Najibah's Weblog

Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.

Link Worth

Cerita Jumaat

Written by Najibah Mustaffa on 2:01 PM

Assalamualaikum.

Salam Jumaat. Hari ini seperti biasa, ke office. Menempuh hari-hari tanpa tujuan. Opss! Itu saya pinjam statement my colleague.. Memang relaks semenjak 3 minggu ini, dan akan berlarutan sehinggalah akhir julai nanti. Student sedang bercuti semester. Kami, pensyarah seperti biasa kena bekerja. Saya masih ada beberapa tugasan untuk diselesaikan sebelum cuti bersalin.

Pot-luck

Hari ni ada agenda makan-makan @ pot-luck kat office. Setiap orang bawa sikit sorang makanan. Macam-macam ada! Alhamdulillah, kenyang sangat. 3 round saya 'menghayati' masakan orang lain. Biasanya rasa masakan sendiri je. Budaya 'sikit sorang' ini sangat bagus untuk diamalkan, bukan sahaja dalam jamuan pot-luck macam ni, tapi dalam kehidupan seharian kita. ye tak?

Dan saya, memilih untuk masak ayam goreng berempah. Asalnya nak masak paprik dan puding, tapi memandangkan agak 'renyah' (dalam keadaan saya tak larat sangat), saya tukar menu. Semalam, sebelum tidur, basuh ayam dan perap siap-siap dengan bahan-bahannya, simpan dalam peti sejuk. Pagi ni, goreng je. Sambil masak sambal tumis bilis dan nasi putih untuk abang makan tengahari nanti.

Alhamdulillah, habis licin ayam goreng saya. Rasa berbaloi memasak. Dan, kakak-kakak office ni sibuk minta resepi. Erkk, saya rasa ayam goreng tu biasa-biasa je. Bahan-bahannya pun blender je semua. Apapun, terima kasih pada kak mazni yang bagi saya resepi ini ketika saya menjalani praktikal di Tetuan AB Sidek and Assoc. 5 tahun yang lepas.

Saya kongsikan bahan-bahannya:

1. Ayam (1 ekor) dipotong ikut suka.
2. Halia, serai, lengkuas, kunyit hidup, bawang putih dikisar (guna blender kering)
3. Perapkan ayam dengan bahan-bahan kisar tadi dan masukkan garam.
4. Untuk menyedap rasa, saya tambah sedikit serbuk 'Cukup Rasa Maggi'.
5. Perap satu malam
6. Goreng dan hidang

Selamat mencuba!

Hak orang, bukan hak kita!!

Pagi ini, saya dapat satu berita tentang penyelewengan wang zakat. Sangat mengejutkan! Terpacul istighfar di mulut saya. Sanggup bagi seorang yang berpendidikan agama 'makan' duit zakat yang memang nyata bukan haknya. Bukankah zakat itu hak asnaf yang telah ditetapkan dalam al-Qur'an?

Bila nafsu tidak pernah berkata cukup. Gerun memikirkan azab dan dosa mengambil hak orang lain, walaupun 1 sen! Siapa kita untuk menjawab di hadapan Allah kelak? Adakah daya upaya?

Ya Allah, jauhkan kami dari sifat tamak dan haloba.

7 weeks to go!

Written by Najibah Mustaffa on 1:08 PM


Assalamualaikum

'7 weeks to go!'. Ya, 7 minggu lagi detik untuk saya bergelar ibu, dan suami untuk bergelar ayah. Tapi, saya sudah harus bersedia dari sekarang. Kata nurse, masuk 34 minggu, saya perlu bersedia untuk bersalin bila-bila masa. Barang-barang baby dan ibu sudah perlu di pack dan letak siap-siap dalam kereta.

Perasaan makin tidak sabar untuk melihat si dia. Yang selama ini hanya dirasakan kuis-kuis halusnya di dalam perut, dan bila usia kandungan sudah di peringkat trimester ketiga, kuis-kuis halus sudah menjadi tendangan di sana sini. Terasa perut sudah menjadi gelanggang!.

Namun, perasaan takut dan berdebar-debar, juga seram untuk melalui saat-saat bersalin sering menjadi igauan ngeri buat saya.

" Abang, malam tadi mimpi bersalin...kena operate. Seram! " Kata saya pada suami selepas solat Subuh.

"Hmmm..janganlah fikir sangat!.." Suami cuba menenangkan.

Hampir setiap malam tidur saya tidak lagi lena. Entah, pembawaan perasaan mungkin. Selain sakit-sakit yang makin menjadi-jadi. Solat sudah banyak yang duduk dari berdiri.

Pesan Mas, sahabat saya yang telah pun bergelar ibu beberapa bulan yang lalu:

"Jangan difikirkan sangat sakit nak bersalin tu, fikir seronok nak jumpa anak sendiri.."

Hmm...nasihat yang ringkas, tapi penuh makna. Terima kasih Mas! Hairin pula, berharap sangat untuk berjumpa saya sebelum bersalin. Katanya nak berkongsi banyak perkara tentang bersalin dan penjagaan bayi. Insyaallah, beliau dan suami akan berkunjung ke Kuantan awal Jun ini.

Menjelajah ke laman web menambah maklumat tentang proses kehamilan dan bersalin, membawa saya menginsafi maha sucinya Allah s.w.t, yang menjadikan manusia dengan prosesnya yang begitu terseni.

" Subhanallah kan Kak Bah, ada manusia dalam perut kita ni.." Kata Dijah, ketika kami chat melalui YM tempohari. Dijah juga seperti saya, menghitung hari bergelar ibu.

Ini pengalaman pertama. Macam-macam difikirkan. Hanya doa dititipkan saban waktu, agar dipermudahkan segalanya.

Barang-barang keperluan baby sudah hampir lengkap. Hujung minggu ini, misi kami untuk melengkapkan beberapa keperluan lain, untuk baby dan juga saya. Kami hanya mengutamakan yang penting-penting sahaja. Yang kurang penting, tangguhkan dulu.



@kakros01

Satu semester yang berlalu..

Written by Najibah Mustaffa on 12:50 PM


“ Puan, boleh jawab paper law hari tu…”. Kata Alauddin, salah seorang pelajar saya untuk subjek Sistem Perundangan dan Pentadbiran Malaysia sambil tersenyum. Puas hati barangkali.
“Alhamdulillah..mudah-mudahan result OK “. Saya membalas juga dengan senyuman.

Sebetulnya, saya gusar, bimbang tentang pencapaian pelajar-pelajar untuk ketiga-tiga subjek yang saya ajar untuk semester ini. Dan semester hadapan, akan bertambah lagi satu subjek. Satu semester yang penuh dengan ‘try’ dan ‘error’.

SEGALA-GALANYA BARU
Apapun, semester ini telah berakhir. Tempoh yang agak mencabar bagi saya, kerana semester ini dilalui dengan keadaan segala-galanya baru.

Tempat kerja yang baru. Saya aman di Kuantan berbanding KL yang penuh sesak yang telah saya tinggalkan.

Bidang baru. Dua tahun saya di sektor korporat, semua itu jauh berbeza dengan bidang yang dilalui kini. Sektor pendidikan terlalu baru bagi saya. Semester yang menguji perasaan, berdepan dengan pelajar-pelajar yang pelbagai ragam. Saya kurang ilmu paedagogi, acapkali tewas mendidik insan!

Mengharungi satu semester dengan pengalaman baru bergelar bakal ibu. Terasa penat dan mengahnya mendaki anak tangga untuk ke kelas, bersengkang mata di malam hari menyediakan nota kuliah, dan macam-macam pengalaman lagi.

Dan, di usia perkahwinan yang masih baru, saya kadang-kadang bergelut dengan perasaan. Tanggungjawab mengurus rumahtangga sebaik mungkin tidak terlaksana, tatkala tewas dengan kepenatan bekerja dalam keadaan diri yang sentiasa sakit di sana-sini sepanjang tempoh mengandung.

ANUGERAH YANG DISYUKURI
Alhamdulillah, semua itu dapat dilalui dengan sokongan suami tersayang. Syukur pada-Mu Ya Allah kerana dikurniakan teman yang memahami dan sentiasa menghulur bantuan meringankan beban.

Teman yang setia mendengar cerita-cerita (laporan harian) saya setiap kali pulang dari kerja. Teman yang tidak mengeluh dan bermasam muka bila saya tidak mampu mengurus rumahtangga dengan sebaiknya. Meskipun saya tahu, jauh disudut hatinya, tentu inginkan rumahtangga diurus sesempurna mungkin. Teman yang tidak banyak songeh soal makan. Sentiasa ‘OK’ untuk makan di luar atau hanya membeli di pasar malam, bila tiba hari-harinya saya tiada daya untuk memasak.

Terima kasih abang, atas pengertian dan bantuan.

KELUAR DARI ZON SELESA
Bergelar pensyarah di kolej swasta ini, bertambah lagi kantung pengalaman. Meskipun dalam hati ini masih berharap untuk mencari destinasi yang lebih baik, demi kepuasan ilmu. Namun, saya syukuri tarbiyyah yang Allah berikan kepada saya setakat hari ini.

Bertemu mad’u yang pelbagai, samada di kalangan pelajar dan pensyarah sendiri. Sebelum ini, saya sentiasa di ‘zon selesa’. Lingkungan saya adalah ‘orang baik-baik’. Yang ada kefahaman agama, dan inginkan kehidupan beragama.

Namun di sini, situasinya berbeza sama sekali.

Berdepan dengan pelajar yang sedang menginjak usia remaja, asyik-mahsyuk dengan budaya couple, masalah sosial yang meruncing, cara hidup yang tiada beza dengan remaja KL, solat entah ke mana…

Acapkali dalam sesi selingan saya di waktu kuliah, memberikan kata-kata nasihat buat renungan mereka, hingga terpacul keluar dari mulut salah seorang pelajar saya…”hmmm, tazkirah lagi!” sambil menunjukkan muka bosan. Pertama kali agak tersentak, namun itulah hakikat yang perlu saya terima, inilah mad’u saya yang sebenar.

Ada juga dikalangan pelajar yang dahaga ilmu agama, dalam keadaan pihak kolej ‘tidak mesra’ dengan program-program keagamaan, mungkin dianggap tiada kepentingan, atau pun mungkin juga bimbang tiada sambutan, datang berjumpa saya bertanyakan soal hukum agama. Itulah penawar bagi saya. Mereka perlu dibimbing, disedarkan.

MASA DEPAN YANG LEBIH BAIK
Saya pernah menyuarakan pada suami:

“ Dulu, company lama, dalam tempoh 2 tahun ayang dapat banyak pengalaman. Bagi training kepada staff, bagi ceramah kepada orang awam, pernah wakil company untuk bentang dalam meeting di Bank Negara, ilmu-ilmu agama bertambah sebab staff sentiasa tanya soalan, buat paper work, buat audit, improve English….bla…bla..”

Suami hanya tersenyum, mengiyakan. Pendengar yang setia.

Itu yang hilang daripada saya. Bukan menyesali keputusan yang dibuat untuk kembali ke sisi suami, meninggalkan kerjaya yang sudah selesa di bandar KL, tidak sama sekali, cuma saya rindu.

Ya, saya merindukan suasana kerja yang mana sepanjang tempoh kerjaya itu, memberikan nilai tambah kepada diri saya. Daripada tak tahu kepada tahu, daripada kurang mahir kepada mahir. Suasana yang mendesak saya untuk memerah otak, mengasah minda, saya sukakan cabaran.

Itulah yang masih saya cari. Doakan saya dipermudahkan, untuk masa depan yang lebih baik.

Cikgu Abu & Ummu Hani @ MHI Esok!

Written by Najibah Mustaffa on 6:22 PM

Assalamualaikum

Saya baru sahaja mendapat kiriman SMS daripada Ummu Hani.

" Kak bah, ummu dan abah dalam MHI jam 7.15 pagi esok, diskusi buku.."

Kepada yang berkesempatan, saksikan Ummu Hani, novelis muda yang sedang meningkat naik namanya dan abah beliau, cikgu abu hassan morad (pengarah urusan Galeri Ilmu) dalam Malaysia Hari Ini, TV3 jam 7.15 pagi, Jumaat - 22 Mei 2009. Tanda sokongan anda kepada penulisan dan penerbitan dakwah!.

Untuk makluman, drama Ehsan yang pernah disiarkan dalam slot Cerekarama TV3 dan mendapat respons sangat positif daripada penonton adalah terbitan Cikgu Abu, dan Ummu Hani pernah menghasilkan skrip untuk sebuah drama dakwah yang disiarkan sepanjang bulan Ramadhan yang lalu di TV3 dan Tv9 iaitu Lara Rindu Mahsuri.

Antara novel yang telah dihasilkan oleh Ummu ialah Ladang Hati Mustika, Baromkeh Matamu di Mataku, iaitu kisah yang digarap hasil kembara beliau selama hampir 4 bulan di Syria, dan dua buah tangan terbaru yang dijual sempena Pesta Buku Antarabangsa KL baru-baru ini; Satu Bulan Tiga Bintang dan Catatan Hati Nik Nur Madihah.

Buat Ummu, tahniah adikku!

@kakros01

Jangan Berhenti 'Berlari'

Written by Najibah Mustaffa on 3:34 PM

Assalamualaikum

Sekadar berkongsi, saya tertarik dengan tulisan Ustaz Zaharuddin dalam blog beliau:

JANGAN BERHENTI ‘BERLARI'

Namun, jika anda merasakan saya tersangat sibuk semasa pulang itu, ketahuilah terdapat amat ramai pendakwah di Malaysia yang puluhan kali ganda lebih sibuk. Saya hanyalah manusia kerdil yang menyumbang dalam ruang lingkup yang kecil, sekadar kemampuan, saya berdoa agar ia tidak kerdil di sisi Allah swt. Allah swt mengajar kita

فَاسْتَبِقُواْ الْخَيْرَاتِ

Ertinya : "Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan ( Al-Baqarah : 148 )

Lalu mengapa harus kita berhenti dari berlari dan terus berlari dalam menyumbang kebaikan ?? Adakah amal kita sudah berlebihan untuk berhenti?

Tulisan lanjut, catatan pengalaman UZAR selama seminggu pulang ke Malaysia atas beberapa urusan boleh dibaca di sini.

Muhasabah buat diri sendiri, rasanya sudah terlalu lama tidak mencabar keupayaan diri, dan merasa sibuk dengan urusan ummah!.

Ya Allah, janganlah Engkau sibukkan kami dengan urusan dunia, sehingga tiada masa untuk urusan akhirat. Kami tidak ingin pulang kepada-Mu dalam keadaan kami miskin hina, lagi papa kedana!

Wal 'iyazubillah...




Wajah Baru

Written by Najibah Mustaffa on 10:16 PM

Setelah agak bosan dengan template blog yang lama, akhirnya blog saya ini berubah wajah. Alhamdulillah. Hasil usaha dan sentuhan kreatif suami tersayang. Nak buat sendiri tak pandai.

Saya puas hati dengan wajah baru 'rumah' saya ini. Semoga, pengunjung yang datang berziarah pun begitu.
@ipin02

Nisa' @ IKIM.fm

Written by Najibah Mustaffa on 10:20 AM

'On air' @ IKIM.fm
Depan: Puan Mastura (Pengarah Nisa' Malaysia) bersama Puan Muna 'Izzah (Timb. Pengarah) dan DJ

Belakang: Cik Sofea (Setiausaha Nisa' Malaysia)

Assalamualaikum

18 Mei 2009 @ 3.15 petang: Nisa' Malaysia telah mendapat peluang keemasan untuk bersiaran di radio IKIM bagi mempromosikan Nisa' sebagai sebuah kelab untuk remaja. Saya difahamkan IKIM tertarik untuk mengundang Nisa' kerana mendapat banyak iklan tentang program-program Nisa' untuk disiarkan di radio IKIM.

Dan, pihak Nisa' berpeluang memperkenalkan Nisa' terutamanya mengenai aktiviti, keahlian dan sebagainya selama hampir sejam bersiaran secara percuma! Tidak perlu apa-apa bayaran. Alhamdulillah

Bagi yang masih belum mengenali Nisa', sila lawati laman web Nisa' di sini.

Jom Join Nisa'!

Selamat Hari Guru

Written by Najibah Mustaffa on 10:28 PM




Lilin Seorang Guru (In-team)
Pernah langkahku payah
Menuju ke destinasi
Kerana malam gelap
Dan bintang hilang kerdipnya
Menjadikan arahku keliru
Ke timur atau ke barat

Bagai lilin membakar diri
Menerangi kegelapan hati
Kau curahkan bakti dan budi
Jasamu tiada berganti

Namun tanpa rasa payah
Dia memimpin tanganku
Melangkah satu persatu
Dan mencipta jejak impian
Menjadikan arahku jelas
Aku harus ke hadapan

Ohoo... aku kini rindu
Pada satu nama yang berjasa
Tuhan... beri kekuatan
Untuk mendidikku selamanya
Ku pohon restu kasihmu
Ampunkanlah guru-guruku

Semalam ku lihat dia
Di bibirnya ada kalimah
Yang bergetar saban waktu
Sambil tangan menggenggam lilin
Lilin yang tiada terpadam
Menerangi hidupku kini

Selamat Hari Guru buat semua, dedikasi khusus buat sahabat-sahabat yang bergelar guru; Zurina, Ana Hafizan, Mahfuzah, Nazihah dan juga guru-guru yang pernah mendidik diri ini. Hanya Allah selayaknya membalas jasa-jasa kalian.

Musim kahwin datang lagi...

Written by Najibah Mustaffa on 9:58 PM




Cuti persekolahan bakal bermula tidak lama lagi. Bermakna, musim kahwin juga datang lagi.

Setakat hari ini, banyak undangan majlis perkahwinan telah kami terima. Pening juga memikirkan, hasrat di hati ingin meraikan semua jemputan. Lebih-lebih lagi, jemputan dari sahabat-sahabat yang datang ke majlis perkahwinan kami dulu.

Tapi, apakan daya, faktor jarak dan masa membataskan kami untuk memenuhi semua jemputan. Apapun, didoakan buat pasangan yang telah mahupun bakal mendirikan rumahtangga, semoga beroleh rahmat Allah s.w.t.

Dan hari ini, 16 Mei 2009, Ina (Zarina Zanirun) - bekas housemate saya di Anjung Zahra' (AZ) telah selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Faisal Bahari. Alfu mabruk!

Saya masih menunggu warga Anjung Zahra' yang lain untuk menamatkan zaman bujang mereka!
@upin01

Sayyidul Ayyam

Written by Najibah Mustaffa on 10:15 AM



Jumaat penghulu segala hari. Alhamdulillah, masih dikurniakan kesempatan dan ruang waktu oleh Allah untuk meneruskan kehidupan. Pagi ini saya rajin sikit dari hari sebelum-sebelumnya, sebab tak rasa sakit pinggang seperti selalu. Buat sarapan yang betul-betul untuk abang (Biasanya sarapan ringkas-ringkas je).

Pagi ni, masak nasi pulut gaul nyior, makan dengan ikan cencaru goreng yang mak mertua bagi. Hm, saya makan dengan berselera tapi abang..erkk, macam tak laju je makan. Ingatkan dia tak suka nasi pulut, tapi abang dengan penuh berhikmah jawab, ‘sebab tak de pedas, abangkan suka pedas..’. Agaknya bimbang saya kecil hati kot!.

Peliknya kalau makan nasi pulut dengan sambal pedas!. Saya mengomel. Hmmm, selera dua negeri, yang masih dalam proses untuk serasi. Saya perlu belajar kurangkan gula dan tambahkan pedas dalam masakan!.

Dan….Jumaat memang hari yang paling mendamaikan buat saya sejak dari zaman persekolahan lagi. Ketika itu, saya seronok menanti hari Jumaat kerana hari tersebut merupakan cuti bagi Terengganu, dalam erti kata lain, tak sekolah!

Jumaat juga menyeronokkan ketika zaman remaja saya, kerana setiap pagi Jumaat ada kuliah Tuan Guru Haji Hadi atau lebih dikenali sebagai ‘ayoh chik’ oleh masyarakat setempat. Kuliah yang diadakan di masjid Rusila setiap minggu (seumpama kuliah Tuan Guru Nik Aziz di Kota Bharu) akan penuh dengan manusia yang datang dari pelusuk negeri samada untuk berniaga (Rusila di pagi jumaat akan meriah dengan gerai-gerai jualan yang pelbagai) ataupun mendengar kuliah. Dan, saya sejak dari kecil lagi dididik oleh ayah ‘gi dengor’ (mendengar) kuliah mingguan yang menjadi santapan rohani penduduk setempat, berpuluh-puluh tahun lamanya.

Dan, kini..Jumaat masih lagi menyeronokkan bagi saya. Sebabnya, Sabtu dan Ahad adalah hari cuti. Dan, yang lebih penting, hari Jumaatlah satu-satunya ‘hari emas’ dalam seminggu bagi mereka yang menggemari rancangan-rancangan agama di TV, seperti saya. Bermula Khamis malam Jumaat, saya akan ‘conquer’ channel TV untuk menonton Forum Perdana Ehwal Islam @ TV1 dan Halaqah @ TV9. Juga Kes Syariah @ TV9. Walaupun banyak kali bertukar channel ke Keliwon @ TV3 kerana meraikan suami..hehehe...

Malam tadi, Forum Perdana Ehwal Islam membincangkan tajuk ‘Zikrullah’ di mana salah seorang panelnya adalah Ustaz Nazri Chik dari BIMB. Dan, diskusi Halaqah mengenai ‘Keluar Rumah’.

Dan pagi Jumaat, segar jiwa bila dimulakan dengan rancangan Tanyalah Ustaz @ TV9. Saya suka program soal- jawab agama macam ini. (Teringat pengalaman di Takaful Malaysia dulu, menjawab macam-macam soalan agama dari staff). Pagi ini, bersama Ustaz Zahazan membicarakan tajuk 'Musibah'.

Jika berkebetulan Jumaat bercuti atau cuti umum, saya suka tengok rancangan Al-Hidayah @ TV3, Usrah @ TV9 dan mengikuti siaran langsung Solat Jumaat dari Masjid Negara. Tapi, ini jarang-jarang dapat sebab jumaatkan hari bekerja. :-)

Dan, petang ini, akan ada rancangan Al-Kuliyyah @ TV3, dan sebelah malamnya pula akan ada Semanis Kurma @ TV9. Erkk, selalunya rancangan ini akan di ‘block’ oleh suami saya (atas sebab-sebab tertentu..hehehe).

Bagi orang yang tak suka tengok TV seperti saya (melainkan Cerekarama @ TV3..hehehe), rancangan agama seperti ini ibarat siraman air hujan, yang menyubur jiwa yang kadang-kadang gersang dari peringatan dan muhasabah. Sekarang dah terlalu jarang dengar kuliah di masjid atau surau, tak seperti di zaman kampus dulu, ada sahaja program ceramah dan tazkirah, paling tidak pun usrah. Saya merindukan semua itu.

Syukur ya Allah, atas nikmat Jumaat yang membahagiakan.

31 weeks

Written by Najibah Mustaffa on 3:08 PM

“9 weeks to delivery”. Seramnya. Dulu, kalau dengar cerita orang bersalin, perasaan saya biasa sahaja. Tidak terbayang pun tentang kesakitan bersalin. Hanya keseronokan mendengar cerita orang yang menimang cahayamata.

Tapi, bila hampir tiba ‘turn’ sendiri, rasa seram sejuk. Hampir tiap-tiap malam mimpi bersalin. Ya Allah, mudahkanlah segalanya.

Last check up, minggu lepas, semuanya OK. Alhamdulillah, berat naik 2.1 kg sebulan. Peningkatan yang normal. HB pun meningkat, 10.8. Pencapaian terbaik setakat ini, walaupun masih di bawah paras yang sepatutnya.

Usia kandungan dah masuk 31 minggu. Dan, bermula minggu ni, rasa perut sangat tidak selesa. Baby asyik menekan, menguis, menendang dan macam-macam lagi. Sakit belakang dan lenguh kaki menjadi-jadi. Tidur malam sering tak lena, semput dan sesak nafas. Mengiring ke kiri, ke kanan, serba tak kena. Memang penat.

Rumah pula kurang terurus. Walaupun setiap hari saya berazam nak lawan kepenatan ini, nak lipat baju, nak kemas rumah, nak basuh baju, tak nak ‘miss’ sediakan sarapan untuk abang etc etc, tapi hakikatnya bila balik kerja, hanya ada sisa-sisa tenaga yang berbaki. Gagahkan juga diri untuk menyediakan makan malam.

Setiap kali lepas solat berjemaah, rasa nak minta maaf dengan abang di atas segala ‘kekurangan’ ini. Dan, ingin memohon secebis pengertian di atas ketidaksempurnaan menjalankan tanggungjawab dan peranan sebagai ‘house manager’. Tapi, selalunya hasrat itu terpendam begitu sahaja. (Saya memang suka pendam perasaan). Sebab, bimbang air mata akan mengalir.

Entahlah, makin hampir detik menjadi ibu, saya makin sensitif. Terkadang, perasaan berkecamuk. Macam-macam perkara difikirkan.

Hanya kepada-Mu ya Allah, kami pohon kekuatan. Agar segala urusan ini dipermudahkan. Pada-Mu lah segala kunci ketenangan dan kebahagiaan.

Sering saya ingatkan diri, Allah sedang berbicara dengan saya tentang IKHLAS dan SABAR. Bukan mudah untuk mencapai darjat isteri mithali, yang diredhai suami. Tawaran syurga perlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Dan bukan mudah untuk bergelar ibu, hanya pesan pada diri, setiap sakit dan kesukaran yang ditempuh, ada pahala buat yang sabar. Ada ruang penghapusan dosa.

Dan, buat tipah dan mama jiah yang sedang menghitung hari untuk bersalin, didoakan segalanya dipermudahkan. Amin ya Rabb.

Updated: Justice

Written by Najibah Mustaffa on 10:15 AM



Kemaskini: Keputusan Mahkamah Rayuan semalam, sehari selepas keputusan Mahkamah Tinggi agak mengejutkan. Saya tidak menafikan rayuan adalah satu proses yang biasa. Namun, banyak yang mengelirukan, dan sekali lagi, keputusan tersebut meletakkan krisis politik Perak dalam keadaan tegang.

Sama-sama kita nantikan apa yang bakal terjadi selepas ini.

Alhamdulillah, tiada apa yang terucap melainkan syukur atas keputusan Mahkamah Tinggi semalam, berkaitan pengesahan siapa MB Perak yang sah di sisi undang-undang.

Saya secara peribadi sedikit terkejut dengan keputusan yang memihak kepada YB Nizar, walaupun itulah yang diharapkan dan sepatutnya berlaku. Dalam keadaan terlalu banyak 'isu' yang mencampuri dan melingkari institusi kehakiman di Malaysia, sehingga terkadang kelihatan seolah-olah badan keadilan itu tidak lagi 'bebas', saya hilang keyakinan.

Apapun, keputusan semalam telah memberi impak besar kepada pemulihan semula peranan dan fungsi institusi kehakiman di mata rakyat.

Pada tenang wajah YB Nizar dan isteri menyambut berita gembira itu, sudah pasti disebaliknya, ada tawakkal dan pengharapan yang begitu tinggi pada Allah, agar kemenangan berpihak kepada yang hak.

Dan, dalam banyak-banyak komen dan ulasan yang diberikan samada oleh ahli politik, blogger dan orang awam yang sempat saya baca di internet, pesan dan tawjihat daripada Mursyidul Am PAS - Tuan Guru Nik Aziz jauh memberi kesan di hati.

Beliau sebaik sahaja menerima berita gembira itu, terus sujud syukur, dan memanjangkan pesan kepada semua penyokong Pakatan Rakyat:

1. Puasa sunat dan sujud syukur
2. Jangan keluarkan kenyataan yang boleh melukakan hati pihak lawan.

Masyaallah, akhlak seorang Murabbi, yang perlu kita contohi dan ikuti. Setelah Baginda s.a.w pergi, ulama' lah penunjuk jalan, kerana mereka pewaris Nabi.

Bersama kita renungkan sabda Baginda yang dikasihi:

" Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia..."

Selamat Hari Ibu

Written by Najibah Mustaffa on 1:46 PM

"Mak, selamat hari ibu!".

"Insyaallah, selamat sokmo doh...". Ceria suara mak membalas ucapan saya dihujung talian.

Dalam hati, saya sedih. Entah, makin hampir detik untuk bergelar seorang ibu, jiwa saya makin sensitif bila teringatkan mak. Acapkali tidur malam saya bermimpikan mak. Mak sedih, menangis. Bila terjaga, saya terfikir sendiri. Apakah petanda mimpi ini?. Bimbang sekiranya mimpi itu petanda mak ada berjauh hati dengan saya. Terkadang, dalam kesibukan dengan dunia baru berumahtangga, saya jarang menghubungi mak bertanya khabar.

Saya resah. Dan, hanya selepas menghubungi mak, mendengar suaranya, hati saya kembali tenang.

Setiap kali seusai solat, dalam doa yang dititipkan, hati saya sering tersentuh bila mendoakan kesejahteraan mak dan ayah. Entah, terasa diri ini masih kurang berbakti kepada mereka.

Benarlah, pengalaman yang dilalui benar-benar membawa ingatan saya kepada jasa dan pengorbanan seorang ibu.

Pengalaman pertama mengandung memang menyeronokkan, namun ia bukan mudah. Sakit di sana-sini, lenguh, kebas, sakit pinggang dan kadang-kadang mual, tak lalu makan...Di saat berdepan dengan semua ini, saya sering teringatkan mak. Semua ini telah dia lalui, bukan sekali, tapi berkali-kali.

Ingatan di hari ibu menjadikan saya tekun mengimani perintah Allah dalam kalam-Nya, agar hidup kita sebagai anak sentiasa berbakti kepada kedua ibu bapa. Berbuat baik kepada mereka, jaga hati mereka, dan menyayangi mereka.

Saya perlu terus berdoa, agar diri ini terus dipelihara Allah, sentiasa menjadi anak yang solehah, dan saya mohon perlindungan Allah dari perlakuan dan percakapan saya yang mungkin membuatkan mak dan ayah terluka.

ESQ 165: Salah Faham dan Komen UZAR

Written by Najibah Mustaffa on 12:06 PM

Assalamualaikum.

Saya tidak pernah mengikuti program ESQ 165 ini. Tetapi, secara peribadi pernah mendapat komen secara langsung daripada beberapa orang individu yang telah menyertainya, dan komen tersebut ada yang positif dan ada yang negatif. Hasil daripada komen yang diberikan, ada beberapa perkara yang saya sendiri keliru, namun tidak berani mengulas sebab tiada ilmu mengenainya, dan saya juga tidak pernah menyertai program tersebut. Maka amat tidak wajar untuk saya mengulas tanpa pernah menghadirinya.

Dan pagi ini, saya baru sahaja membaca ulasan dan komentar Ustaz Zaharuddin tentang program ini di blog beliau. Ulasan yang hampir menyeluruh saya kira. Beberapa kekeliruan saya tentang program ini telah terjawab. Terutama mengenai aplikasi asma'ul husna dan sifat-sifat Allah ke dalam diri kita manusia, beberapa konsep yang diperkenalkan ketika program tersebut, sujud syukur dan menangis beramai-ramai ketika sesi muhasabah dan juga penggunaan muzik instrumental dan aktiviti nyanyian sambil 'menari'.

Ada beberapa perubahan terhadap modul dan pelaksanaan yang dicadangkan oleh UZAR kepada pihak ESQ agar dilakukan dengan segera (bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham) dan ianya disambut baik oleh pihak ESQ.

Syabas kepada pihak ESQ atas keterbukaan mereka menerima komentar dan cadangan penambahbaikan, dan ini membuktikan keikhlasan mereka dalam menguruskan program sebegini.

Dan, terima kasih UZAR atas penjelasan yang diberikan. Anda boleh membacanya secara lanjut di sini.

Perjalanan hidup ini sebentar cuma. Manfaatkan masa sepanjang usia. Tempatmu sebagai anak, jadilah anak yang solehah. Tempatmu sebagai isteri, jadilah bidadari yang membahagiakan suami. Tempatmu sebagai ibu, berusahalah menjadi ibu mithali mendidik generasi rabbani. Tempatmu sebagai insan..jadilah manusia yang berbakti.. Dan sudah pasti, tempatmu sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakan, sedarilah...KITA INI HANYA DI TARAF HAMBA. Carilah seberapa banyak bekal untuk dibawa pulang..ke sana.

Islamic Calendar