Audit Manusia vs ‘Audit’ Allah
Written by Najibah Mustaffa on 10:03 PM
Pernah berdepan dengan pengalaman diaudit oleh auditor organisasi anda bekerja? Bagi yang pernah, tentu faham benar betapa kelam kabutnya kita bila akan diaudit!
Pertama kali berdepan pengalaman audit ialah ketika menjadi pembantu penyelidik di Universiti Malaya sekitar tahun 2006. Kemudiannya ketika berkhidmat di Takaful Malaysia, pernah kami menerima kunjungan audit dari Bank Negara Malaysia dan minggu ini, saya (dah hampir semua pensyarah dan kakitangan) kelam kabut menyiapkan dokumentasi untuk Lawatan Kualiti daripada UTM Kuala Lumpur isnin ini.
Semuanya perlu diperincikan, diteliti dan memenuhi piawaian. Itu hanya audit yang berkala, bukannya setiap hari.
SETIAP HARI KITA ‘DIAUDIT’
Pernahkan terfikir bahawa dalam kehidupan, kita juga diaudit? Bukan berkala, bahkan setiap hari, setiap masa! Dan auditor itu bukan calang-calang, tiada satu pun tidak terekod, segalanya dicatat dan dibuat penilaian.
Itulah tugas malaikat raqib dan ‘atid, ibarat auditor dalam kehidupan seharian kita. Solat harian kita diaudit, adakah solatnya menepati waktu atau mungkin dihujung-hujung waktu? Itu dimasuk dalam catatan mereka. Tentunya lagi parah bagi mereka yang sama sekali tidak menunaikan amalan pertama yang akan dihisab itu.
Bagi yang bersolat, penilaian mereka tidak sama. Bagi yang khusyuk, sempurna solatnya mengikut rukun akan diberi markah lebih. Bagi yang solat, tetapi khusyuk entah ke mana, hatinya lalai, sudah tentu markahnya berkurang.
Begitu juga dalam urusan harian kita yang lain, pakaian kita, samada sempurna menutup aurat ataupun tidak, makan dan minum adakah bersumberkan yang halal ataupun tidak, mu’amalah harian, jual beli dan sebagainya, adakah terlibat dengan riba atau tidak, taat dan patuh kita pada suami, hormat dan cinta kita pada kedua ibu bapa, akhlak kita dengan insan sekeliling, amanah kita pada tanggungjawab yang terpikul, segala-galanya diaudit!
Setiap hari bertambah ‘buku catatan’ amalan kita. Semuanya dinilai Allah, entahkan lulus atau tidak untuk ke Syurga. Keputusannya di perhitungan Mahsyar kelak, di neraca al-Mizan. Pada hari yang mana manusia sibuk dengan urusan diri masing-masing.
Namun, Allah itu maha pengasih dan penyayang. Dosa yang tercatat masih boleh ‘dipadam’, selagi mana dosa itu bukan syirik. Dianjurkan istighfar dan solat sunat taubat, selain menambahkan amalan-amalan sunat, bagi menghapus dosa yang sudah tercatat, dan menampung kekurangan amalan-amalan lain.
Subhanallah. Kasih sayangNya melangit luas. Hanya kita manusia yang sering alpa dan buta dalam menilai kehidupan. Yang mana kaca, mana permata. Yang mana sementara dan yang mana kekal abadi.
0 comments: Responses to “ Audit Manusia vs ‘Audit’ Allah ”