Menekuni Hikmah Sebuah Perkahwinan
Written by Najibah Mustaffa on 12:00 PMAqad yang disempurnakan oleh suami telah menjadikan saya seorang isteri, menantu, ipar dan ahli baru dalam keluarga suami. Sebulan yang berlalu, dalam tempoh penyesuaian diri dengan tanggungjawab dan amanah yang bertambah, hati ini terus menekuni hikmah di sebalik sebuah perkahwinan, berlandaskan syariat dan bersendikan adat.
Syukur seorang isteri
Begini rasanya apabila telah sempurna sebahagian agama. Bersolat jemaah dengan suami menghadirkan tenang yang sukar diucapkan. Hati mudah diulit khusyuk.
Dan, berdepan dengan tanggungjawab baru bukan mudah. Zaman bujang dan berkeluarga jauh berbeza. Tanggungjawab dan tugas sebagai suri rumahtangga berganda. Memasak, membasuh, mengemas dan pelbagai lagi tugas menjadi rutin sepanjang 2 minggu bercuti selepas kenduri.
“Setiap Detik Dalam Percintaan”
“ Setiap detik dalam percintaan “. Tagline baru saya selepas berkahwin bila ditanya oleh sahabat-sahabat, terutama teman Anjung Zahra’ bagaimana rasanya setelah berumahtangga. Rasa ingin tergelak bila tagline tersebut diulang-ulang, dan dijadikan modal untuk mengusik saya dan suami.
Tag itu bukanlah bermaksud ‘gedik’ atau mengada-ngada, tapi sebagai manifestasi indahnya bercinta selepas kahwin. Pertemuan saya dengan suami sudah lama, kami satu kuliah ketika di UM, namun tidak pernah bertegur sapa. Pasca graduasi, kami bertemu kembali dan tidak lama selepas itu, mengikat janji untuk mendirikan istana kasih yang diredhai Ilahi.
Ketika tempoh setahun pertunangan, fokus kami hanyalah untuk mengenali keluarga masing-masing, berjumpa pun sekali sekala atas urusan, itu pun bersama keluarga dan sudah pasti, faktor jarak dan komunikasi yang terbatas (kami yang membataskannya) tidak memungkinkan kami untuk mengenali hati budi masing-masing dengan lebih dekat.
Tunang saya (ketika itu) di Kuantan, dan saya di Kuala Lumpur. Tidak timbul istilah ‘bercinta’ sepanjang tempoh pertunangan kami. Yang ada hanyalah doa yang sentiasa kejap dalam hati, dalam setiap munajat pada Allah agar dipermudahkan urusan perkahwinan kami dan diberkati.
Dan hanya setelah sempurna aqad, sah diijabkabulkan sebagai suami – isteri, kami seperti dalam tempoh orientasi. Baru saling ingin kenal mengenali antara satu sama lain. Dan inilah yang saya maksudkan ‘setiap detik dalam percintaan’. Segalanya bermula hanya selepas kahwin.
Alhamdulillah, syukur kami pada Allah, atas batasan dan pantang larang yang digariskan sebelum berkahwin, rupanya memaknakan erti perkahwinan ini.
Kasih mereka tetap di hati
Sekalipun berkahwin, kasih pada ibu dan ayah tetap tak berubah. Mungkin cuma situasi sahaja yang tidak lagi seperti dulu. Saya cuba memahami perasaan kedua ibu bapa yang mungkin masih ‘berat hati’ melepaskan anak mereka ini ke pangkuan seorang yang bergelar suami.
Getar suara mereka di hujung corong telefon mengiyakan perkara ini. Jika dulu, setiap bulan pasti saya akan pulang ke kampung, tapi kini mungkin tidak lagi sekerap itu. Kampung saya sudah bertambah!
Dalam tempoh penyesuaian ini, saya perlu banyak belajar dan bersabar. Seringkali mengingatkan pada diri, jangan lepas dari pergantungan dengan Allah. Masih banyak yang perlu ditempuh.
Pertemuan Menyubur Ukhuwwah
Ucapan terima kasih dan penghargaan saya dan suami kepada semua sahabat dan kenalan yang sudi hadir meraikan hari bersejarah kami, sama ada di Marang, Terengganu ataupun Jengka, Pahang. Ada yang sejak sekian lama tak bertemu, majlis ini melerai rindu. Syukur pada Allah atas nikmat ukhuwwah dan pertemuan ini.
Buat sahabat-sahabat akrab dari ‘rumah ajaib’ Anjung Zahra’ (bak kata ummu), Rena dan Shahid yang paling awal sampai ke rumah saya, menyiapkan hiasan bilik pengantin, Mas, Ummu, Wani, Faiz, Hana, Hikmah, Huda, Ina Senior dan Nor. Jasa kalian dalam membantu kak bah dalam banyak perkara sangat-sangat dihargai. Tak terucap dengan perkataan betapa terharunya diri ini bila melihat wajah-wajah manis ini, yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk meraikan majlis perkahwinan saya.
Juga khusus kepada Zurina, yang sanggup mengambil cuti dan datang daripada Johor Bharu.
Istimewa buat pengantin baru, Khadijah. Terima kasih kerana memenuhi undangan. Us. Ramadhan, terima kasih kerana mengizinkan isteri yang baru seminggu dikahwini untuk bermusafir ke Terengganu menyaksikan detik ana diijabkabulkan. Semoga Allah melimpahkan mawaddah wa rahmah dalam rumahtangga kalian berdua.
Buat yang hadir di Marang,
1. Marliana dan Suami dari KL
2. Kak Jid, Suami & anak yang cute dari Dungun, Terengganu
3. Aimi Nabihah – anak usrah saya ketika di UM dulu datang bersama adiknya
4. Kak Ani – Pengarah NISA’ Terengganu
5. Mat Ayob, Isteri dan anak – Sahabat satu batch di UM yang kini menjadi tauke kedai emas 6. Syukri, Rusni dan anak mereka – sahabat seperjuangan di UM
7. Hairin & Nizam – sahabat paling istimewa dari KL
8. Mastura dan Us. Hairudin (Abuya) – sahabat seperjuangan di UM, Mas, ana hargai kesungguhan enti untuk datang kenduri ana walaupun enti sedang sarat mengandung...
9. Kak Aqim, sahabat dari SMKA Sheikh Abdul Malik dan UM
10. Sahabat-sahabat Jabatan Syariah dan Undang-undang, APIUMKL - Rahmat, Naimah, Zaidi dari Nilai, Negeri Sembilan, Jaamat, Nordin
11. Heri; juga sahabat suami saya yang turut sama hadir.
Buat yang hadir di Jengka,
1. Sahabat Nisa’ Malaysia, Kak Mas, Kak Yder, Kak Affaf, dan kehadiran istimewa Mak Zah @ Ustazah Azizah – mantan Ketua DMPP dan anak beliau, Teh
2. Prof. Madya Dr. Siti Mashitoh, ’tok guru’ saya ketika di UM hadir bersama keluarga beliau dari KL
3. Nazirah Alias @ Achik – teman seperjuangan di UM bersama adik beliau
4. Saifudin dan Adree – teman sepejabat
5. Ustaz Nazri Chik, Kak Mai dan Najiyya yang comel – kehadiran yang sangat dinanti.
6. Ustaz Azmi dan Kak Kilah – teman seperjuangan di UM
7. Rosidi, sahabat JSU yang datang dari Terengganu
8. Che’ Da, K. Teh, Mama Jiah dan K. Intan dari KL
9. Azlina Nekman, junior saya di UM dari Jerantut hadir bersama suami beliau sebagai tetamu paling akhir
10. Juga sahabat-sahabat suami yang saya memerlukan sedikit masa untuk menghafal nama-nama dan mengenali mereka. J
Hadiah dan Rezeki
Teringat sebuah hadis qudsi yang mafhumnya, barangsiapa yang berkahwin kerana Allah, dijamin rezekinya. Alhamdulillah, rezeki selepas berumahtangga datang mencurah-curah. Hadiah daripada sahabat handai dan saudara mara datang dalam complete set untuk kami memulakan hidup baru.
Rice cooker, water purifying, toaster, table fan, dinner set, vacuum cleaner, tea set, drink set, comforter, set periuk, pengukus, cermin, jam dinding, buku, album gambar, kain pasang, kain batik, kain pelikat dan pelbagai hadiah lagi.
Terima kasih atas segalanya. Doakan kami sentiasa dalam keberkatan, dilapangkan urusan dan dimurahkan rezeki.
Najibah
Petaling Jaya
17 Nov 2008
1 comments: Responses to “ Menekuni Hikmah Sebuah Perkahwinan ”
By paracetamol on November 18, 2008 at 1:08 PM
uhukk..uhuk..
meaningful sunnguh post nih..
berkat redha Allah, kak bah da hamil dlm tempoh yg cept..TAHNIAHHH