Najibah's Weblog

Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.

Link Worth

Tanah Haram itu berkat, mustajab!

Written by Najibah Mustaffa on 12:07 PM

“ Ustaz Nazri selamat menyambut kelahiran bayi perempuannya pagi tadi “

Khabar gembira yang diterima melalui SMS itu saya susuli dengan ucapan syukur pada Allah s.w.t Tuhan yang Maha Hebat. Alhamdulillah, penantian selama hampir 5 tahun setengah pasangan ini untuk menimang cahayamata dimakbulkan Allah. Sungguhpun tempoh yang panjang itu barangkali menjadi ujian buat mereka, kesabaran yang dititip serta doa yang dipanjatkan sepanjang tempoh tersebut sudah pasti tidak sia-sia. Semua itu beroleh pahala. Dan tentunya, kehadiran cahayamata ini lebih-lebih membahagiakan lagi. Tahniah buat Ustaz dan keluarga.

Ingatan saya berputar kepada kenangan sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan Umrah setahun yang lepas.

“ Nak minta enti tolong doakan Ustaz Nazri dan Kak Mai dikurniakan cahayamata..”. SMS sahabat tadi. Alhamdulillah, belum sampai setahun, doa mereka dimakbulkan Allah.

Pemergian saya ke Tanah Suci antara lain berbekalkan buku nota kecil bertulis kiriman doa sahabat dan kenalan, juga saudara mara. Rutin saya di sana, setiap kali selepas Solat Fardhu mahupun Sunat, juga ketika bertawaf dan bersa’ie, satu demi satu doa ini dibaca. Sekadar menyampaikan hajat orang yang memesan. Mudah-mudahan dikabulkan Tuhan.

Kisah 1:

Belum sampai sebulan pulang dari Tanah Suci, emel dari salah seorang kakitangan di pejabat singgah di ’inbox’ saya.

” Ustazah, saya ingin berkongsi kegembiraan dan kesyukuran, alhamdulillah, saya sudah disahkan mengandung. Terima kasih Ustazah tolong doakan saya..”

Alhamdulillah, kegembiraan saya tidak terucap. Sebelum ke Mekah, beliau minta saya doakan di depan Ka’abah, agar dikurniakan cahayamata. Sudah 3 tahun berkahwin, namun masih belum ada rezeki untuk menimang zuriat sendiri, dan kerapkali gugur.

Kisah 2:

” Kak Bah doakan kita dapat permanent kerja tau! ”. Pesan Faza, teman serumah.

Dan Alhamdulillah, hajat dan doa beliau itu dikabulkan Allah baru-baru ini.

Kisah 3:

Pesan dua orang sahabat akrab agar mendoakan jodoh mereka dipermudahkan Allah.

Dan syukur kepada Allah, kedua-duanya sudah dipermudahkan urusan pertunangan dengan pasangan masing-masing, direstui oleh keluarga dan lebih mengembirakan, kedua-dua sahabat akrab ini akan melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat, lebih awal daripada saya.

Kisah 4.

Emel seorang Senior Manager singgah di ’inbox’ saya.

” Minta ustazah doakan saya agar dikurniakan anak perempuan ”

Dan khabar gembira yang saya terima lebih kurang 3 minggu lepas, beliau sedang mengandungkan cahayamatanya. Mudah-mudahan dikabulkan juga hasratnya untuk memiliki anak perempuan.

**

Dan di sana juga, saya panjatkan setinggi-tinggi doa dan harapan pada Allah, agar dimudahkan urusan saya yang satu ini. Dengan linangan airmata, saya mohon agar Dia meleraikan kekusutan yang melanda, merawat hati yang pernah kecewa, membantu saya untuk membuat keputusan bagi memilih antara satu, di antara pilihan-pilihan yang datang.

Dan alhamdulillah, doa itu dimakbulkan Allah. Urusan yang dipermudahkan tidak lama selepas pulang dari menunaikan Umrah, saya serta keluarga menyambutnya dengan penuh kesyukuran. Dan mudah-mudahan, urusan dan keputusan ini akan terus diberkati hingga ke akhirnya.

**

Benarlah, berdoa di Tanah Haram itu berkat, mustajab. Cuma masanya cepat atau lambat. Di depan Multazam, Hijir Ismail, ketika bertawaf dan bersai’e, antara azan dan iqamah, ketika di Raudhah, di pinggir Jabal Rahmah, di masjid-masjid tinggalan Rasulullah dan para sahabat, semuanya itu tempat berkat, dan doanya mustajab.

Alhamdulillah ’ala Kulli Haal, Dan Maha Suci Allah, yang Maha mengerti hati, yang Maha mengabulkan doa.

Subhanallah. Ketika menulis ini, hati ini terasa begitu ingin menziarahi kembali Tanah Suci. Memang ke sana, tidak puas hanya sekali!

Ya Allah, jemputlah aku kembali ke Haramain, sebagai tetamu-MU yang diberkati.

Related Posts by Categories



Widget by Hoctro | Jack Book
  1. 0 comments: Responses to “ Tanah Haram itu berkat, mustajab! ”

Perjalanan hidup ini sebentar cuma. Manfaatkan masa sepanjang usia. Tempatmu sebagai anak, jadilah anak yang solehah. Tempatmu sebagai isteri, jadilah bidadari yang membahagiakan suami. Tempatmu sebagai ibu, berusahalah menjadi ibu mithali mendidik generasi rabbani. Tempatmu sebagai insan..jadilah manusia yang berbakti.. Dan sudah pasti, tempatmu sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakan, sedarilah...KITA INI HANYA DI TARAF HAMBA. Carilah seberapa banyak bekal untuk dibawa pulang..ke sana.

Islamic Calendar