Secebis Tenang Dari Ar-Rahman
Written by Najibah Mustaffa on 1:24 PM
Assalamualaikum w.b.t
Hari Jumaat yang tenang dan membahagiakan. Sudah 4 hari saya bercuti (dapat MC). Berehat di rumah di penghujung kehamilan ini bukanlah pilihan utama, memandangkan saya bosan bersendirian di rumah. Namun, kondisi diri membuatkan saya akur untuk berehat, menanti saat-saat permata hati menjengah dunia.
Di rumah, rutin biasa saya adalah mengemas rumah, membasuh baju, memasak dan melayari internet. Mengemas rumah seadanya, walaupun ikutkan hati nak mengalih, mengangkat itu dan ini, namun pesan ramai orang membuatkan saya berhati-hati.
Memasak juga seadanya, bila teringin nak makan sesuatu, saya akan masak. Semalam, teringin makan pajeri nenas, berkebetulan nenas yang ditanam di belakang rumah sudah masak, akhirnya ia menjadi juadah kami suami isteri petang semalam, dimakan bersama ikan panggang dan ulam kacang panjang serta sambal belacan.
Dan, tengahari ini, menu kami adalah ikan tongkol masak kicap dan sayur kacang panjang goreng. Alhamdulillah.
Hmm, entri saya sebelum ini "Resah di 39 Minggu" mengundang respons dari ramai sahabat. Ada yang meninggalkan komen di blog saya menitipkan kata-kata semangat dan ada yang call dan SMS setelah membaca blog. Terima kasih kerana menjadi teman yang menenangkan. Dan, terima kasih atas nasihat, tips dan doa.
Sebetulnya, ketika entri tersebut ditulis, saya benar-benar sedih. Kecamuk perasaan barangkali. Namun, setelah mengadu segala sedih dan kerisauan pada Rabbul Jalil, hati ini tenang kembali. Alhamdulillah, secebis tenang dari Ar-Rahman memberikan saya kekuatan. Pesan pada diri, tiada apa yang perlu dirisaukan, kerana saya beriman dengan firman Allah ini:
Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(At-Talaq: 2-3)
Alhamdulillahi 'ala kulli haal. Saya terus memohon doa sahabat, agar segalanya dipermudahkan. Amin Ya Rabbal 'alamin.
Najibah
10 Julai 2009 - 1.32 pm
Jumaat
Kuantan, Pahang
3 comments: Responses to “ Secebis Tenang Dari Ar-Rahman ”
By Anonymous on July 10, 2009 at 4:31 PM
wahhh...ada kebun rupanya ... seronok :)
By Liana on July 12, 2009 at 12:03 AM
Salam Kak JIbah, yang dah lama tak berjumpa. Kenapa akak sedih pulak ni... Semoga akak tak sedih2 di saat2 akak nak sambut kegembiraan ni... Maassalamah...
By Najibah Mustaffa on July 13, 2009 at 12:31 PM
Kak Mai,
Erkk..tak layak dipanggil kebun kot, sebab tanah sekangkang kera je..hehehe..ada juga pokok terung,lada, daun pandan, serai... :-)
Liana,
Apa khabar? rindunya kat awak. Hmm, don't worry, akak dah OK..alhamdulillah...doakan ye. :-)