenatan hampir 2 minggu tidur sekitar jam 1-2 pagi membuatkan saya terlena sekali bersama Nur Aqilah.

“ Salam. Putri kami, Nur Fatimah telah kembali ke rahmatullah kira-kira pukul 6.20 pagi tadi – Ramadhan Fitri & Khadijah “.

Innalillahi wa inna ilaihi raaji’un.
Rupa-rupanya ingatan saya pada Nur Fatimah di subuh hari menjadi salam terakhir dia buat saya. Mungkin ketika itu, dia sudah dalam perjalanan menuju Allah.

Berita yang diterima benar-benar menggoncang rasa. Walaupun sudah menjangkakan begitu akhirnya penderitaan Nur Fatimah, sejak doktor mengesahkan bahawa otaknya mengalami kecederaan yang serius dan kadar mortaliti yang rendah. Dan, apabila 2-3 hari sebelum ini Khadijah memaklumkan bahawa degupan jantung dan tekanan darah Nur Fatimah semakin merosot.

Saya tidak mampu menahan airmata yang mengalir. Menatap wajah Nur Aqilah menambah rasa sedih dan sebak yang bertandang.

KHABAR YANG MENGANGGU EMOSI
" Kak Bah, NF (Nur Fatimah) di hospital. Tadi tiba-tiba nangis kuat dan terus lemah."

Longlai saya membaca SMS yang diterima daripada Khadijah tengahari itu. Dan malam itu, saya menerima SMS lagi daripada Khadijah yang mengatakan Nur Fatimah telah dimasukkan ke ICU Hospital Putrajaya kerana tidak boleh bernafas.

Selama dua minggu dia terlantar di hospital, selama itulah emosi saya terganggu. Hampir saban waktu teringatkan Nur Fatimah. Dan, dalam setiap solat saya, tidak putus doa dan harapan buat si comel ini. Hampir saya setiap hari saya bertanyakan khabar Nur Fatimah daripada mamanya.

Ada harinya, keadaan Nur Fatimah membimbangkan. Ada juga harinya, berita yang datang sedikit melegakan. Antara kebimbangan untuk menerima hakikat sebuah pemergian nanti, saya tetap tidak putus doa dan harapan. Masih munajat pada Tuhan, agar disembuhkan permata hati sahabat akrab ini, agar dia kembali mengukir senyuman paling manis buat mama dan babanya.

Namun, doa kami akhirnya dijawab Allah dengan berita pemergiannya. Itulah yang terbaik buat dirinya.


BERAKHIRNYA SEBUAH PERKONGSIAN

Nur Aqilah dan Nur Fatimah sebaya. Nur Fatimah menjengah dunia 18 hari lebih awal daripada Nur Aqilah. Kehadiran mereka berdua yang mengeratkan lagi hubungan persahabatan yang terjalin antara kami sejak 10 tahun.

Bermula ketika kami sama-sama disahkan mengandung, di saat-saat akhir ketika hampir bersalin, dalam tempoh berpantang, perkongsian kami segala-galanya tentang permata hati kami ini. Hampir setiap hari, siang dan malam.

“NF”, ringkasan kepada Nur Fatimah digunakan ketika kami berhubung melalui SMS. Terlalu banyak kenangan saya dan Nur Fatimah. Apatah lagi kami sekeluarga baru sahaja bertemu Nur Fatimah 3 hari sebelum dia dimasukkan ke hospital, ketika kami tumpang bermalam di rumah Ustaz Ramadhan & Khadijah tempohari.

Masih terbayang keletah Nur Fatimah, kuatnya dia mengangkat kepala, gelak-tawa kami suami isteri melihat Ustaz Ramadhan ‘bersembang’ dengan Nur Fatimah. Kata saya pada Khadijah, Nur Fatimah nanti akan jadi macam baba, pandai berceramah.

“ Fatimah nanti jadi penceramah jangan tabarruj tau!”. Kata saya sambil memeluk Nur Fatimah.

Khadijah hanya tersenyum. Senyuman bahagia seorang isteri dan mama yang baru menyambut ulangtahun pertama perkahwinan mereka pada 12 Oktober yang lalu.

PUNCA YANG MASIH MISTERI
Sehingga kini, cause of death Nur Fatimah masih menjadi misteri. Kesan gegaran yang menyebabkan kecederaan serius pada otaknya masih belum dapat ditentukan dari mana datangnya, di mana dan bagaimana. Ada yang membuat andaian mengatakan itu kecuaian pihak nurseri, namun Khadijah menafikannya.

Kata beliau pada saya beberapa hari yang lalu, pemilik nurseri beberapa kali datang melawat Nur Fatimah dan beliau bersumpah bahawa tiada kejadian yang tidak diingini berlaku kepada Nur Fatimah sepanjang di nurseri.

“Shaken Baby Syndrome” juga boleh menjadi punca gegaran otak, di atas sebab yang pelbagai.

GALAU HATI SEORANG IBU
Kata Khadijah, mereka suami isteri tidak perasan bahawa sebelum kejadian, Nur Fatimah agak pasif, kurang minat menyusu dan kadangkala menangis dan merengek-rengek. Bagi ibu yang pertama kali menimang cahaya mata, sudah tentu perubahan ini kadang-kadang tidak disedari.

Sejak Nur Fatimah sakit, hati saya tidak senang. Saya menjadi ‘tidak yakin’ meninggalkan Nur Aqilah di rumah pengasuh. Bimbangkan Nur Aqilah yang tidur dalam buaian, bimbang berlakunya “Shaken Baby Syndrome”, bimbang tentang segala-galanya.

Namun, kata Khadijah lewat perbualan kami di corong telefon beberapa hari yang lalu:

“ Hantar nurseri ke, pengasuh ke, atau dalam jagaan sendiri, musibah boleh berlaku di mana-mana. Yang penting kena tawakkal. Yang jaga dia adalah Allah..”

Antara sifat Khadijah yang sangat saya kagumi. Berlapang dada dalam setiap urusan.

YA ALLAH, KIRIMKAN KETABAHAN BUAT MEREKA
Nur Fatimah telah pergi menuju Ilahi. Dan, dia sudah tentu berbahagia bersama bidadari-bidadari Syurga yang bersiap sedia menanti kehadirannya.

Sehingga saat ini, saya masih belum kuat untuk berkata apa-apa pada Khadijah. Bimbang tidak mampu mengawal emosi. Hanya doa yang dapat diteruskan, sepertimana kelaziman saya sejak Nur Fatimah sakit. Semoga Allah mengirimkan kekuatan dan ketabahan buat mereka sekeluarga.

Saya tahu dan cukup mengenali Khadijah, seorang insan yang sangat sabar dan tenang. Di sebalik kesedihan yang mencengkam rasa, saya tahu dia dan suami redha dengan ketentuan Ilahi ini. MMS yang dihantar oleh Kak Mastura pagi tadi, gambar Khadijah sedang membacakan yasin di sisi tubuh Nur Fatimah yang terbujur kaku, dapat saya rasakan ketenangan Khadijah. Tenangnya sepertimana menyambut berita pemergian ayah beliau, seminggu selepas majlis pertunangan beliau dan Ustaz Ramadhan.

SYURGA ITU TERLALU MAHAL HARGANYA
Di kala ini, saya menginsafi hebatnya ujian yang diberikan Allah buat mereka. Mengimani bahawa kita ini hanya di taraf hamba yang sentiasa layak diuji. Bukan mudah bersabar atas ujian sepahit ini. Benarlah Syurga itu terlalu mahal harganya.

Ya Allah, pinta kami padaMu, Tuhan sekalian alam, bukan untuk dikecilkan ujian yang bertandang, namun cukuplah dibesarkan jiwa untuk menghadapinya dengan iman.

HIKMAH DI SEBALIK KEPAHITAN
Segala yang berlaku pasti ada hikmah. Namun hanya jiwa yang sabar dan redha sahaja dapat melihat hikmah itu dari kacamata orang yang beriman.

Sejak Nur Fatimah dimasukkan wad, medan Facebook, blog, emel, SMS dijadikan penghubung kepada ramai sahabat yang ada diantaranya sudah lama tidak berhubung. Semuanya ingin mengetahui perkembangan Nur Fatimah, dah saya yakin, lewat setiap sujud akhir kami dalam solat, mendoakan Nur Fatimah agar segera sembuh.

“Fatimah dah glamour macam baba!”. SMS saya pada Khadijah setiap kali menerima pertanyaan dan respon sahabat-sahabat yang begitu banyak di Facebook dan blog tentang Nur Fatimah.

“ Ha’ah, kecik-kecik lagi dah glamour..”. Balas Khadijah kepada saya.

Sekadar bergurau, dengan harapan meredakan sedikit gusar di hati Khadijah ketika itu.

NANTIKAN MAMA DAN BABA DI PINTU SYURGA.
Tidak dapat saya bayangkan air susu yang masih mengalir di badan Khadijah. Ketika Nur Fatimah sakit, Khadijah menyuarakan kerinduannya untuk menyusukan Nur Fatimah, memeluknya.

Dan, kerinduan itu akan tetap tinggal menjadi rindu yang tidak pernah padam. Hanya 3 bulan 18 hari mama dan baba sempat menumpahkan kasih buat Nur Fatimah. Pada titisan airmata yang mengalir, ada pahala yang besar daripada Allah buatmu sahabat. Tenangmu cerminan iman.

Nur Fatimah, kami merelakan pemergianmu. Pemergianmu di hari adinda Nur Aqilah genap 3 bulan. Allah yang Maha Pengasih telah mentakdirkan yang terbaik buatmu.

Nur Fatimah sayang. Pergimu bersama cinta mama dan baba, juga kami yang menyayangimu. Damailah dikau di sana. Nantikan mama dan baba di pintu Syurga. Al-Fatihah.

Wajah mulus ini akan tetap diingati dan dirindui..sampai bila-bila.

** “Aqilah, kak Fatimah dah tak ada. Ibu sedih sangat..”


22 Oktober 2009
12.04 pm
Kuantan



Related Posts by Categories



Widget by Hoctro | Jack Book
  1. 7 comments: Responses to “ Nur Fatimah, Perginya Bersama Cinta ”

  2. By honey744 on October 22, 2009 at 12:44 PM

    Perginya juga di ulang tahun kelahiran ustaz fadzli ke 30. Bergalau hati ini antara sedih dan gembira.

    Andai Jibah sms Dijah, khabarkan bahawa di luar ini, ramai yang mendoakan ketabahan Dijah dan ustaz Ramadhan.

    Dan sebagaimana yang akak kenal Dijah (walaupun tak rapat mana), dia seorang yang tenang. Hiba terasa di hati...

  3. By Anonymous on October 22, 2009 at 1:17 PM

    sedih dan sebak rasa...

  4. By Anonymous on October 22, 2009 at 4:07 PM

    tiba2 rasa sebak..moga Allah kurniakan ketabahan...

  5. By Fadhlina on October 22, 2009 at 4:24 PM

    Sedih sgt2 jeeb...
    tadi baru lepas pergi lawat almarhumah dgn kak muna & kak ani (br blk dr jakarta)...
    dijah & ibunya sgt2 tenang..
    sempat pegang dahi fatimah.. sejuk sgt.. tp riak wajahnya sgt tenang dan berseri... wajah bayi2 yg tak pernah lakukan sebarang dosa kan...

  6. By ina on October 22, 2009 at 8:43 PM

    akak..dari pagi tadi saya tahan air mata ni..lepas baca blog akak, mmg tak bleh tahan dah...menangis terus... :(

  7. By alinalan on October 23, 2009 at 4:51 PM

    Salam. Coretan yg cukup menyentuh esp i.e parent NF cukup tabah menerima ujian Allah ini. Al-Fatihah.

  8. By Najibah Mustaffa on October 26, 2009 at 4:39 PM

    Terima kasih pada yang mendoakan Nur Fatimah dan juga ketabahan buat mama dan baba arwah.

    Jazakumullahu khairan kathiira.

Perjalanan hidup ini sebentar cuma. Manfaatkan masa sepanjang usia. Tempatmu sebagai anak, jadilah anak yang solehah. Tempatmu sebagai isteri, jadilah bidadari yang membahagiakan suami. Tempatmu sebagai ibu, berusahalah menjadi ibu mithali mendidik generasi rabbani. Tempatmu sebagai insan..jadilah manusia yang berbakti.. Dan sudah pasti, tempatmu sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakan, sedarilah...KITA INI HANYA DI TARAF HAMBA. Carilah seberapa banyak bekal untuk dibawa pulang..ke sana.

Islamic Calendar