Najibah's Weblog

Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.

Link Worth

Ramadhan Ini....

Written by Najibah Mustaffa on 10:49 PM

Dua pertiga Ramadhan sudah berlalu. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi ianya akan berangkat pulang meninggalkan kita. Entah tahun hadapan masih ada kesempatan usia atau tidak untuk kita bertemu dengannya lagi.

Di sana-sini sudah meriah dengan sambutan Syawal yang membahang. Namun, hati saya dingin pada Syawal. Bukan sahaja Syawal, kehadiran Ramadhan kali ini juga tidak terasa zuq di hati. Kerana, selepas bersalin tempohari, saya masih belum boleh melaksanakan ibadah khusus ini seperti mana lazimnya.

Jiwa terasa kosong, tidak berisi. Saya cuba membawa jiwa menghayati keagungan tetamu tahunan ini dengan melazimi zikrullah, menjadi penonton setia rancangan imarah Ramadhan yang disiarkan di televisyen, duduk di sisi suami bilamana dia tilawah al-qur’an…dengan harapan agar jiwa ini turut sama merasai manisnya tarbiyyah Ramadhan.

Dan, dengan harapan meraih berkat dan pahala Ramadhan, saya gagahkan juga diri memasak untuk juadah berbuka dan bersahur untuk suami tercinta. Sabda Nabi, pahala yang sama seperti orang berpuasa bagi mereka yang menyediakan juadah berbuka cuba saya hayati. Meskipun masih belum sembuh sepenuhnya selepas bersalin tempohari, masih ada sakit di sana-sini terutama bila banyak melakukan kerja rumah..di tambah lagi dengan tanggungjawab yang berat tapi manis – menguruskan si kecil yang baru hadir dalam keluarga kami, saya bahagia melakukan semua ini. Semoga, Allah menghitung amalan yang kecil ini dengan nilaian yang besar di sisi-NYA. Buat menampung amalan yang tidak dapat saya laksanakan di sepanjang bulan berkat ini.

Ramadhan 1430 ini memang berbeza sekali. Jika Ramadhan tahun lepas, saya berpuasa bersama-sama sahabat-sahabat dan adik-adik, penghuni Anjung Zahra’..dan ketika itu juga saya sibuk menguruskan persiapan untuk perkahwinan yang berlangsung selepas Aidilfitri, tahun ini saya tidak lagi bersama mereka.

Ramadhan tahun lepas masih single, tahun ini sudah bertiga! Alhamdulillah, syukur pada nikmat Allah yang tidak terhitung. Menggalas tugas dan amanah sebagai isteri dan ibu, penuh cabaran namun cukup bermakna. Membesarkan Nur Aqilah menjadi terapi buat diri.

Saya masih dalam proses untuk serasi dengan tugas baru. Ianya tidak sunyi daripada ujian. Sebagai isteri, ada harinya saya gagal mengurus emosi dengan baik. Dan juga mengurus rumahtangga sesempurna mungkin. Sementelah bergelar ibu, tanggungjawab berganda, pernah saya bermasam muka dengan suami, kerana terbitnya perasaan kecil hati yang bila difikirkan balik ‘entah ape-ape’..Namun, sering saya pohon kepada Tuhan sekalian alam, bukan untuk dikecilkan ujian yang bertandang, namun cukuplah dibesarkan jiwa untuk menghadapinya dengan iman.

Dan, Ramadhan ini juga, satu perubahan dilakukan pada diri bagi meraikan permintaan dan hasrat suami. Alhamdulillah, tidak terasa berat untuk melakukannya. Dan, mudah-mudahan Allah memberi kekuatan untuk saya istiqamah. Berubah atas permintaan dia yang dicintai, seiring dengan niat ikhlas kerana Allah. Hanya satu hasrat di hati, mendapat redha suami yang menjadi syarat untuk mendapat redha Allah.

Ramadhan Kareem! Ya Allah, peluklah daku dengan kasih-sayangMU yang tidak pernah bertepi.

24 Ramadhan 1430
Kuantan, Pahang


Related Posts by Categories



Widget by Hoctro | Jack Book
  1. 0 comments: Responses to “ Ramadhan Ini.... ”

Perjalanan hidup ini sebentar cuma. Manfaatkan masa sepanjang usia. Tempatmu sebagai anak, jadilah anak yang solehah. Tempatmu sebagai isteri, jadilah bidadari yang membahagiakan suami. Tempatmu sebagai ibu, berusahalah menjadi ibu mithali mendidik generasi rabbani. Tempatmu sebagai insan..jadilah manusia yang berbakti.. Dan sudah pasti, tempatmu sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakan, sedarilah...KITA INI HANYA DI TARAF HAMBA. Carilah seberapa banyak bekal untuk dibawa pulang..ke sana.

Islamic Calendar