Najibah's Weblog

Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.

Link Worth

Sahabat, Kita Berkongsi Rasa

Written by Najibah Mustaffa on 10:40 AM

Sepanjang malam, entah berapa kali saya terjaga. Antara lena dan jaga, emosi saya terganggu. Seakan tidak percaya, Nur Fatimah sudah pergi meninggalkan kita. Dalam suram cahaya di tengah malam, saya menatap wajah anakanda Nur Aqilah yang sedang nyenyak tidur. Hibanya hati mengenangkan tidur malam Khadijah kini tanpa Nur Fatimah di sisi. Oh..sukarnya.

Memang saya emosi. Kerana saya dan Khadijah sudah terlalu lama berkongsi rasa. Sepertimana dia yang melalui saat perit ketika melahirkan Nur Fatimah, melalui tempoh berpantang yang sukar, menjalani hidup yang sudah tiada masa rehat apabila bersama si kecil yang acapkali meragam tidak mahu tidur malam...saya juga merasainya!

Itu saya, seorang ibu yang penuh emosi. Kesedihan saya hanya sekelumit cuma berbanding kesedihan yang ditanggung oleh Khadijah dan Ramadhan. Namun, tabah mereka saya kira lebih hebat daripada kita yang memandang.

Saya gagahkan jua diri di pagi Jumaat ini untuk bertanya khabar Khadijah melalui SMS.

" Salam dijah, awak apa khabar?". Ringkas. Saya tidak tahu apa yang harus diucapkan.

Dan, bergenang airmata saya menerima balasan SMS daripada beliau.

"
Terima kasih pada sahabat-sahabat yang tak putus-putus doa dan bertanya khabar selama ini. Alhamdulillah, saya dan suami dapat menerima dengan redha kehilangan puteri kesayangan kami yang tentunya milik Allah jua. Itu yang terbaik buat Nur Fatimah dunia dan akhiratnya. Terima kasih kerana kami semakin mengenal erti sahabat." -Ramadhan Fitri & Khadijah

Sahabat, sabar dan redha kalian cerminan iman.

Saya membalas SMS beliau, dengan airmata yang menitis:

"Dijah dan Ramadhan, sabar kalian cerminan iman. Andai kami di tempat kalian, belum tentu hati seteguh itu. Bukan mudah untuk bersabar atas ujian sepahit ini. Imbalan Syurga di pengakhiran nanti. Merelakan pemergian dia yang dikasihi. Nur Fatimah pergi dengan tenang, menjadi syafaat buat mama dan baba di perhitungan mahsyar nanti, menanti kalian dengan wajah berseri. Dijah, saya sentiasa di sisi awak, untuk berkongsi segala-galanya macam dulu. Dari jauh saya berkongsi emosi dengan awak, turut merasai apa yang awak rasa. Kerana kita ibarat satu jasad yang berkongsi rasa. Perginya Nur Fatimah dari mata kita, namun dia tetap hidup dalam hati kita."

Tenanglah sahabat. Sepertimana tenangnya Nur Fatimah kini di sisi Tuhan. Berakhir sudah deritanya. Tinggal kita yang menanti tibanya masa yang ditentukan Tuhan buat kita, untuk kembali kepadaNYA.

Salam sayang buat sahabat yang terlalu dekat di hati. Berteguhlah.



Related Posts by Categories



Widget by Hoctro | Jack Book
  1. 0 comments: Responses to “ Sahabat, Kita Berkongsi Rasa ”

Perjalanan hidup ini sebentar cuma. Manfaatkan masa sepanjang usia. Tempatmu sebagai anak, jadilah anak yang solehah. Tempatmu sebagai isteri, jadilah bidadari yang membahagiakan suami. Tempatmu sebagai ibu, berusahalah menjadi ibu mithali mendidik generasi rabbani. Tempatmu sebagai insan..jadilah manusia yang berbakti.. Dan sudah pasti, tempatmu sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakan, sedarilah...KITA INI HANYA DI TARAF HAMBA. Carilah seberapa banyak bekal untuk dibawa pulang..ke sana.

Islamic Calendar