Najibah's Weblog

Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.

Link Worth

Fasa Sibuk!

Written by Najibah Mustaffa on 6:31 PM

Isu perletakan jawatan saya tempohari rupanya belum reda. Ada saja persoalan yang singgah di kotak emel, ataupun terdengar di corong telefon, juga ketika terserempak dengan kakitangan di sini.

Rupa-rupanya ‘cerita’ saya ini menjadi bualan sesetengah pihak. Agak terkesima dengan macam-macam telahan yang dibuat, samada sebab mengapa saya letak jawatan, dan juga mengapa saya tarik balik surat perletakan jawatan.

Hampir 99% tidak benar. Awalnya terasa geram dengan ‘cerita-cerita’ yang disebarkan tanpa merujuk kepada saya. Namun, hati memujuk. Allah s.w.t lebih tahu apa yang ada dalam hati saya.

Mungkin, kesibukan dengan mesyuarat dan pelbagai tugasan yang mengejar deadline menyebabkan ‘cerita-cerita’ yang berlegar di STMB in tidak begitu singgah di hati saya. Seharian di pejabat dirasakan begitu pantas.

Seperti hari ini, walkthrough session untuk produk baru mengambil sepenuhnya masa pagi saya. Tapi alhamdulillah, tugasan review lebih mudah dengan duduk semeja begini. Semua yang terlibat terus memberi pandangan, dan saya juga lebih banyak peluang untuk mengutip pengalaman.

‘Pending task’ beratur panjang, untuk ditandakan ‘done!’ mungkin mengambil masa. Benar, saya sudah ada pembantu. Eksekutif baru – Saifudin sedikit sebanyak meringankan beban saya untuk beberapa tugasan. Namun, banyaknya masih perlu dilakukan sendiri. Saifudin perlu masa untuk expert. Saya pun pernah melalui keadaan itu. Dan, saya perlu bersabar untuk mengajar.

Apapun, kesibukan ini membuat saya seronok. Malas untuk memikir apa orang kata. Hari-hari ada sahaja permata bernama pengalaman dan ilmu yang dikutip, meskipun selalunya ada sahaja insiden yang membuatkan saya ’naik angin’ (semenjak 3 bulan tanpa Ustaz Wan, saya terkadang tewas mengawal emosi) dalam proses tersebut. Semoga, Allah terus mengurniakan saya keseronokan ini, dan kesabaran yang jitu untuk saya memaknakan keberadaan saya di sini.

Dan saya perlu terus berdoa, juga mengharap doa kalian juga, agar situasi di sini kembali pulih.

****

Sibuk di pejabat, sibuk saya juga tertumpu kepada persiapan untuk majlis Oktober ini. Kurang tiga bulan sahaja lagi. Mungkin masih dirasakan lama pada angka, namun terasa sangat cepat dalam keadaan komitmen yang pelbagai sekarang. Alhamdulillah, pulang ke kampung hujung minggu lepas menyelesaikan beberapa urusan yang penting. Pesan pada diri, persiapan rohani juga penting. Masih banyak kekurangan dalam diri perlu diperbaiki, amal ibadah perlu dipertingkatkan. Semoga, redha Allah sentiasa mengiringi perjalanan kami untuk membina rumahtangga yang bahagia dan diberkati.

***

Nisa’? Kesibukan dengan urusan kerja dan peribadi membuatkan hati ini makin menjauh. Berat rasa hati untuk menulis tentang ini. Email dari sahabat-sahabat Nisa’ hanya mampu dibaca sepintas lalu, namun untuk bersuara, terasa malu. Apatah lagi untuk menawar kudrat untuk membantu apa-apa yang perlu. Bimbang tak terbuat. Mesyuarat dan perbincangan juga semakin jarang saya turut serta. Rasa bersalah juga pada Dijah dan Wani bila mengatakan ’tidak’ jika diajak ke mesyuarat selepas waktu pejabat. Kerja-kerja pejabat yang tidak selesai perlu disambung di rumah. Saya bukan workaholic, tapi terpaksa. Semuanya mengejar deadline, siang di pejabat penuh dengan mesyuarat dan perbincangan. Kesannya, kerja tertangguh berlambak untuk diselesaikan.

Malamnya, hanya tinggal saki baki tenaga yang sudah makin lemah.

Dulu, saya minta pengertian dari dua sahabat akrab ini jika tidak mampu untuk memberi komitmen, namun kini, saya sudah penat beralasan. Dan mungkin, mereka juga penat untuk menerima alasan saya. Mungkin lebih baik diam.

Saya cemburu dengan mereka yang mampu mengurus masa, komitmen dan juga perasaan dengan baik! Saya sering mencuba ke arah itu, tapi selalunya tewas. Bila bermuhasabah diri, jaunhya diri ini dalam meneladani Rasulullah s.a.w dan para sahabat.

Entah, penawarnya belum ketemu. Dijah, awak tentu faham apa yang tersirat di sebalik tulisan ini.

***

Ahlan ya Rejab! Musim menebas lalang, membersihkan ladang hati dari semak-samun mazmumah sudah tiba. Sya’aban bakal menyusul, untuk dibuat batas-batas iman dan taqwa, untuk ditabur benihnya di Ramadhan nanti. Mudah-mudahan panjang umur kami untuk bertemu denganmu.

Ya Allah, berkatilah kami pada Rejab dan Sya’aban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.

***

Related Posts by Categories



Widget by Hoctro | Jack Book
  1. 0 comments: Responses to “ Fasa Sibuk! ”

Perjalanan hidup ini sebentar cuma. Manfaatkan masa sepanjang usia. Tempatmu sebagai anak, jadilah anak yang solehah. Tempatmu sebagai isteri, jadilah bidadari yang membahagiakan suami. Tempatmu sebagai ibu, berusahalah menjadi ibu mithali mendidik generasi rabbani. Tempatmu sebagai insan..jadilah manusia yang berbakti.. Dan sudah pasti, tempatmu sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakan, sedarilah...KITA INI HANYA DI TARAF HAMBA. Carilah seberapa banyak bekal untuk dibawa pulang..ke sana.

Islamic Calendar