Najibah's Weblog

Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.

Link Worth

Berubah Kerana DIA

Written by Najibah Mustaffa on 11:15 AM

" Enti, Siti tak pakai tudung dah ye? ". Tanya Mastura kepada saya melalui YM tempohari.

Gambar-gambar penyanyi tersohor itu ketika berlangsungnya konsert beliau baru-baru ini mengiyakan pertanyaan tersebut.

" Hmm..dia pakai tudung sebab berjanji dengan peminat....". Saya menjawab ringkas. Masih terbayang manisnya Hajjah Siti ini bertudung secara sempurna ketika mengerjakan haji bersama suaminya tak lama dulu.

Niat Permulaan Amal
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”

Hadis ini jelas menyatakan kepada ketika, setiap amalan yang dilakukan adalah bermula dengan niat.

Saya tidak punyai kuasa untuk mengetahui 'niat' Siti di sebalik perubahannya memakai tudung tidak lama dahulu. Namun, pernah terbaca kenyataan bahawa beliau akan bertudung selepas mengerjakan haji sepertimana yang pernah dijanjikannya dengan peminat.
Industri hiburan tidak pernah sunyi dari kisah 'penghijrahan' artis-artis daripada zaman gelap kepada jalan cerah dan hidayah. Masih segar dalam ingatan saya, Fauziah Ahmad Daud @ Kak Ogy ketika kemunculan pertamanya dalam rancangan Melodi sejurus pulang dari mengerjakan umrah beberapa tahun dulu...satu perubahan drastik! Auratnya ditutup sempurna, tangisan sebaknya masih terngiang-ngiang di telinga, betapa beliau menghargai hidayah yang diberikan Allah kepadanya ketika berada di Mekah.

Namun, itu dulu. Kini? Perubahannya anda boleh lihat sendiri.

Saya bukan menghentam artis yang membuat perubahan kemudiannya tidak kekal dengan perubahan tersebut. Namun, ia menjadi peringatan yang besar buat kita semua...yang sudah pasti tidak terlepas dari 'ujian' ini.

Kerana apa kita berubah? Kerana siapa kita berubah? Soalan ini perlu ditanyakan pada diri. Jika kita berubah kerana manusia, hasilnya sudah tentu tidak lama. Kerana perubahan itu tidak jitu.

Namun, jika kita berubah kerana DIA, Allah yang Maha Besar. Insya 'allah, perubahan itu akan kekal selamanya, dengan syarat 'Hidayah' yang diberikan Allah itu dipelihara dengan sebaiknya. Dibajai dan disuburkan dengan amalan yang ahsan.

Hidayah Bukan Selamanya Milik Kita
Hidayah Allah tidak dijamin kekal selamanya. Ia boleh datang dan pergi. Ada orang yang beriman di sebelah pagi, namun kembali kufur di sebelah petangnya. Semudah itu hidayah boleh menjauh dari diri kita!.

Oleh itu, kita dituntut untuk berdoa saban hari, saban waktu agar tidak dipalingkan hati daripada mengingati Allah, agar tidak tergelincir dari jalan hidayah.



Maksudnya :

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau gelincirkan hati-hati kami sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami dan kurniakanlah bagi kami rahmat daripada-Mu, Sesungguhnya Engkau amat mengurniakan.

Iktibar Kisah Muhaajir Ummu Qais

Hadis berkenaan niat di atas ada kisah di sebaliknya. Para ulama’ menceritakan bahawa terdapat seorang sahabat yang berhijrah dari Makkah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawarrah bukan kerana menyahut seruan ALLAH s.w.t dan RasulNya, tetapi kerana ingin berkahwin dengan seorang wanita bernama Ummu Qais.

Wanita tersebut telah mensyaratkan kepada sahabat berkenaan supaya berhijrah ke Madinah jika ingin mengahwininya. Ekoran peristiwa tersebut, sahabat itu di kenali sebagai Muhaajir Ummu Qais yang bermaksud ‘orang yang berhijrah kerana Ummu Qais’.

Manusia Sebagai Asbab Perubahan
Cara Allah memberi hidayah kepada hamba-hambanya berbeza dan pelbagai. Ada yang Allah berikan hidayah secara terus ke hatinya, ada yang mendapat hidayah kerana berlaku sesuatu peristiwa dalam hidupnya, dan ada manusia yang mendapat hidayah kerana melihat kebaikan dan akhlak manusia lainnya.

Contoh terdekat ialah bagaimana dengan akhlak dan keperibadian Rasulullah s.a.w yang mulia itu, masyarakat Arab Jahiliyyah yang sejak sekian lama hidup dalam kejahilan boleh terpesona dengan baginda yang digelar Al-Amin itu, lantas ramai yang memeluk agama Islam!.

Dan, dalam kehidupan seharian kita, perkara itu sering berlaku bukan?

Isteri berubah kerana suami..
Sahabat berubah kerana sahabat...
Rakyat berubah kerana pemimpin..

Segala-galanya mungkin. Namun, perlu diawasi 'hati' bagi yang berubah asbabnya manusia. Bimbang perubahan itu 100% kerana manusia tadi. Bukan lagi kerana Allah yang telah menggerakkan hatinya untuk mencontohi individu tersebut.

Umpama yang sering berlaku dalam percintaan 'anta anti'.

Si perempuan berubah menjadi solehah kerana terpesona dengan si lelaki. Yang bagus ilmunya, bagus akhlaknya, sempurna solatnya. Namun, tanpa disedari, perubahan itu tidak dihubungkan kepada Allah, dia berubah hanya semata-mata tertarik dengan lelaki tersebut.

Niatnya sudah beralih.

Jagalah Hati
Hati ibarat ejen perubahan. Untuk berubah ke arah kebaikan, hati perlu dibaiki terlebih dahulu. Namun, hati itu sifatnya sangat terseni, dan teramat sulit untuk dipelihara dan dijaga.

Menyedari hati juga bukan milik kita, sebagaimana hidayah. Kita perlu kembali Allah yang memiliki hati, agar sentiasa memberi kekuatan kepada kita untuk menjaganya...agar nanti, kita pulang bertemu Allah denganmembawa hati yang sejahtera (Qalbun Salim).

Firman Allah SWT di dalam surah al-Shu’araa’ [88-89]:

“Hari (Akhirat adalah hari) yang tidak bermanfaat lagi harta mahu pun anak pinak. Kecuali seseorang yang datang kepada Allah dengan membawa hati yang sejahtera”.

Ingatan dan muhasabah buat diri ini yang sering lupa dan alpa..
dan anda juga...

kerana..AGAMA ITU NASIHAT.

Najibah
2 Julai 2009
12.15 pm
Kuantan, Pahang


Related Posts by Categories



Widget by Hoctro | Jack Book
  1. 0 comments: Responses to “ Berubah Kerana DIA ”

Perjalanan hidup ini sebentar cuma. Manfaatkan masa sepanjang usia. Tempatmu sebagai anak, jadilah anak yang solehah. Tempatmu sebagai isteri, jadilah bidadari yang membahagiakan suami. Tempatmu sebagai ibu, berusahalah menjadi ibu mithali mendidik generasi rabbani. Tempatmu sebagai insan..jadilah manusia yang berbakti.. Dan sudah pasti, tempatmu sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakan, sedarilah...KITA INI HANYA DI TARAF HAMBA. Carilah seberapa banyak bekal untuk dibawa pulang..ke sana.

Islamic Calendar