Belum masanya untuk saya pergi...
Written by Najibah Mustaffa on 1:14 PMBERITA GEMBIRA MENGHADIAH SYUKUR
Alhamdulillah, doa keluarga dan sahabat-sahabat dimakbulkan Allah. Tawaran sebagai pensyarah IKIP menghadiah rasa syukur dan gembira dalam hati. Walaupun dengan gaji permulaan yang ditawarkan berkurang hampir 35% daripada gaji saya sekarang, saya berusaha untuk redha. Keluarga yang akan dibina lebih utama. Rezeki dalam urusan Allah.
Plan berlegar dalam kepala untuk menyusun hidup di bandar Kuantan nanti. Along awal-awal lagi menawarkan rumah yang disewanya bersama 2 orang rakan untuk saya menumpang teduh.
Saya juga sudah berkira-kira dengan staff HR untuk semakan baki cuti, dan apakah prosedur untuk saya resign dalam tempoh sebulan ini. Surat tawaran IKIP sudah diterima, saya perlu melaporkan diri 1 Ogos 2008.
Hati bahagia membayangkan saya akan kembali ke bidang akademik yang menjadi kecintaan saya. Rasa rindu pada bidang ilmu terlalu mendalam dalam hati. Rindu untuk meluangkan masa dengan membaca, berdiskusi, dan bersyarah!
Perasaan tenang mengelus diri.
Dan rasa syukur mengisi ruang hati, selepas ini, untuk pulang ke Terengganu hanyalah separuh perjalanan. Sudah tentunya, mak ayah adalah insan yang paling gembira.
Dan saya sudah tidak sabar-sabar meninggalkan bandaraya KL yang padat, sesak dan ‘no life’!. Meskipun warga AZ mula menzahirkan kesedihan mereka sekiranya saya berhijrah ke Kuantan.
Petang Khamis – 3 Julai, surat perletakan jawatan saya sebagai Penolong Pengurus Jabatan Syariah singgah di meja HR.
Pagi Jumaat, baru sahaja membuka PC, panggilan diterima. GM HR ingin bertemu. Sepertimana tekaan saya.
Heboh di HR ’ustazah’ resign. Bertalu-talu soalan singgah, saya hanya senyum. Saya masuk bertemu GM HR dengan hati tenang, setenang pagi Jumaat yang cerah, penghulu segala hari.
“Why you nak resign??”. Kelihatan agak terkejut. Tiada apa yang perlu saya sembunyikan. Berterus-terang itu lebih mudah. Saya sebetulnya sudah menyiapkan diri untuk tidak goyah dengan keputusan yang telah diambil. Biar apa jua pujukan, saya tetapkan hati.
Namun, perkara yang satu ini membuat hati kembali goyah.
“ If you left, what happen to the Shariah? You know, it’s hard to find Shariah people. “
SEBEGINI DALAM DILEMA
Allahu akbar. Inilah perkara yang merunsingkan hati saya untuk meninggalkan Takaful Malaysia. Saya bukanlah berhati kering untuk membiarkan Jabatan Syariah terkapai-kapai tanpa saya. Cukuplah saya yang ‘terumbang-ambing’ tanpa bos selama 3 bulan ini. Pengalaman itu perit, tapi cukup mematangkan.
Rasa tanggungjawab mengisi ruang hati. Pertimbangan saya diminta untuk bersama dengan Takaful Malaysia dalam tempoh 5-6 bulan lagi. Sesak rasanya dada ini. Saya tak pernah rasa sebegini dilema dalam membuat keputusan.
Namun terasa sayang untuk melepaskan tawaran IKIP setelah melalui sesi temuduga yang boleh tahan sukarnya. Jika ditolak, mungkinkah selepas ini akan ada peluang lain lagi?
Macam-macam pendapat dan pandangan yang diberikan oleh sahabat-sahabat, ada pro, ada kontra. Namun, saya lebih terkesan dengan pandangan sahabat baik kesayangan saya, Hairin.
“Jibah, bagi saya, keperluan awak untuk stay di Takaful Malaysia tu dah jadi fardhu kifayah. Kalau tak buat, berdosa!”
Perasaan saya terhenyak.
Ayah juga memberi pandangan yang sama. Nasihat demi nasihat diberikan.Hampir saya menitiskan airmata. Walau bagaimana berkecamuknya perasaan, sebutir kalimah yang keluar dari mulut mak ayah sudah mampu memberi ketenangan.
KEPUTUSAN DIIRINGI TAWAKKAL
Every decision has it consequenses. Itu yang saya belajar. Keputusan yang diambil ini diiringi tawakkal yang tinggi. Pada Allah, saya panjatkan doa, agar Dia memberikan saya ketabahan dan kemudahan untuk meneruskan perjuangan di institusi Takaful pertama ini. Mungkin, belum masanya untuk saya berhijrah, sedikit-sebanyak, khidmat saya masih diperlukan.
Pada tugasan yang terus dipikul ini, saya mengharap rahmat dan belas ihsan Allah. Diberikan kekuatan dan petunjuk, niat saya hanya satu, menjadi salah seorang yang berjuang untuk memperkasakan sistem Mu’amalat Islam. Menyedarkan orang ramai tentang wajib memilih Takaful yang HALAL, dan keluar daripada sistem insurans Konvensional yang sejak lama dulu difatwakan haram. Mudah-mudahan ini menjadi salah satu saham amal jariyah saya ketika bertemu Allah kelak, dan meringankan urusan di alam barzakh.
Mudah-mudahan pengorbanan ini akan diganjar Tuhan. Asalkan niat ini sentiasa diperbetulkan, berjuang kerana Islam, bukan kerana tawaran gaji yang lumayan atau terkemilau dengan peluang kenaikan pangkat.
Sahabat-sahabat, doakan saya. Hakikatnya, keputusan ini bukan mudah untuk saya. Tapi, segalanya pasti ada hikmah bukan?
0 comments: Responses to “ Belum masanya untuk saya pergi... ”