Pelupa Selepas Bersalin?
Written by Najibah Mustaffa on 1:43 PMAssalamualaikum.
Ketika di zaman persekolahan peringkat menengah, saya adalah seorang yang sangat kuat ingatan. Sebagai pelajar aliran agama, saya perlu banyak menghafal dalil ayat-ayat al-Quran, hadis dan juga sirah Rasulullah s.a.w. Alhamdulillah, saya mampu menghafal semua itu dengan baik. Ditambah pula dengan minat yang mendalam pada subjek agama.
Juga bagi matapelajaran Bahasa Arab. Kalimah arab, makna seerti, perkataan berlawanan, peribahasa dan bidalan arab juga mampu saya hafal dengan baik. Seringkali saya mendapat markah tertinggi bagi matapelajaran Bahasa Arab, Pendidikan Al-Qur'an dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah ketika dalam kelas.
Masuk ke alam universiti, daya ingatan saya juga masih kuat, walaupun tidak sehebat alam persekolahan. Saya boleh mengulang semula ayat yang diucapkan oleh orang lain 'sebijik-sebijik', dan juga 'melakonkan' semula peristiwa yang berlaku apabila ada sesi 'sharing moments' bersama sahabat-sahabat sehingga saya digelar 'scanner'.
Itu dulu. Tapi sejak kebelakangan ini, selepas bersalin, saya diserang penyakit LUPA.
" Abang, kursus abang kat Temerloh tu berapa haribulan ek? ". Tanya saya pada suami sambil melipat pakaian yang baru diangkat dari jemuran.
" Berapa kali dah abang nak cakap?". Jawab suami dengan intonasi sedikit tinggi sambil menarik nafas. Marah mungkin sedangkan dia bukan seorang yang pemarah.
Saya terdiam. Ada rasa sedih menyelinap dalam hati. Bukan sedih kerana dimarahi suami. Memang wajar pun dia marah, jika ditanya soalan yang sama berulang kali. Saya sedih kerana mengenangkan diri yang semakin hari semakin menjadi-jadi penyakit lupa!.
Itu situasi yang berlaku tidak berapa lama dahulu. Ketika itu, suami ada 3 kursus, mesyuarat dan program secara berturut-turut di 3 tarikh dan lokasi berbeza. Saya bertanya untuk pengesahan dan ditandakan dalam jadual bilakah harinya saya akan hanya tinggal berdua dengan Aqilah apabila suami keluar berkursus. Walaupun sudah bertanya banyak kali, dan dijawab banyak kali, saya masih gagal mengingat dengan baik. Maklumat hanya disimpan dalam otak saya untuk tempoh sekejap sahaja.
Lupa atau 'blur'. Itulah keadaan saya ketika ini. Entah apa punca, tapi ianya ketara selepas melahirkan anak. Nama pelajar saya bagi keempat-empat subjek bagi semester ini juga gagal saya hafal seorang demi seorang. Sedangkan semester lepas, saya mengenal semua pelajar saya!.
Inilah saya, seorang isteri dan ibu yang terlalu ingin menjadi insan terbaik buat suami yang dicintai dan anak yang dikasihi. Dan, dalam usaha untuk menjadi terbaik itu, saya terlalu banyak berfikir. Otak saya mencapah memikirkan pelbagai perkara.
Sambil memasak, tangan laju memasukkan kain kotor ke dalam mesin basuh. Kepala ligat berfikir apa yang perlu dibuat selepas ini, pam susu, lipat kain, main dengan anak, gosok baju. Sambil memandu di pagi hari ke tempat kerja, dan membasahkan lidah dengan zikir ma'thurat, otak juga berfikir tentang anak. Waktu pulang dari kerja, sambil memandu juga berfikir apa yang ingin dimasak, nak kemas rumah, tentang planning balik kampung, peti sejuk yang perlu dicuci, bilik air perlu dibersih, stok lampin anak sudah habis perlu dibeli, macam-macam!.
Sementelah kini, tidur malam saya sudah tidak lagi seperti dulu. Bangun 4-5 kali setiap malam untuk menyusukan Nur Aqilah (bayi menyusu badan akan bangun lebih kerap untuk menyusu sebab cepat lapar- susu badan cepat hadam), 'mamai', sakit kepala berdenyut-denyut kerana rutin tidur yang tidak sempurna. Itu mungkin juga faktor saya jadi pelupa.
Saya tidak mahu menyebut perkataan ini: "Inilah pengorbanan seorang ibu", sebab saya tidak mahu mengungkit tugas yang sudah menjadi amanah buat saya. Cuma, sesekali terkenangkan pengalaman ketika bersalin dahulu, 16 jam menahan sakit kontraksi dan bersalin tanpa bantuan epidural. Mengalir airmata untuk melahirkan seorang anak. 16 jam seorang ibu bertahan demi anaknya. Lain orang lain pengalaman. Tapi sudah pasti bila disebut tentang pengalaman melahirkan anak, padanya ada cerita tentang kesakitan dan keperitan. Itulah sebabnya syurga itu di bawah tapak kaki ibu kan?
Adakah ibu-ibu diluar sana turut mengalami penyakit lupa seperti saya ini?.
Kata Ibu: Seorang ibu akan merasa penat sepanjang hayatnya, kerana dia telah dijanjikan balasan rehat di akhirat kelak. Insyaallah.
4 Dis 2009
2.08 pm
6 comments: Responses to “ Pelupa Selepas Bersalin? ”
By cee on December 5, 2009 at 12:21 AM
Assalamualaikum,
sgguh beerti quote yg terakhir tu.minta izin copy.terima kasih..
By Najibah Mustaffa on December 6, 2009 at 10:52 AM
To cee: Sila2 kan..=)
By MamaZana Baharum on January 30, 2010 at 5:57 PM
salam najibah...
mama br melahirkan baby yg ke3. mama juga mengalami masalah yg sama iaitu PELUPA. ingatkan mama sorang je yg ada penyakit tu. kite serupah. hihihi...
By mama wana on March 17, 2014 at 9:58 PM
assalamualaikum,
sangat bererti kata2 ibu yang ayat akhir tu, buat saya tersenyum & moga2 kita terus kuat, sabar dan tabah :)
By permata on August 8, 2016 at 9:09 AM
assalamu'alaikum..
sy pun sama..sejak selepas bersalin anak yg ke-3 ni..br 3 minggu lepas..sedih sgt... T_T
By permata on August 8, 2016 at 9:09 AM
assalamu'alaikum..
sy pun sama..sejak selepas bersalin anak yg ke-3 ni..br 3 minggu lepas..sedih sgt... T_T