38 Weeks. Counting Days.....
Written by Najibah Mustaffa on 12:26 PMAssalamualaikum..
"Hmm..bila baby nak keluar ni?". Terasa tidak sabar. Musim seram, takut, suspen, cuak yang saya rasakan beberapa minggu yang lalu mudah-mudahan berakhir. Saya ingin tenang-tenang sahaja menanti saat kelahiran si permata hati. Tidak mahu hati dan fikiran runsing. Mengambil iktibar dan pesan sahabat-sahabat dan kakak-kakak di pejabat yang terlebih dahulu menempuh pengalaman yang 'istimewa' itu. Tenang, kuat semangat dan positif!.
Kata seorang kakak, sakit ketika bersalin memang tak terlupakan..namun, kepuasan melihat wajah anak sendiri selepas bergelut dengan kesakitan itu lebih membahagiakan. Dan, sakit itu sebenarnya penghapus dosa. Di saat menempuh kesakitan, rasailah ia sebagai kaffarah dosa-dosa kita selama ini, yang mungkin sudah menggunung tinggi!.
Saya kutip semangat dan mengumpul kekuatan, di celah-celah kesakitan di sana-sini yang makin acap dirasakan. Perasaan negatif cuba dibuang jauh-jauh.
Mungkin bagi sesetengah orang, pelik..mengapa saya terlalu 'stress' menghadapi saat bersalin nanti. Hmm..saya pun terfikir, kenapa ye? Sedangkan ianya proses biasa yang dilalui oleh setiap wanita yang bergelar ibu. Cuma, lain orang lain situasinya.
Sebenarnya, saya memang begini. Setiap perkara baru dan besar dalam hidup, saya akan terlalu memikirkannya. Perasaan ini lebih kurang sama seperti ketika saya ingin memulakan kerja di tempat baru, begitu juga ketika di ambang perkahwinan tidak lama dahulu. Suatu 'penyakit' yang sukar diubah.
Tentunya Mastura akan gelak sakan melihat saya (dan juga Khadijah) 'study' bagai nak rak sebagai persiapan untuk bersalin. Macam nak menempuh exam pulak!. Cuma tak buat latih tubi je..:-)
Dan, di usia kandungan sudah mencecah 38 minggu , sudah pastinya saya perlu bersedia. Bila-bila masa sahaja!. Kakak-kakak di pejabat ramai yang rajin membuat andaian..katanya 'perut awak dah turun..tak lama dah tu..'. Saya hanya tersenyum.
Dan, saya sekarang ini mengalami kepanasan yang amat. Aircond yang terpasang sudah tidak terasa apa-apa, dan sebagai inisiatif, saya menggunakan USB Fan yang disambung ke laptop untuk menyejukkan badan. Sudahlah meja saya di hadapan sekali, setiap kakitangan yang lalu, pasti menegur 'kipas' comel saya tu.
Check-up untuk 38 minggu pagi tadi, alhamdulillah..semua OK. Syukur, bengkak kaki sudah tiada. Cuma sedikit bengkak dan kebas jari, menyebabkan cincin kahwin sudah tidak muat. Kedudukan bayi juga OK, Cephalic.
Cuma, sekarang ini saya sudah tidak lagi boleh bersolat sambil berdiri lantaran ketidakmampuan kaki dan juga saiz perut yang menyukarkan saya untuk berdiri semula selepas duduk setiap rakaat. Berdiri hanya ketika mengangkat takbiratul ihram kerana qiyam itu rukun solat (bagi yang mampu).
Saya juga agak ralat (dan sedih sebenarnya) kerana masih tidak mampu menghabiskan puasa qadha' Ramadhan yang lepas lantaran bilangan hari yang ditinggalkan agak banyak, dan proses penggantian puasa yang slow kerana alahan dan masalah HB rendah dan kurang darah yang saya alami. Saya pernah cuba berpuasa beberapa hari sepanjang kehamilan, dan ia mengakibatkan saya hampir pitam beberapa kali dan pergerakan bayi juga kurang aktif. Saya dinasihatkan supaya tidak berpuasa kerana bimbangkan keadaan bayi. Meskipun jauh di sudut hati saya, rasa ralat sangat dengan semua ini. Allahummaghfirli.....di atas ketidakmampuan ini.
Saya dan suami sedang runsing memikirkan untuk mencari pengasuh atau nurseri untuk menjaga anak selepas saya kembali bekerja nanti. Sehingga kini belum jumpa orangnya yang sesuai. Perlu terus mencari. Agak susah di Kuantan, kerana kami tidak kenal siapa-siapa. Perlu bertanya di sana-sini.
Sahabat-sahabat, mohon didoakan saya, dan juga sahabat akrab - Khadijah yang sedang menghitung hari. Andai ada tersalah silap kami, mohon dimaafkan. Bimbang ada dosa dengan manusia lantaran terlanjur bicara dan sebagainya.
Alhamdulillahi 'ala kulli haal. Rabbana yassir wala tu'assir. Semoga diringankan dan dipermudahkan segalanya. Amin Ya Rabbal 'alamin.
3 comments: Responses to “ 38 Weeks. Counting Days..... ”
By Khadijah on July 1, 2009 at 3:16 PM
ameen.. :)
By Faiz Faiza on July 1, 2009 at 9:38 PM
Moga dipermudahkan ALLAH urusan kelahiran pejuang-pejuang Islam dari kantung ibu Jibah & ibu Dija =))
By Najibah Mustaffa on July 2, 2009 at 12:34 PM
To Khadijah:
Dup dap dup dap..here we go! :-)
To Faiz Faiza:
Syukran atas doa. Amin, mudah-mudahan kami diberikan kekuatan untuk mendidik generasi yang menjadi penyambung perjuangan islam.