Najibah's Weblog

Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.

Link Worth

Belajar Daripada Alam

Written by Najibah Mustaffa on 12:46 PM


Assalamualaikum

Sekadar perkongsian apa yang saya dapat ketika mengikuti slot Muqaddimah di TV9 pagi tadi, bersama Ustaz Zawawi Yusof - Belajar Daripada Alam.

HATI JANGAN SEPERTI BATU
Dalam masyarakat melayu, batu sering dikaitkan dengan perkara negatif kerana sifatnya yang keras. Sebagai contoh; hati batu, batu loncatan, kepala batu dan sebagainya. Dan, sebagai hamba Allah, kita perlulah sentiasa memelihara hati agar tidak menjadi keras seperti batu. Ustaz menyebut bahawa hati manusia boleh menjadi keras seperti batu apabila tidak mendengar atau menghadiri majlis-majlis ilmu atau zikrullah selama 40 hari! Bagaimana ya jika mereka yang tidak pernah menghadiri majlis ilmu selama 40 bulan, bahkan 40 tahun!

Hati perlu dibajai dan disuburkan dengan zikrullah. Barulah hati tersebut akan segar dengan iman dan taqwa, mudah menerima hidayah Allah, dan mudah pula untuk membuat sebarang perubahan diri ke arah kebaikan.

'Majlis ilmu' bukan hanya boleh diperolehi dengan mendengar ceramah di surau atau masjid, ataupun ketika berhalaqah dalam diskusi usrah. Di zaman teknologi yang makin canggih ini, ilmu-ilmu agama, peringatan dan muhasabah boleh diperolehi secara mudah samada melalui program-program TV, siaran radio mahupun dengan menggunakan kemudahan internet.

Pokoknya, kita yang perlu mencarinya.

DOSA IBARAT PEPASIR DI PANTAI
Dikisahkan bahawa Rabiatul 'Adawiyyah, seorang ahli sufi terkenal ketika zaman mudanya adalah seorang perempuan kabaret, tidak berakhlak dan sebagainya. Namun, setelah nur hidayah Allah melimpahi hatinya, beliau menjadi seorang 'abid dan ahli sufi yang sangat takut kepada Tuhan yang maha pencipta.

Setiap kali memandang pasir, Rabiatul 'Adawiyyah sering mengungkapkan kata-katanya..."Dosa-dosaku ibarat pepasir...". Dengan hati yang penuh penyesalan mengingatkan zaman gelapnya.

Begitulah kita, dosa kita jika dihitung terlalu banyak, menggunung tinggi. Namun, rahmat Allah itu lebih melangit luas. Lazimi diri dengan istighfar dan taubat....mudah-mudahan tidak terbeban kita di mahsyar kelak, dengan timbangan dosa beratnya melebihi timbangan amal di neraca al-mizan nanti!

TANAH TEMPAT KITA KEMBALI
Khalifah Umar Abdul Aziz (kalau tidak silap saya) sering menghampar sehelai kain di atas tanah, dan beliau kemudiannya mencium bau tanah tersebut. Bila ditanya kenapa beliau berbuat demikian, katanya beliau suka mencium bau tanah, kerana dari situ kita datang, dan ke situ juga kita akan kembali.

Sesungguhnya, hidup ini penuh hikmah dan pengajaran bagi mereka yang mahu mengambil iktibar! Semoga Allah s.w.t sentiasa memimpin kita ke jalan yang benar, melembutkan hati kita untuk menuju hidayah....

Amin ya Rabb..

Related Posts by Categories



Widget by Hoctro | Jack Book
  1. 0 comments: Responses to “ Belajar Daripada Alam ”

Perjalanan hidup ini sebentar cuma. Manfaatkan masa sepanjang usia. Tempatmu sebagai anak, jadilah anak yang solehah. Tempatmu sebagai isteri, jadilah bidadari yang membahagiakan suami. Tempatmu sebagai ibu, berusahalah menjadi ibu mithali mendidik generasi rabbani. Tempatmu sebagai insan..jadilah manusia yang berbakti.. Dan sudah pasti, tempatmu sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakan, sedarilah...KITA INI HANYA DI TARAF HAMBA. Carilah seberapa banyak bekal untuk dibawa pulang..ke sana.

Islamic Calendar