Najibah's Weblog

Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.

Link Worth

Al-Mathurat Supplemen Jiwa

Written by Najibah Mustaffa on 9:38 AM


Assalamualaikum w.b.t

Sudah menjadi kelaziman dan 'trend' hari ini, kenduri kahwin serta majlis doa selamat, tahlil dan sebagainya, tetamu akan dihadiahkan dengan senaskah wirid al-Ma'thurat beserta surah Yaasin. Satu perkembangan yang baik, dan saya kira lebih bermanfaat berbanding hadiah sapu tangan berhias, potpouri dan sebagainya. Namun, oleh kerana ianya sudah menjadi 'trend', koleksi al-Ma'thurat dan surah Yaasin sudah banyak dalam simpanan. Apa pun, alhamdulillah.

Al-Ma'thurat; Saya hanya mengamalkannya ketika belajar di Universiti Malaya Nilam Puri sekitar tahun 2000. Meskipun saya telah mengenali apa itu Al-Ma'thurat sejak awal lagi apabila kerap kali melihat mak dan ayah membaca 'buku' tersebut yang tertulis 'Al-Wazifah Al-Kubra' di hadapan cetakannya.

Menjadi penghuni bumi tarbiyyah selama hampir dua tahun, satu kenangan yang teramat manis buat saya pastinya, melazimi bacaan al-Ma'thurat selepas solat subuh dan asar berjemaah sudah menjadi makanan jiwa buat kami. Masih teringat ketika Minggu Haluan Siswa (MHS), kami semua diwajibkan menghafal wirid-wirid al-Ma'thurat dan akan ditasmi'e (didengar bacaan dan hafalan) oleh kakak fasi.

Terkial-kial saya menghafal dan memfasihkan bacaan tersebut dek kerana tidak pernah menjadi amalan, sedangkan ramai sahabat-sahabat dari sekolah agama tersohor seperti KISAS, hanya membaca al-Ma'thurat sambil memejam mata!

Sekadar mengimbau kenangan lama.

Dan hari ini, saya ingin mencatatkan beberapa keutamaan membaca al-Ma'thurat untuk kita hayati dan amalkan, Insyaallah. Catatan ini sebagai peringatan untuk saya juga, saya kadang-kadang ter 'miss' membacanya.

PENGERTIAN DAN KEUTAMAAN AL-MA'THURAT

1. Al- Ma'thurat merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dan As-Syahid Imam Hassan al-Banna (pengasas Ikhwaanul Muslimin) telah menyusun semula wirid-wirid tersebut.

2. Wirid, doa, zikir dan istighfar dalam Al- Ma'thurat ini akan memantapkan jiwa di samping memiliki keutamaan dalam segala aspek kehidupan. Mendidik hati agar sentiasa merindui kepada Ilahi dan memberi kelapangan hidup dan kesihatan jasmani.

3. Bagi seorang muslim masanya tidak berlalu begitu saja. Di kala pagi dan petang ia sentiasa bertasbih, istighfar, tahmid dan berdoa kepada Allah dengan zikir yang ma'thur ( yg berasal daripada Nabi SAW ).

4. Jika sesiapa mengamalkan zikir Al- Ma'thurat ini akan merasakan perbezaannya dengan hari-hari yang tidak dimulakan dengan zikir Al- Ma'thurat.( Ya, perbezaan yang amat ketara, jika saya tertinggal membacanya, apa yang dibuat sepanjang hari ada sahaja yang tidak menjadi, dan hati resah).

5. Beramallah sesuai dengan ajaran Islam, seperti yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.

6. Mukmin sejati akan mengisi ruang masanya dengan pelbagai amalan dan ibadah yang akan mendekatkan dirinya dengan Allah SWT. Bibirnya sentiasa basah dalam berzikir, membesarkan dan mengagungkan Allah Yang Maha Mulia, kemudian berdoa untuk mengharapkan keredhaan Rabb. Tiada sesuatu yang lebih bererti dalam kehidupan seorang insan melainkan mendapatkan keredhaan Allah.

7. Dengan membaca zikir-zikir yang diamalkan oleh Rasulullah ini bererti kita telah membentengi diri kita dengan senjata yang kukuh, sehingga terhindar dari gangguan syaitan yang terkutuk...

8. Al- Ma'thurat dimulai dengan ucapan " Aku bermohon perlindungan Allah, Maha Mendengar, Maha Mengetahui dari setiap syaitan yang direjam" , mengandungi erti bahawa setiap jiwa kita sebelum melakukan aktiviti harus menyerahkan diri kepadaNya. Ucapan itu juga menunjukkan betapa besarnya harapan seorang hamba kepada Allah, kemudian berusaha untuk terhindar dari sesuatu yang dapat menyesatkan jiwa seseorang dari mengingat Allah.

Banyak lagi keutamaan ayat-ayat dan zikir dalam al-Ma'thurat, dan boleh dibaca di muka surat depan al-Ma'thurat itu sendiri.

Selamat beramal! Dan sekiranya telah berjaya menghafalnya, lagi mudah untuk mengamalkan. Ketika memandu, memasak, mengemas rumah, di tempat kerja, di mana-mana sahaja! Mudah bukan? :-)

Ya Allah, tetaplah kami sentiasa dalam amalan yang ahsan!


Najibah
25 Jun 2009
Kuantan, Pahang

Related Posts by Categories



Widget by Hoctro | Jack Book
  1. 0 comments: Responses to “ Al-Mathurat Supplemen Jiwa ”

Perjalanan hidup ini sebentar cuma. Manfaatkan masa sepanjang usia. Tempatmu sebagai anak, jadilah anak yang solehah. Tempatmu sebagai isteri, jadilah bidadari yang membahagiakan suami. Tempatmu sebagai ibu, berusahalah menjadi ibu mithali mendidik generasi rabbani. Tempatmu sebagai insan..jadilah manusia yang berbakti.. Dan sudah pasti, tempatmu sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakan, sedarilah...KITA INI HANYA DI TARAF HAMBA. Carilah seberapa banyak bekal untuk dibawa pulang..ke sana.

Islamic Calendar