Najibah's Weblog

Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.

Link Worth

Apakah Persediaan Kita Menghadapi Rejab?

Written by Najibah Mustaffa on 4:10 PM


Ditulis oleh Ustaz Zahazan
Selasa, 23 Jun 2009 13:16

Bulan Rejab termasuk didalam salah satu bulan-bulan Islam yang dianggap suci oleh umat Islam. Bulan Rejab ini menduduki senarai yang ke 7 dalam bulan-bulan Qamariyyah.

Firman Allah didalam surah At-taubah ayat 36 yang bermaksud: “Sesunguhnya bilangan bulan-bulan disisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan yang dihormati, ketetapan yang demikian ialah agama yang betul lurus,maka janganlah kamu mengganiayai diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu(dengan melanggar larangannya). Dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa”.

Empat bulan yang dihormati sebagaimana disebutkan dalam ayat tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Inilah yang telah disepakati oleh para mufassirin. Penghormatan terhadap bulan Rejab adalah bersempena penghormatan yang telah diberikan kepadanya semenjak zaman jahiliah lagi dimana mereka mengharamkan peperangan didalam bulan tersebut. Inilah sesuatu pengiktirafan oleh Allah SWT terhadap bulan Rejab disamping bulan-bulan haram yang lain.

Sejarah Islam telah mencatatkan beberapa peristiwa penting telah berlaku didalam bulan rejab, diantaranya ialah:

Pertama-Peristiwa israk dan mikraj yang berlaku pada 27 Rejab mengikut pendapat sebahagian besar ulama Islam, ia adalah peristiwa dimana Rasulullah s.a.w telah diperjalankan dari Mekah ke Baitil Muqaddis dan kemudiannya diangkat kelangit untuk bertemu Allah SWT, disinilah bermulanya kefarduan solat lima waktu kepada umat Muhammad s.a.w.

Kedua-Peristiwa hijrah yang pertama ke negeri Habshah oleh beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w termasuk Saidina Uthman Bin Affan ra dan isterinya Ruqayyah binti Rasulullah s.a.w. Penghijrahan ini bertujuan menyelamatkan aqidah disamping keselamatan diri ekoran tekanan dan ancaman hebat oleh puak musyrikin Mekah ketika itu.

Ketiga-Peristiwa perang Tabuk yang berlaku pada tahun kesembilan hijrah. Ia adalah peperangan yang menguji iman para sahabat kerana ia beraku pada musim panas.Pertempuran ini dipimpin oleh Rasulullah s.a.w sendiri untuk menentang tentera Rom yang ingin mengembangkan pengaruhnya ke semenanjung Tanah Arab. Walau bagaimana pun pertempuran tidak berlaku kerana tentera Rom membatalkan hasrat mereka lantaran perasaan gentar dan takut dengan kehebatan dan kekentalan jiwa tentera Islam.

Selain daripada itu,terdapat juga peristiwa penting lain yang berlaku didalam bulan yang mulia ini seperti kelahiran Imam ahlis sunnah, Imam As-Shafie yang menjadi ikutan mazhab umat Islam ditanah air iaitulah dalam bulan rejab tahun 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi.Demikian juga peristiwa bersejarah iaitu pembebasan semula Palestin dan kota Baitul Maqdis oleh Solahuddin Al-Ayubi dari kekuasaan tentera solib juga berlaku dalam buan Rejab iaitu sekitar 27 Rejab 538 Hijrah.

Kaum muslimin Rahimakumullah,

Sesetengah umat Islam akan berpuasa sunat didalam bulan rejab. Sesetengahnya pula akan pergi menunaikan umrah, kerana menganggap umrah yang mereka lakukan didalam bulan ini ada fadilatnya yang khusus. Tidak kurang juga terdapat umat Islam yang berusaha memperbanyakkan sedekah pada bulan ini dengan beranggapan mereka akan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain.

Walau bagaimanapun, kebanyakkan ulama mutakhirin menyatakan bahawa tanggapan ibadah-ibadah sunat ini akan mendapat ganjaran berpuluh kali ganda atau beribu kali ganda adalah tanggapan yang tidak benar. Apa yang pasti bahawa bulan ini adalah termasuk didalam kelompok bulan-bulan haram dimana umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat sama ada solat sunat, berpuasa, bersedekah atau lain-lain lagi.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Hakikat ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT kepada orang yang beramal soleh hanya dia sahaja yang maha mengetahui. Oleh kerana itu sudah sewajarnyalah didalam bulan Rejab ini dan juga bulan-bulan yang lain diisi dengan perkara-perkara yang dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT dan mendapat keredaannya.

Sesungguhnya terdapat banyak hadis-hadis nabi dan ayat-ayat Al-Quran yang memberikan galakkan kepada umat Islam untuk melakukan sesuatu amal ibadah tanpa mengira didalam bulan mana mereka melaksanakannya. Oleh kerana itu, bersempena datangnya bulan Rejab ini banyak amalan sunat yang boleh dilaksanakan seperti mana juga didalam bulan-bulan yang lain, diantaranya,

1. Berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau berpuasa sebahagian daripada bulan Rejab.

Amalan berpuasa sunat adalah merupakan satu galakan daripada Allah SWT kepada umat Muhammad s.a.w sebagaimana disebutkan didalam sebuah hadis qudsi riwayat Imam Al-Bukhari yang bermaksud,

“Sabda Rasulullah s.a.w: “Allah SWT berfirman bahawa puasa itu adalah untukKu maka Akulah yang akan membalasnya”.

Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim Al-Ansori, beliau (Uthman) pernah bertanyakan kepada Said bin Jubair mengenai puasa Rejab. Said menjawab “Aku mendengar Ibnu Abbas menyatakan: “Rasulullah s.a.w berpuasa rejab sehingga kami menyangka baginda tidak berbuka (terus menerus berpuasa) dan baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa”.

2. Memperbanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hizam yang bermaksud “Tangan yang diatas (pemberi) lebih baik dari dari tangan yang dibawah (penerima)”.

3. Memperbanyakkan zikirullah dengan cara berwirid, bertahmid, bertasbih dan sebagainya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ra''d ayat ke 28 yang bermaksud: “Hanya dengan mengingati Allah akan menjadi tenang dan tenteram hati manusia”.

Demikianlah sebahagian amalan-amalan sunat yang amat digalakkan kepada umat Islam untuk melaksanakannya. Amalan ini sekiranya diamalkan dengan penuh keikhlasan, sudah pasti akan dapat melahirkan insan yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT. Ini sekaligus dapat mengelakkan mereka daripada terjerumus ke dalam perkara-perkara maksiat dan masalah sosial yang lain. Malangnya, amalan mulia sebegini sering ditinggalkan oleh sebahagian umat Islam sama ada oleh golongan muda mahupun golongan tua. Akibatnya, mereka lebih banyak dipengaruhi oleh hawa nafsu dan terlibat dengan pelbagai bentuk kegiatan jenayah.

Saudara-saudariku seaqidah sekalian,

Al-Imam al-Nawawi mengkhususkan suatu bab dalam karya ulungnya Riyadhus Salihin tentang keutamaan beriltizam dengan surah-surah yang tertentu, juga wirid-wirid yang khusus sebagai satu komponen yang penting membentuk peribadi salih.Ini termasuk keutamaan membaca al-Fatihah, ayatul Kursiy, 2 ayat terakhir surah al-Baqarah, surah al-Mulk dan 3 Qul ( al-Ikhlas, al-Falaq & al-Naas ) .

Wirid-wirid yang tertentu juga amat mustahak diamalkan kerana ia adalah supplement ruhani yang sering diabaikan menyebabkan berlakunya kecenderungan melakukan perbuatan-perbuatan yang haram.Kita juga seharusnya tidak melupakan firman Allah SWT yang menyatakan bahawa dengan zikrullah, hati mereka akan merasa aman dan tenteram.

Di samping itu ramai umat Islam yang melupakan sabda Rasulullah s.a.w tentang keutamaan berpuasa untuk mengelakkan diri dari perkara- perkara maksiat. Inilah merupakan sebahagian dari program pengabdian diri bagi melahirkan rasa ubudiyyah buat menongkah perangai mazmumah sebagai persiapan menyemarakkanisemangat Ramadhan.

Marilah kita bersama memulakan tazkiyyah ini dengan melakukan senarai semak atau bermuhasabah agar amalan-amalan sunat ini didalam membentuk jiwa dan peribadi yang sempurna. Dengan bermulanya bulan Rejab ini, anak-anak muda khususnya dan umat Islam umumnya harus diberikan kesedaran dan sedikit suntikan semangat supaya bersama-sama menghidupkan amalan-amalan mulia ini dan seterusnya dapat membangunkan diri mereka menjadi insan yang bertaqwa disisi Allah SWT.

Apa yang kita harapkan agar amalan-amalan didalam bulan Rejab ini dilakukan dengan penuh keikhlasan dan akan menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah SWT.

Firman Allah dalam surah al-Zalzalah ayat 7-8 bermaksud: “Maka sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zarrah nescaya akan dilihatnya(dalam suratan amalannya)dan sesiapa yang berbuat kejahatan seberat zarrah nescaya akan dilihatnya(dalam surat amalannya)”.

Selamat Datang Rejab! Lipatgandakan amalan. Selangkah menuju Ramadhan....

Related Posts by Categories



Widget by Hoctro | Jack Book
  1. 0 comments: Responses to “ Apakah Persediaan Kita Menghadapi Rejab? ”

Perjalanan hidup ini sebentar cuma. Manfaatkan masa sepanjang usia. Tempatmu sebagai anak, jadilah anak yang solehah. Tempatmu sebagai isteri, jadilah bidadari yang membahagiakan suami. Tempatmu sebagai ibu, berusahalah menjadi ibu mithali mendidik generasi rabbani. Tempatmu sebagai insan..jadilah manusia yang berbakti.. Dan sudah pasti, tempatmu sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakan, sedarilah...KITA INI HANYA DI TARAF HAMBA. Carilah seberapa banyak bekal untuk dibawa pulang..ke sana.

Islamic Calendar