Saling Membantu Bahagiakan Rumahtangga
Written by Najibah Mustaffa on 3:23 PM"Abang, tolong jemurkan kain boleh? ". Suami yang sedang membaca majalah bingkas bangun, masukkan kain yang sudah di 'spin' ke dalam bakul dan bawa ke jemuran. Dalam masa 2 minit, semuanya sudah terjemur, walaupun 'senget-benget'.
" Abang, kita lipat kain sama-sama nak?". Saran saya pada suami yang sedang leka menonton rancangan televisyen kegemarannya. Bimbang juga menganggu konsentrasinya.
Dan, acapkali ketika saya sedang menyusukan Aqilah di tingkat bawah selepas Subuh, terdengar bunyi 'iron board', tanda suami sedang menggosokkan pakaian kerjanya sendiri.
Bukan mudah untuk saya serasi dengan situasi seperti ini. Sedih rasanya hati bila suami melakukan kerja rumah yang sepatutnya diuruskan oleh isteri.
BUDAYA PANTAI TIMUR
Saya lahir di Terengganu, sebuah negeri Pantai Timur yang dahulu kebanyakan para isteri menjadi surirumah. Saya membesar dalam sebuah keluarga dan masyarakat sekeliling yang menjadikan suami sebagai 'raja' dalam rumahtangga.
Segala urusan rumahtangga daripada memasak, mengemas, basuh kain, jaga anak, adalah terpikul di pundak si isteri. Tugas suami hanyalah mencari rezeki, mantapkan ekonomi keluarga dan menjadi pembuat keputusan terhadap perkara-perkara besar dalam rumahtangga.
Contoh terdekat adalah ayah saya, di mana segala urusan rumahtangga diserahkan kepada emak bulat-bulat. Cuma kadang-kadang datang 'mood' nya, ayah akan memasak makanan yang digemarinya dan juga mengemas rumah sebab ayah 'pantang' lihat rumah bersepah.
Begitu juga contoh pada kedua-dua abang. Sama. Tidak pernah saya lihat abang tolong jemurkan kain, atau tukarkan lampin anak dan sebagainya. Itu budayanya. Mungkin kerana keadaan ayah dan abang-abang saya mempunyai isteri yang tidak bekerja, surirumah sepenuh masa.
AWAL PERKAHWINAN
Suami saya berketurunan Banjar, dan sedikit pengetahuan saya tentang orang Banjar ini, golongan lelaki mereka rajin. Mungkin tidak semua, tapi sifat rajin dan 'ambil tahu' pasal urusan orang perempuan ada pada suami.
Ketika di awal perkahwinan, di mana saya mengalami alahan yang teruk selama 3 bulan di awal kehamilan, suamilah yang menguruskan rumahtangga. Meskipun saya terasa ralat membiarkan semua kerja rumah dilakukan oleh beliau, namun saya bersyukur kerana pertolongannya itu serba sedikit meringankan beban saya.
CABARAN ISTERI BEKERJA
Memang saya akui, pada awalnya sangat kekok bila membiarkan suami buat kerja rumah atau minta tolong pada suami. Dan, sementelah kini kami sudah mempunyai anak, komitmen saya pada rumahtangga berganda. Bukan sekadar mengurus keperluan suami, rumah dan diri sendiri, saya juga perlu fokus kepada anak.
Dalam keadaan saya bekerja, memang diakui sangat penat dan letih. Sudah tiada istilah rehat dalam kamus hidup seorang ibu. Dan, bagi saya yang menyusukan Aqilah, pagi saya kelam-kabut dengan tugas rutin mengepam untuk menyediakan stok susu, mengemas rumah, menyediakan kelengkapan Aqilah untuk dihantar ke rumah pengasuh dan bersiap-siap untuk keluar bekerja.
Pulang daripada kerja pula, saya meneruskan rutin mengepam, memasak, melayan Aqilah yang sudah pandai inginkan perhatian saya, basuh baju, jemur baju dan lipat, menggosok pakaian untuk bekerja keesokan harinya. Tugas-tugas ini tidak pernah selesai sehinggalah membawa ke malam.
Masa terlalu cemburu dengan saya. Kadang-kadang tidak sempat berlama-lamaan berzikir selepas solat dek kerana Aqilah yang merengek inginkan susu. Acapkali ma'thurat di baca ketika menyusukan Aqilah.
Hanya sesekali ada kesempatan untuk membaca majalah dan buku, satu hobi yang sejak lama sudah tidak menjadi rutin.
PERTOLONGANNYA SATU RAHMAT
Selalunya saya minta tolong suami untuk buat kerja rumah yang tidak sempat diselesaikan dalam keadaan hati yang berat. Acapkali hati menangis, mengenangkan kelemahan diri di sana-sini, tidak mampu menjadi isteri dan ibu yang hebat, yang boleh menguruskan rumahtangga dengan baik.
Namun, saya perlu akur pada ketidakmampuan diri. Kami sama-sama bekerja, dan kami sama-sama merasai penatnya mencari rezeki. Dan, saya perlu akur bahawa tugas mengurus rumahtangga ini bukan lagi terpikul atas pundak seorang isteri, kami perlu sentiasa bekerjasama.
Pertolongannya itu satu rahmat dan cukup meredakan sedikit tekanan bergelar ibu dalam masa yang sama bekerja. Meskipun di peringkat awalnya, saya perlu 'meminta' untuk dibantu. "Abang, tolong itu...", "Abang, tolong ini...".
Menyedari tugas mengurus rumahtangga bukanlah 'gifted' ataupun kelebihan semulajadi yang ada pada orang lelaki, saya perlu bersabar untuk minta dibantu. Saya tidak boleh mengharapkan suami sudah tahu apa yang patut dibuat tanpa saya memintanya.
Saya yang perlu memulakan.
IKUT SUNNAH
Baginda s.a.w pun turun padang membantu para isteri baginda dalam mengurus rumahtangga. Bukan sedikit sirah yang boleh kita ambil pedoman, Nabi yang mulia menjahit sendiri baju yang koyak, tolong isteri baginda menguli tepung dan pelbagai lagi. Sedangkan di lapangan ummah, bagindalah manusia paling sibuk!
Siapakah yang paling layak untuk kita teladani dan susuri sirahnya, kalau bukan Muhammad, kekasih Allah?
Terima kasih pada suami yang banyak membantu ringankan beban. Saya ini masih cuba memperbaiki kekurangan diri, di sana-sini.
Semoga Allah permudahkan.
4 comments: Responses to “ Saling Membantu Bahagiakan Rumahtangga ”
By honey744 on December 2, 2009 at 8:03 AM
Walaupun akak tidak bekerja, akak still minta tolong beberapa kerja rumah tangga yang mudah pada suami. Bukan apa, nak memupuk kerjasama dalam mengendalikan rumah tangga supaya rasa rumahtangga dan anak milik bersama.
Seperti Jibah kata, kena bersabar dalam meminta bantuan. dan, kena terima hasil dari bantuan itu dengan hati terbuka. mungkin hasilnya tidak sebaik yang kita buat.
Tapi, bab lipat baju dan gosok baju, memang akak yang buat sebab tak puas hati kalau che' abang buat. hehehe...
By Najibah Mustaffa on December 3, 2009 at 9:48 AM
Kak Hani:
Betul tu, kena topup each other lah dlm rumahtangga. no matter isteri bekerja atau tidak...
bab lipat baju saya rasa hubby lagi OK dari saya, sbb dia lipat 'cumel-cumel' je kain2...
tp bab iron baju, hehehe..baju dia mmg dia expert, tp kalo baju perempuan, especially tudung dia mengaku tak expert...hehehe...
By zaza@mamaHanin on December 4, 2009 at 10:13 AM
seghupa la kami kat sini jib...
:)
By Najibah Mustaffa on December 6, 2009 at 10:55 AM
To zaza:hehe,sama ja la kita ni..=)rindu kat awak tau..