Najibah's Weblog

Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.

Link Worth

Bersalin: Kerajaan atau Swasta?

Written by Najibah Mustaffa on 2:51 PM


“Bersalin kat mane nanti?”. Tanya seorang sahabat ketika saya menghubunginya beberapa hari yang lalu.

“ Insyaallah, HTAA Kuantan..”

“ Laa…kenapa tak swasta? “
. Beliau bertanya lagi.

Ini bukan kali pertama saya diajukan soalan yang sama, sudah berkali-kali. Dan setiap kali ditanya, saya hanya menjawab, saya menggunakan GL suami yang merupakan kakitangan kerajaan. Dan tempat saya bekerja sekarang juga cover kos bersalin di hospital kerajaan sahaja.

SEGALANYA YANG TERBAIK
“ Kalau boleh, simpanlah duit sikit untuk bersalin kat swasta, bersalin ni soal hidup dan mati!”. Komen kawan saya, setelah mendengar beberapa kes ‘kurang enak’, dan acapkali mengerikan bagi mereka yang bersalin di hospital kerajaan.

Saya hanya tersenyum. Walaupun dalam hati, inginkan segalanya yang terbaik untuk kelahiran permata hati kami, namun kekangan kewangan dan memikirkan kos yang perlu ditanggung selepas kelahiran nanti, saya akur pada keputusan hasil perbincangan dengan suami untuk bersalin di hospital kerajaan.

Segala-galanya perlu difikirkan. Kos hidup di bandar Kuantan tidak jauh bezanya di Kuala Lumpur, dua buah kereta yang perlu dipastikan pembayarannya tiap-tiap bulan tidak terhenti, kos anak yang akan dilahirkan nanti, termasuk upah pengasuh memandangkan kami kedua-duanya bekerja, dan pelbagai kos lagi yang perlu difikirkan.

TIDAK SEMUA MAMPU
Acapkali saya suarakan perkara ini pada suami. Bukan untuk meminta diubah keputusan agar bersalin di swasta, tapi sekadar perbincangan pro dan kontra bersalin di hospital kerajaan atau swasta.

“Cuba fikir tentang orang yang tak mampu? Usahkan nak bersalin kat swasta, bersalin di hospital kerajaan pun, hanya mampu untuk wad kelas ketiga..”. Abang bersuara.

Saya terdiam. Mungkin kerana pernah melalui hidup yang susah dan perit sejak zaman kanak-kanak sehingga ke awal remaja lantaran kematian ayah ketika berusia 4 tahun, abang sentiasa meletakkan dirinya ‘dalam kasut’ orang-orang yang tidak berkemampuan.

Ada benarnya kata-kata abang. Saya yang sedari kecil melalui hidup yang serba cukup, meskipun tidak mewah, jarang meletakkan diri dalam pemikiran mereka yang seperti itu. Keinsafan terbit dalam hati. Ya, dalam keghairahan saya mendongak langit, seharusnya saya tidak lupa akan rumput-rumput di bumi.

DI MANA TAWAKKAL PADA ALLAH?
Melayari blog dan laman web berkaitan kehamilan dan proses bersalin, saya terjumpa banyak komen negatif tentang bersalin di hospital kerajaan.

Layanannya yang kasar, hak sebagai pesakit yang tidak dijaga dengan sewajarnya, ditengking, di herdik dan macam-macam ‘cerita’ sedikit sebanyak mempengaruhi emosi saya. Ada juga komen positif yang diberikan, namun komen negatif lebih mendominasi perasaan dan pemikiran.

“ Bah, awak kena belajar juga teknik pushing (meneran), nanti tak pasal-pasal kena sound dengan nurse, belajar tinggi-tinggi pun tak pandai meneran!.“ SMS Tipah yang telah pun selamat bergelar ibu 3 minggu yang lalu membuatkan saya tergelak.

"Takkanlah nak dikaitkan teknik dan skill meneran tu dengan belajar tinggi-tinggi? Dalam silibus universiti bukannya diajar pun!" Saya mengomel sendiri.

Dan seperti biasa, semua ‘kisah seram’ bersalin yang diceritakan kepada saya, dan yang saya sendiri mencarinya di internet saya ceritakan satu persatu kepada suami, sambil menzahirkan kerisauan dan ketakutan saya.

“ Janganlah dengar, tak pasal-pasal emosi tak stabil!”. Kata suami pada saya. Agak marah mungkin, Kerana dia tahu kelemahan saya, yang akan ‘save’ semua maklumat yang didengar dan dibaca ke dalam kepala dan akhirnya memikirkan semua itu berhari-hari.

“ Bersalin kat mana-mana pun, mesti sakit, mesti ada risiko, tapi kat mana letak rasa tawakkal pada Allah?”. Abang bersuara. Lembut tapi tajam. Perasaan saya terhenyak dengan kata-kata suami. Terpukul.

Ya, TAWAKKAL. Itu yang saya terlupa. Bukankah dalam Islam kita sudah diajar melazimi beberapa amalan dan surah serta ayat-ayat tertentu untuk memudahkan bersalin? Ya, saya tidak menafikan bahawa memilih tempat bersalin yang terbaik dan kurang berisiko adalah salah satu usaha dan boleh dikatakan konsep pengurusan risiko.

Ibarat tagline yang sering disebut dalam kursus-kursus pengurusan risiko yang pernah saya hadiri ketika berkhidmat di syarikat lama:

“We cannot direct the wind, but we can adjust the sail”.

Namun, pemahaman dan penghayatan tentang konsep Tawakkal itu lebih memberi kesan kepada saya. Betapa saya ini terlupa, bahawa DIA lah Tuhan yang maha berkuasa, menciptakan benih di dalam rahim saya, yang kemudiannya dari ke hari membesar menjadi manusia yang sempurna sifatnya, dan kini hampir tiba masanya, sudah pasti saya wajib kembali kepada DIA, memohon dan berdoa , agar dipermudahkan urusan melahirkan ‘manusia’ ciptaanNYA itu ke alam dunia. Subhanallah!

PRO DAN KONTRA
Kerajaan atau swasta, kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangannya.Kekurangan di hospital kerajaan, mungkin layanan yang istimewa tidak akan anda perolehi sebagaimana swasta kerana servis yang diberikan tidak berbayar atau dibayar tetapi dalam jumlah yang minima. Dan pengalaman saya sendiri, menjalani pemeriksaan di klinik kerajaan memang memenatkan.

Sampai di klinik seawal sebelum jam 8 pagi, selesai semua urusan sekitar jam 11 pagi. Badan penat menunggu dan ke sana sini, timbang berat, urine test, HB test, OGTT test, menunggu di panggil giliran untuk pemeriksaan perut dan jumpa doktor (jika perlu) di tempat berlainan walaupun dalam satu bangunan. Penat bukan? Bagi seorang ibu mengandung untuk berjalan ke sana-sini.

Juga sifat kurang budi bahasa sesetengah jururawat yang melayan pesakit dengan muka masam mencuka, memberi arahan yang tidak jelas, endah tidak endah jika ditanya soalan dan sebagainya.

Namun, satu perkara yang saya kenalpasti di klinik kerajaan ialah, kita akan diberi layanan sedikit istimewa jika kita adalah orang yang berkelulusan tinggi atau pun bekerja dengan jawatan yang bagus. Itu hakikat. Dan saya pernah mengalaminya. Bila mengetahui kerjaya saya dan suami, layanannya OK, berbanding layanan kepada makcik yang datang check-up dengan hanya berselipar jepun! Double-standard kah?

Namun, satu kelebihan hospital dan klinik kerajaan, semua urusan adalah mengikut prosedur yang ditetapkan. Teliti.

Dan swasta pula, saya tiada pengalaman membuat pemeriksaan kandungan di klinik swasta, namun pernah menjadi penghuni wad selama 3 hari di Kuantan Medical Centre kerana alahan di awal kehamilan. Layanannya sangat bagus, doktor dan jururawat serta kakitangannya peramah, menu makan dan minum yang menyelerakan serta boleh dibuat pilihan, bilik yang kondusif dan sebagainya. Memang puas hati, dan kos untuk 3 hari tersebut mencecah RM1500!.

Walau bagaimanapun, tidak semua kes diterima di hospital swasta. Bagi kes kehamilan berisiko, kes tersebut biasanya dirujuk ke hospital kerajaan. Dan, ada beberapa kes di mana ibu menghadapi komplikasi ketika hendak bersalin (seperti darah tinggi) terus dirujuk ke hospital kerajaan di saat-saat akhir.

Apapun, pilihan ada di tangan masing-masing. Mengikut poket masing-masing..:-). Saya hanya bercerita berdasarkan pengalaman dan pandangan sendiri. Nasihat dan tips sahabat-sahabat amat saya hargai, dan semuanya menambah ilmu dan pengetahuan saya.

Dan, 3 minggu lagi. Doakan saya dipermudahkan segalanya. Amin

Najibah
24 Jun 2009
Kuantan, Pahang

Related Posts by Categories



Widget by Hoctro | Jack Book
  1. 7 comments: Responses to “ Bersalin: Kerajaan atau Swasta? ”

  2. By Anonymous on June 26, 2009 at 4:01 PM

    Mmg bezala hospital kerajaan dgn swasta dr segi bayaran hehe.. Dr segi layanan xsurela xde pengalaman lak.. Dr segi p'jagaan baby after birth same je.. K.Teh tgk swasta pun dia tinggal je baby tu nangis2 smpi suare serak2. Dr segi bsr nnt baby tu jd ape yg ni lahirlah di mana2 pun dia akan ikut ape yg mak ayah dia bentuk :D

  3. By Anonymous on June 27, 2009 at 9:18 AM

    vote for kerajaan..kalau nak private pegi yang betul2 establish n mahal..baru high class...zu rasa nak penah bagitau kak bah sbbnya kan..hee...

  4. By Najibah Mustaffa on June 27, 2009 at 8:33 PM

    Kak Teh @ Aziah:

    Thanks atas komen. Saje je tulis. Memang dah firm nak bersalin kat HTAA pun. :-)

    Zurina:

    Thanks share dengan kak bah nasihat mak zue sebagai bidan yang expert. :-)

    Doakan semuanya selamat dan dipermudahkan. Amin.

  5. By Anonymous on October 12, 2009 at 1:18 PM

    emmm.. kalau buat pregnancy checkup di private, bleh ke bersalin di hospital kerajaan? nak ke diorg terima kes mcm tue? ader problem tak wkt nak bersalin nnt?

  6. By Najibah Mustaffa on October 13, 2009 at 12:20 PM

    Walaupun check-up kat swasta, boleh je bersalin kat kerajaan. Diorang terima je...cuma kadang2 buku rekod pregnancy check-up yg swasta tak memenuhi spesifikasi macam kerajaan punya (buku merah) yang very detail.

    Sebab nak bersalin nanti doktor akan review balik history check up ibu.

    Takda masalah insyaallah. Sebab ada je kes ibu yang check up dan nak bersalin kat swasta, tiba-tiba ada kes @ komplikasi ketika nak bersalin..kena bawa ke kerajaan jugak..

    =)

  7. By Zaisharyani on January 18, 2010 at 12:57 PM

    saya pernah deliver bby di private hospital. Layanan dr kakitangan hospital mmg sngt baik. Cuma bil yg agak tinggi mencecah rm6100. itu pun sbb ada GL dr majikan saya.

  8. By Zaisharyani on January 18, 2010 at 12:57 PM

    saya pernah deliver bby di private hospital. Layanan dr kakitangan hospital mmg sngt baik. Cuma bil yg agak tinggi mencecah rm6100. itu pun sbb ada GL dr majikan saya.

Perjalanan hidup ini sebentar cuma. Manfaatkan masa sepanjang usia. Tempatmu sebagai anak, jadilah anak yang solehah. Tempatmu sebagai isteri, jadilah bidadari yang membahagiakan suami. Tempatmu sebagai ibu, berusahalah menjadi ibu mithali mendidik generasi rabbani. Tempatmu sebagai insan..jadilah manusia yang berbakti.. Dan sudah pasti, tempatmu sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakan, sedarilah...KITA INI HANYA DI TARAF HAMBA. Carilah seberapa banyak bekal untuk dibawa pulang..ke sana.

Islamic Calendar