Kiambang Bertaut
Written by Najibah Mustaffa on 6:33 PM
Syukur pada Allah, Tuhan yang Maha Kasih. Dengan izinNYA, kami bertemu kembali setelah hampir 11 tahun tidak bersua muka, semenjak tamat Tingkatan 3 di SMA Marang. Nurul Syadiah – dalam ingatan saya, teman yang agak rapat ketika di SMA Marang (Tingkatan 1-3). Tempoh manis kami mendaki usia awal remaja. Kemudian, saya berpindah ke SMKA Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu bagi menyambung pelajaran ke Tingkatan 4 dan seterusnya mengambil SPM pada tahun 1999.
Teruja! Itulah perasaan saya ketika dalam perjalanan dari rumah untuk menjemput beliau di Taman Paramount (Nurul, mohon maaf kerana tidak dapat jemput di SME Bank – tempat kursus, bimbang menambahkan lagi catatan sesat di bandar KL!). Dalam hati, berteka-teki, bagaimanakah rupa Nurul sekarang? Wataknya? Apa yang ingin disembangkan nanti?
Masa sebegitu pantas berlalu, sudah pastinya merubah banyak perkara. Dulu kita masih bersifat keanak-anakan, riang ria mendaki tangga usia remaja. Dan kini, berada di tahap akhir usia remaja, dan sudah berkira-kira untuk melangkah ke alam dewasa, menamatkan zaman bujang yang masih ringan tanggungjawab, ke alam rumahtangga yang ketika ini mengundang gusar dalam hati. Mampukah dipikul tanggungjawab isteri dan ibu mithali?
Alhamdulillah, ukhuwwah kami masih seperti dulu. Walaupun sebegitu lama tidak bertemu, kami tidak canggung. Terima kasih Allah, kerana menghubungkan hati-hati ini kembali.
Membaca blog beliau http://narumihayashida.blogspot.com, saya tersenyum sendirian. Teman saya ini memang dianugerah Allah ingatan yang kuat. Satu persatu cerita di zaman awal remaja kami dibangkitkan, ada antaranya yang masih ada dalam memori, walaupun hanya samar-samar, dan sebahagian besarnya telah hilang dari ingatan saya!
Satu kerugian yang besar bukan? Saya akui, inilah kelemahan ketara saya, gagal mengingat sesuatu untuk tempoh yang lama. Apatah lagi kenangan di zaman persekolahan yang tidak begitu lekat dalam ingatan saya. Mungkin kerana ketika itu, saya hanya melalui fasa hidup yang telah Dia aturkan buat saya, bukan menghayatinya. Soal persahabatan, hanya sedikit nama-nama sahabat yang masih diingati namanya serta wajahnya, selebihnya..Kabur!
Hanya terbayang dalam ingatan, seorang Najibah yang pemalu, tidak banyak cakap dan tekun belajar. Memang saya di zaman persekolahan di tingkatan 1-3 agak pasif.
Faktor nama “Najibah” (Yang Cerdik) itu mungkin ada berkatnya, namun selebihnya, saya kuat belajar kerana saya perlu usaha lebih daripada orang lain untuk pandai!. Sedikit sebanyak cerita Nurul mengingatkan kembali akan nama-nama insan yang pernah hadir dalam hidup saya suatu ketika dulu.
Sebetulnya, saya terasa sangat kehilangan atas memori yang ‘lost’ dari simpanan saya ini. Oleh sebab itulah, setiap perkara yang dilalui hari ini, saya hayati, dan segalanya disimpan kejap dalam fikiran dan juga hati. Bimbang rugi lagi!
Nurul – terima kasih kerana tak putus asa membina kembali jambatan ukhuwwah. Kalau bukan kerana Nurul yang menjejak saya, belum tentu kami kembali bertemu. Bukan saya tidak menghargai persahabatan, tapi terkadang, malu untuk memulakan, selepas sekian lama ianya ditinggalkan.
Apapun, didoakan berkat dan redha Allah menaungi perjalanan hidup kita sahabat. Mohon maaf atas segala kekurangan andai sepanjang tumpang berteduh di Anjung Zahra’, terkurang layanan dan perhatian. (Masih rasa bersalah meninggalkan si tetamu di rumah kerana ada mesyuarat yang perlu dihadiri).
Di depan sana, masih jauh perjalanan untuk ditempuhi. Iman dan taqwa perlu kejap dalam hati.
“Fatazawwaduu Fainna Khairaldzaaadittaqwa...”
(Berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah TAQWA)
Najibah
Pejabat – 6.36 pm
0 comments: Responses to “ Kiambang Bertaut ”