Rumah Mak vs Rumah Mertua
Written by Najibah Mustaffa on 2:58 PM" Wahh...seronok nampak nak balik Jengka!". Tegur Mas Alina ketika kami YM pagi tadi. Merujuk kepada status YM saya.."Petang ni balik Jengka, esok cuti sampai ahad..yeay!".
Saya tersenyum sendiri lalu membalas.
" Lagi seronok balik Terengganu.."
Hampir 8 bulan mendirikan rumahtangga, kami suami isteri mengulangi rutin setiap bulan. Kuantan - Jengka dan Kuantan - Terengganu. Jika ditanya, seronok ke balik rumah mertua? Ye lah, mungkin ramai di antara kita (perempuan terutamanya) akan menarik muka masam jika diajak oleh si suami untuk pulang ke rumah ibunya.
Jawapan saya, seronok..tapi lagi seronok rumah ibu bapa sendiri. Sudah tentu, pulang ke rumah tempat kita membesar, pernah menghuni rumah tersebut bertahun-tahun lamanya, dan bersua muka dengan ahli keluarga dari darah daging sendiri, itu yang lebih menggembirakan.
Namun, saya juga seronok pulang ke rumah mertua. Terasa tiada beza keghairahan saya samada untuk pulang ke rumah mak atau rumah mertua. Cuma, di rumah mertua, ada batasan-batasan tertentu yang perlu saya jaga. Aurat sebagai contohnya. Di rumah mertua, ada ipar-duai yang bukan mahram yang perlu saya jaga aurat dengan mereka.
Soal makan, saya tiada masalah. Walaupun lebih serasi dengan masakan mak di Terengganu, masakan mak di Jengka juga saya boleh makan dengan berselera.
PERTEMUAN DUA KELUARGA, DUA BUDAYA
Perkahwinan bukan sahaja menyatukan sepasang suami isteri, malah menyatukan dua keluarga besar, yang berbeza budaya, berbeza rentak. Semua ini memerlukan masa untuk difahami, dan dipelajari. Syaratnya perlu ikhlas untuk serasi dengan semua ini. Dan juga memerlukan kesabaran. Andai kedua-dua syarat tersebut tidak dipenuhi, tidak mustahil ada menantu yang berat hati dan memberontak bila diajak oleh pasangan untuk pulang ke rumah mertua.
Keluarga di Jengka agak besar berbanding keluarga di Terengganu. Sesekali berkumpul, sememangnya meriah. Dan, mungkin dek kerana keluarga di sana berketurunan Banjar, ikatan kekeluargaan mereka begitu rapat. Ada sahaja kenduri, walaupun jemputan itu datangnya dari saudara yang agak jauh, sudah pasti akan dipenuhi oleh adik beradik di sana.
Itu yang telah saya pelajari dan fahami. Jadi, bila suami ajak pulang ke rumah mertua kerana ada kenduri, saya tiada masalah untuk memenuhinya. Kerana, memahami itulah budaya di sana. Berbeza di Terengganu, kenduri di kalangan saudara yang terdekat sahaja akan cuba dipenuhi.
MERTUA UMPAMA IBU SENDIRI
Saya pernah terdengar seorang ustaz mengatakan, hukum menghormati ibu mertua adalah sama dengan ibu sendiri. Dan hubungan antara menantu dan mertua tidak akan putus selama-lamanya walaupun setelah pasangan suami isteri itu berpisah, samada perpisahan itu disebabkan terjadinya perceraian ataupun kematian. Dan dalam doa kita, wajib mendoakan kesejahteraan ibu bapa mertua sebagaimana kita mendoakan ibu bapa kita sendiri.
Begitulah indahnya Islam. Setiap inci kehidupan kita, ada ibrah dan tauladan. Dan, dari sudut motivasinya, mengapa sukar untuk menyayangi ibu mertua seperti ibu sendiri, sedangkan dialah insan yang melahirkan dan membesarkan suami kita, yang kini merupakan orang yang paling kita sayang?.
Sebagai menantu, seboleh mungkin kita perlu berbuat baik kepada mertua juga ahli keluarga yang lain. Bukan semata-mata untuk memenangi hati suami, lebih daripada itu..adalah untuk mendapat berkat daripada Allah s.w.t.
Namun, jika ditanya kepada saya bagaimana jika menantu yang terpaksa berhadapan dengan mertua seperti dalam drama 'Ibu Mertuaku', saya tiada jawapan. Kerana, setakat ini..alhamdulillah, saya menyenangi ibu mertua saya. :-)
WHAT YOU GIVE, YOU GET BACK
Pasangan yang saling memberi, akan menjadi pasangan yang saling menerima. Jika si isteri dengan seikhlas hati memberi kepada suami, si suami juga dengan seikhlas hati akan memberi kepada si isteri. Tidak akan timbul soal si isteri yang selalu memberi, sedangkan suami asyik menerima..dan begitulah sebaliknya.
Apa yang anda beri, itu yang akan anda dapat. Insyaallah. Jika anda sentiasa membahagiakan suami dengan meraikan keluarganya seperti keluarga sendiri, insyaallah..suami juga tidak akan terlalu berkira untuk memberi yang terbaik pada keluarga anda.
Perkahwinan ini penuh dengan proses pembelajaran, bagi mereka yang ingin belajar. Sama seperti kehidupan. Kita belajar dari alam dan peristiwa. Dan, saya ini masih baru melayari alam rumahtangga. Cetek ilmu dan cetek pengalaman. Apa yang saya tulis ini hanyalah salah satu pelajaran dan pengajaran yang sedang saya pelajari dan hayati.
Mudah-mudahan sentiasa ditunjukkan jalan dan diberi kekuatan untuk menjadi solehah, kerana kunci syurga seorang isteri ada pada suami, yang redha dan bahagia beristerikan seorang isteri yang solehah!
Amin.
3 comments: Responses to “ Rumah Mak vs Rumah Mertua ”
By Mas on June 10, 2009 at 3:57 PM
Yer,btulla tu, selagi masih ada masa dan daya,manfaatkanlah...
By Mas on June 10, 2009 at 3:57 PM
This comment has been removed by the author.
By Najibah Mustaffa on June 17, 2009 at 1:57 PM
Mas, yup! untuk awak jugak yang bakal berumahtangga!..:-)