Najibah's Weblog

Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.

Link Worth

ISLAM Dari Kata Mata Cinta: Kenangan Team Building Nisa’ Sarawak 2008

Written by Najibah Mustaffa on 5:45 PM














Bawah Kanan :Bersama Kak Muna, kakak yang sangat memahami
Atas : Krew Nisa' dalam 'belon'

Moon kitak nak datang lagi, kitak kelakar sama kamek..”. SMS ringkas diterima dari Kamaliah sejurus saya sampai di rumah sewa malam tadi. Beliau, sahabat dan ahli keluarga baru yang ditemui ketika berprogram di Sarawak. Beliau yang merupakan peserta program adalah isteri kepada Ustaz Afnan Faiz, sahabat satu batch dalam PMIUM ketika di Universiti Malaya dulu. Alhamdulillah, kesempatan bertemu dengan pasangan bahagia suami isteri yang baru 4 bulan mendirikan rumahtangga ini membuah ukhuwah.

Dan, misi krew Nisa’ ke Sarawak pada 18-20 Julai 2008 yang lepas menghimpun 1001 kenangan!

Terhampar cinta di awan biru

Terbang di awan biru dalam keadaan cuaca yang sangat baik membentangkan kebesaran Allah s.w.t di depan mata. Subhanallah, maha suci Tuhan yang mencipta langit dan seluruh isinya.

Teringat lirik nasyid ‘Demi Matahari’ dendangan kumpulan Snada, yang diadaptasi dari Surah as-Syams.

Demi matahari, dan sinarnya di pagi hari,
Demi bulan apabila ia mengiringi
Demi siang hari, bila menampakkan dirinya
Demi malam apabila ia menutupi

Demi langit beserta seluruh binaannya
Demi bumi serta yang ada di hamparannya
Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya

Awan gemawan yang memutih, membentuk objek-objek yang pasti ada maksudnya tersendiri. Hamparannya yang maha luas, tidak terjangkau betapa luasnya alam ini. Sangat indah. Tak terbayang indahnya Syurga.

Menghayati kejadian alam yang indah, keluasan yang tak terjangkau di pandangan mata, segalanya terseni. Subhanallah! Menyubur iman pada Si Pencipta.

Bumi Kenyalang Membuah Ukhuwwah

Maha suci Allah yang mengizinkan pertemuan ini. Selain Ustaz Afnan Faiz dan isteri, Ustaz Izwan, Presiden PMIUM suatu ketika dulu (ketika itu, saya di tahun pertama UM) yang kini bertugas di PLS JAKIM, Cawangan Sarawak sempat kami temui. Terpegun juga mendengar ucapan beliau ketika sesi penangguhan program dalam bahasa Sarawak. Fasih! Inilah satu nilai tambah bagi seorang da’ie, memahami dan mampu berkomunikasi dalam bahasa mad’u dengan baik.

Tetap komited dengan tugas dakwah, walaupun dipindahkan dari Putrajaya ke Sarawak. Benih yang baik, walau kemana pun dicampak, akan tetap menumbuhkan pokok, subur dan berbuah.

Kunjungan 3 hari ini juga mempertemukan saya dengan Ustaz Saidi, super senior dalam PMIUM dulu, yang hanya saya kenali nama beliau di dalam email. Alhamdulillah, pertemuan kali pertama yang insyaallah membuah ukhuwwah, kerana kita di atas kapal yang sama. Berkesempatan mengenali isteri beliau, Dr. Aisyah yang turut sama dalam program tersebut.

Benih itu akan tumbuh subur

Menatap wajah bersih adik-adik yang kebanyakannya masih di alam persekolahan dan di IPT mengelus rasa sayu dan syukur dalam hati. Inilah ’permata’ berharga untuk dibentuk, diberi didikan dan kefahaman Islam. Mereka ini ibarat benih, yang diharapkan akan tumbuh subur di tanah bumi kenyalang ini, menjadi ’duta kecil’ yang membawa misi besar iaitu ISLAM.

Tugas mereka berat, kerana ISLAM di Borneo ini agak asing berbanding ISLAM di Semenanjung (orang Sarawak memanggil Semenanjung sebagai ’Malaya’).

’Dream Team’ : Kita Laksanakan AMANAH bersama

” Ada 3 kegembiraan yang saya rasakan sepanjang 3 hari di Sarawak ini. Pertama: Gembira kerana sampai juga di Sarawak buat pertama kalinya, negeri yang sangat indah. Kedua: Dapat bersama adik-adik peserta memberi 1001 kepuasan dan pengalaman. Dan Ketiga: Dapat bersama dengan krew nisa’ Malaysia serapat ini. ”

Ucap saya ketika diminta memberi septah dua kata sebelum berakhir program.

Sejak kebelakangan ini, terasa agak ’jauh’ dengan Nisa’ lantaran komitmen kerja yang agak menghimpit. Namun, pemergian ke Sarawak kali ini ada misi peribadi. Ingin menguatkan kembali semangat yang makin hari makin pudar, dan ingin merapatkan kembali hubungan dengan sahabat-sahabat ’Dream Team’ Nisa’.

Alhamdulillah, Allah mengizinkannya. Semakin terasa kesatuan hati antara kami. Kak Mas, Kak Affaf, Kak Muna, Kak Yder, Kak Erza, Fadh, Wani, Dijah, Aisyah dan Farhana – terima kasih kerana saling memberi semangat dan kefahaman. Semoga hati kita ini sering diluruskan niatnya, perjuangan ini kerana Allah. Dan moga cabaran yang bertali arus, mampu kita hadapi berbekalkan kefahaman.

Terasa kecilnya cabaran

Melihat Kak Mary, Ketua Nisa’ Sarawak yang lincah dan ligat orangnya, meskipun sedang sarat berbadan dua, ke sana-sini menguruskan program menimbulkan rasa insaf di hati saya. Mungkin inilah hasil kemanisan iman dan kecintaan pada perjuangan Islam yang Allah campakkan dalam hatinya, sehingga meletakkan dunia di bawah dagu, akhirat di depan mata. Kesenangan dunia bukanlah apa-apa.

Beliau berasal dari Kelantan, kini bertugas di Sarawak. Namun, komitmen dan kesungguhan beliau pada tugas-tugas dakwah di bumi Kenyalang sangat luar biasa, seolah-olah Sarawak itu adalah tempat tumpah darahnya.

“Bumi Sarawak ini tanahnya sudah mula merekah, menanti hujan dari langit untuk menyuburkan tanahnya, dan menumbuhkan tanaman hijau..”. Kata-kata beliau ketika sesi Group Binding kami terngiang-ngiang di telinga.

Terharu juga dengan pengorbanan pasangan suami-isteri muda, Nini dan Pejo, yang menjemput kami dari Lapangan Terbang Kuching, dan kemudiannya menghantar kami semula ke Lapangan Terbang tersebut. Jarak perjalanan dari Lapangan Terbang ke Telaga Air, Matang (tempat program) bukannya dekat. Mengambil masa lebih kurang 1 jam, dalam keadaan jalan yang dikelilingi hutan dan tidak rata. Dalam keadaan harga minyak yang naik mendadak, sudah tentu perjalanan sejauh itu membabitkan kos yang banyak. Namun, keikhlasan terpancar di wajah mereka. Saya tertumpah kasih dan sayang pada anak mereka – Nur Iman Insyirah yang sangat comel.

Di negeri yang gereja lebih banyak dari masjid, tentunya orang yang berkefahaman Islam sedikit, dan sudah pasti mereka yang sanggup menjadi da’ie di tempat minoriti Islam ini tersangat sedikit. Namun, saya kagum dengan insan-insan berhati waja yang ditemui di Sarawak ini. Walaupun berjauhan dengan keluarga (kebanyakannya berasal dari Semenanjung), mereka kuat semangat.

Ainul dan Nurul Zaini, dua orang junior saya di UM dulu yang ditemui ketika program, turut bersama golongan tersebut. Tugas sebagai pendidik membawa mereka ke Sarawak, sekaligus menyediakan mereka ruang dakwah yang cukup mencabar dan menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.

Sepanjang penerbangan pulang ke KL, saya bermuhasabah diri. Apa sangatlah ujian dan cabaran saya di sini, hanya ujian kesibukan kerja yang masih boleh diuruskan. Hanya ujian penat, hanya ujian perasaan! Astaghfirullah.

Ada kemanisan dalam hati bila menilai semua ini. Dan saya sedar, ujian pasti akan datang lagi, Cuma doa pada Allah, agar hati ini diberi secebis cekal dan tabah, untuk terus istiqamah di atas landasan dakwah.

Warna-warni Sarawak

3 hari tersangat singkat untuk menjelajah dan menghayati keindahan Sarawak. Namun, 3 hari ini cukup untuk membuatkan saya jatuh cinta pandang pertama pada negeri yang kaya dengan seni budaya ini.

Masih terasa kecur lidah membayangkan kelazatan hidangan gulai ’manok’ (ayam), sayur rebung dan ikan terubuk masin (yang diperah asam limau kasturi) yang dinikmati tengahari semalam.

Juga masih terasa ’tergeliat’ lidah ketika cuba-cuba untuk ’kelakar’ Sarawak dengan adik-adik peserta. Adalah beberapa kalimah yang sempat saya pelajari sepanjang di sana.

Pulang dari Sarawak dengan hati yang lapang, gembira. Walaupun tidak sempat membeli-belah, hanya ikan terubuk masin yang sempat dibawa pulang sebagai ole-ole, dan sedikit cenderamata dibeli di Airport, kerana harganya yang agak mahal.

Team Building Nisa’ Sarawak 2008 : Ada kemanisan yang bertamu dalam hati. Penawar yang dicari mudah-mudahan bertemu. Saya mula melihat perjuangan Islam dari kaca mata CINTA, bukan PILIHAN atau TERPAKSA.

Buat sahabat-sahabat Nisa’ Malaysia, semoga Allah memberkati ukhuwwah kita ini, semoga makin teguh ikatan persaudaraan ini, demi amanah dan tugas dakwah yang masih banyak untuk kita lakukan bersama.

Terima kasih team Nisa’ Sarawak yang sangat ’sporting’ dan usaha kalian mengumpulkan peserta seramai ini.

Terima kasih pada Ustaz Izwan yang menyediakan kami segala kemudahan sepanjang di sana. Terima kasih kerana memberi ruang dan peluang untuk Nisa’ berkongsi dengan adik-adik di sana.

Jazakumullahu Khairan Kathiira.

Sarawak, bertambah lagi kantung pengalaman. Moon ada peluang, lain kali kamek datang lagi!

Siiru ’ala barakatillah.

Related Posts by Categories



Widget by Hoctro | Jack Book
  1. 3 comments: Responses to “ ISLAM Dari Kata Mata Cinta: Kenangan Team Building Nisa’ Sarawak 2008 ”

  2. By Hailah Resources on July 30, 2008 at 3:50 PM

    bah.. i miss u..
    memang la aku dah kawen.. tp jgn la dipinggir berita peribadi tntg korang..

    jauh yg kejauhan

  3. By Anonymous on August 1, 2008 at 7:36 PM

    salam
    Nuwairah, apa khabar awak ya. Lama rasanya tidak berkunjung ke AZ. Hanya sempat melawat ke rumah awak di dunia siber ini. Hanya sempat menjenguk di sebalik jiwa awak dalam baris2 kata di sini. Rindu sebenarnya mahu berkongsi cerita. Tapi saya seperti awak juga menjadi semakin kedekut dengan masa dikejar tugasan.
    Moga awak dianugerah tabah dengan keputusan u thabat di takaful.
    Salam.

  4. By Muna 'Izzah Fadzil on August 7, 2008 at 11:10 AM

    salam jeeb,
    kamek suka kita letak gambar kamek dan kitak,,,hehehee
    betoi ka akak tulih ni? apapun2 awak adik yang menyegarkan..hehehhehe

Perjalanan hidup ini sebentar cuma. Manfaatkan masa sepanjang usia. Tempatmu sebagai anak, jadilah anak yang solehah. Tempatmu sebagai isteri, jadilah bidadari yang membahagiakan suami. Tempatmu sebagai ibu, berusahalah menjadi ibu mithali mendidik generasi rabbani. Tempatmu sebagai insan..jadilah manusia yang berbakti.. Dan sudah pasti, tempatmu sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakan, sedarilah...KITA INI HANYA DI TARAF HAMBA. Carilah seberapa banyak bekal untuk dibawa pulang..ke sana.

Islamic Calendar