Najibah's Weblog

Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.

Link Worth

Hari-hari yang begini

Written by Najibah Mustaffa on 1:22 PM


3 minggu sebagai 'acting manager' dilalui dengan jadual yang begitu padat. Hampir setiap hari bermesyuarat, pagi dan petang. PIC Meeting - PA, EPF, ILP, PDC, SOP, dan dalam tempoh 3 minggu ini juga, berpuluh-puluh dokumen singgah di 'inbox' untuk vetting. Juga verification untuk dokumen bersifat 'urgent' singgah di meja.

3 minggu tanpa 'Manager'. Terasa diri ini merangkak, dan kadang-kadang terasa ibarat 'orang buta'. Banyak maklumat yang tiada dalam kepala.

Penat! Di tambah pula dalam seminggu dua ini, perlu menguruskan perpindahan jabatan dari tingkat 10 blok utama, ke tingkat 23 blok annex.

Hari-hari yang begini, menghadiahkan saya pelbagai rasa. Yang pastinya, setinggi-tinggi kesyukuran pada Allah, inilah nikmat pengalaman.

3 minggu ini, memang penat, sibuk dan tak terasa masa di pejabat berlalu begitu cepat. Namun, keseronokan mempelajari pelbagai ilmu baru adalah perkara yang sangat menggembirakan. Cuma, saya perlu lebih matang untuk semua ini.

" Winning is about thinking one step ahead! "

Dalam doa dan harapan, agar tempat Us.Wan cepat-cepat diganti.

5-6 Mei 2008, bengkel 2 hari mengenai 'Shariah Audit'di Hotel Nikko. Sangat-sangat dinantikan. Mudah-mudahan tugasan Shariah Audit selepas ini dapat berjalan dengan baik.

Semoga, Dia kurniakan saya masa yang berkualiti.

Najibah, teruskan menghimpun sabar dan kekuatan.

Demi Masa...

Written by Najibah Mustaffa on 1:41 PM

23 April 2008: Mesyuarat PIC (PA and ILP)
25 April 2008: Training " A Session With Shariah" to new staff
26 April 2008: Meeting Nisa'Malaysia with Nisa' Negeri
29 April 2008: ERM Briefing (Risk Management)
1-4 Mei 2008: Rehat Minda di Terengganu
5-6 Mei 2008: Workshop on Shariah Audit and Governance, Nikko Hotel
10 Mei 2008: Ceramah 'Pengurusan Masa'- Induksi PMAPIUM

Wahai yang bernama lelaki...

Written by Najibah Mustaffa on 4:51 PM

Wahai yang bernama lelaki…

Cerita 1:

“ Tahu tak pinah (safinah) dah meninggal? “.

Tanya mak ketika kami selesai menikmati makan tengahari. Sungguh berselera saya mengadap menu ’air tangan’ mak hari itu, nasi putih berlaukkan sotong bakar berempah, ikan goreng sumbat, salad dan sambal belacan.

”Innalillahi wa inna ilaihi raaji’un....bila? Kenapa? ”. Tanya saya. Terkejut. Seingat saya arwah masih muda, mungkin sebaya kakak saya. Cantik orangnya. Telah berkahwin dan dikurniakan 3 orang cahayamata.

Mak mula bercerita. Rupa-rupanya arwah sudah lama sakit. Cuma saya yang tidak tahu, disebabkan pulang ke kampung hanya sesekali. Saya tidak begitu mengenali arwah secara dekat. Menurut cerita mak, arwah sudah lama hilang penglihatan, dan telah terlantar di hospital berbulan-bulan lamanya akibat penyakit ’misteri’. Dan untuk menguruskan jenazah beliau, pihak hospital yang memandikan dan sebagainya, bukan keluarga beliau.

Dan apa yang menyedihkan saya, rupanya penderitaan arwah dan sakit ’misteri’ itu ada kaitan dengan virus yang paling ditakuti oleh kita semua – dijangkiti dari suaminya, bekas penagih. Masyaallah! Al-Fatihah.

Cerita 2:

” Najibah, permohonan zakat akak hari tu macam mana? ” Tanya Kak A pagi tadi.

” Belum lagi, tengah proses untuk dapat approval SAB ”. Jawab saya ringkas. Pagi ini agak sibuk dengan outstanding task.

Kak A kelihatan murung, sambil bercerita masalah kewangan yang menghimpit. Kerjanya hanya sebagai tea-lady, gajinya tidak seberapa dan menanggung 4 orang anak yang sedang meningkat dewasa.

” Akak ni ibu tinggal..dah 12 tahun dah...”. Kak A mula bercerita. Kisahnya yang sudah ditinggalkan ’suami’. Sudah 12 tahun digantung tak bertali! Hanya sesekali pulang ke rumah, sekadar ’bertanya-khabar’ anak-anak. 12 tahun tidak pernah menghulur nafkah!

”Kenapa tak minta fasakh?”. Saya agak emosi. Telinga saya memang berdesing bila mendengar kisah-kisah penganiayaan lelaki terhadap wanita, lebih-lebih lagi ’suami’ terhadap ’isteri’.

” Rumah yang akak dan anak-anak duduk sekarang rumah dia..nanti kalau bercerai, akak nak duduk mana? Suami akak dah ugut akak...”
Huh!!...Telinga saya tambah berdesing.

Cerita 3:

”Ustazah, boleh terangkan kepada saya tentang lafaz talak secara kinayah? ”. Tanya seorang kakitangan wanita kepada saya melalui emel.

Saya membalas emel beliau dan menerangkan se ’detail’ mungkin.

” Ustazah, apa hukumnya suami menjatuhkan maruah isteri depan keluarga dan kawan-kawannya, dan sering menceritakan hal ehwal dalaman rumahtangga kepada orang lain? ”. Soalan tadi dipanjangkan.

Setelah berbalas-balas emel, barulah diketahui, rupanya wanita ini menghadapi masalah rumahtangga walaupun usia perkahwinan belum lagi mencecah 3 bulan. Tekanan perasaan yang dihadapinya sangat hebat kerana keluarganya sendiri ’memulaukannya’ gara-gara tindakan suaminya yang sering memburuk-burukkannya.

Emosi juga saya ketika itu. Lelaki jenis apa ini? Mengapa berkahwin kalau hanya untuk menganiayai pasangan!

Huh! Memanglah wanita tidak boleh menjadi hakim dalam kes-kes sebegini. Emosi!

**************************

Cerita-cerita yang dipaparkan, dan banyak lagi yang singgah di telinga, atau berlaku di depan mata membuatkan kadang-kadang saya gerun untuk berumahtangga.

Kebanyakkan kes keruntuhan rumahtangga adalah berpunca daripada lelaki iaitu ’suami’. Maaf, saya bukan bersifat feminisme, tapi itulah hakikatnya. Mungkin, lelaki di akhir zaman ini sudah tidak ramai yang ’berkualiti’.

Dan, trend masyarakat kita sekarang, bagi ibu bapa yang ingin mengahwinkan anak perempuannya, antara soalan-soalan yang biasa ditanya terhadap calon suami ialah:

” Kerja apa? ”

”Mahal ke gajinya? ”

” Lawa ke orangnya? ”

Jarang sekali calon lelaki ini di ’soal-siasat’ amal-ibadahnya, akhlaknya, kemampuannya sebagai ’imam’ dan ’pemimpin’ dalam mengemudi bahtera rumahtangga.

Hmm, bila soal ’kuantiti’ diutamakan berbanding ’kualiti’.

Saya tak mahu mengulas panjang. Cuma, saranan buat lelaki yang telah bergelar suami, atau pun bakal menjadi suami, bacalah buku sulung Ustaz Hasrizal Jamil : ”Aku Terima Nikahnya ”.

Mudah-mudahan, ada panduan untuk menjadi suami yang berkualiti, imam yang membawa makmumnya ke destinasi selamat, dunia dan akhirat.

Selamat bertugas Ustaz!

Written by Najibah Mustaffa on 1:34 PM

Pagi ini ketika memandu ke pejabat, saya menerima SMS daripada Ustaz wan.

“ Seram sejuk juga rasa nak mula tempat baru. Doakan saya agar diberi kekuatan “

SMS beliau saya balas:

” Selamat bertugas Ustaz. Insyaallah, Allah akan bantu dan permudahkan. Doakan saya sama ”

Hmm, terasa sedih pulak datang kerja pagi ni bila tengok bilik Ustaz gelap je. Nor, officemate pulak EL. Tinggallah saya keseorangan.

” Apa yang ada, jarang disyukuri...apa yang tiada, sering dirisaukan...”

Mungkin. Dulu masa ustaz masih jadi bos, banyak kali juga kami ’bergaduh’. Kecil hati pun selalu, lebih-lebih lagi bila kena marah dengan bos. Biasalah, dalam tempoh mencari keserasian dalam bekerja.

Dan hari ini, bila ustaz dah berhijrah ke tempat lain, saya benar-benar terasa kehilangan. Mungkin sejak akhir-akhir ini saya banyak berbincang dan berkongsi dengan beliau.

Petang Jumaat lalu, hari terakhir Ustaz di TM, sangat menguji perasaan saya dan staff-staff lain yang rapat. Dan juga mungkin Ustaz. Cuba menahan airmata dari mengalir, tapi gagal.

Ketika memandu pulang dari pejabat ke rumah, airmata tidak henti-henti mengalir. Selepas solat Maghrib, ketika berdoa, saya panjatkan doa agar Allah beri saya kekuatan untuk lead department sementara mendapat pengganti Ustaz Wan. Airmata menitis lagi. Dicapai al-Qur’an, dan ketika mengalunkan Kalamullah, hujan airmata ini makin melebat!

Airmata ini mungkin boleh jadi kerana hati saya begitu terasa akan sebuah ’kehilangan’. Di saat saya sedang seronok berguru, sedang jatuh cinta dengan bidang mu’malat dan industri takaful, di saat itu juga ustaz mengambil keputusan untuk berhijrah.

Dan airmata ini juga boleh jadi kerana hati saya sedang dipagut ’kebimbangan’ untuk memikul tanggungjawab sebesar ini. Kerana saya tahu, tugas di Jabatan Syariah ini tanggungjawabnya besar.

Saya yakin ada hikmah yang besar di sebalik semua ini. Dan saya masih mencarinya.....

Dan, saya doakan Ustaz terus cemerlang dalam perkhidmatannya di Takaful Ikhlas.

....doakan saya juga......

He is leaving...

Written by Najibah Mustaffa on 4:30 PM

He is leaving..
To someone who shared
The biscuits..
The dirty work..
The deadlines…
The headaches..
And the FRIENDSHIP!

Saya perlu terus berdoa, agar Allah yang Maha Kaya memberikan saya kekuatan. Kerana Dia yang maha mengerti hati. Hakikatnya, saya belum bersedia. Namun, saya harus sentiasa ingatkan diri..”Allah knows better..”.

Inilah jalan yang telah Dia rencanakan untuk saya. Mungkin ada hikmah disebaliknya.

Buat Ustaz Wan, saya doakan langkah beliau terus dipandu Tuhan, semoga di luar sana, padangnya lebih luas untuk beliau memainkan peranan di gelanggang mu’amalat Islam. Kami masih dalam industri yang sama.

Hari ini saya hilang ’Tok Guru’. Dan saya harus akui hanya di akhir-akhir ini sahaja saya baru menemui keserasian bekerja bersama ’Tok Guru’ ini. Mungkin juga kerana baru akhir-akhir ini sahaja saya serius untuk berguru!

Selepas ini, saya perlu berguru dengan pengalaman yang akan ditempuh. Sebetulnya, ketika ini perasaan saya sangat berkecamuk. Terasa benar hilang pergantungan. Namun, saya sedar itu hanya bisik-bisik Syaitan. Saya kan masih ada Allah? Dialah sumber kekuatan. Semoga Dia memudahkan urusan saya dalam memikul tugas di Jabatan.

Najibah, berteguhlah! Semoga Allah merencanakan yang terbaik buat dirimu.

Semoga, pulang ke kampung hujung minggu ini menghadirkan kekuatan baru buat saya.

Bertemu "Puteri Reformasi"

Written by Najibah Mustaffa on 6:05 PM

Masih berupaya mengawal emosi. Alhamdulillah. Hari-hari terakhir ‘bos’ saya masih di Jabatan, saya gunakan sepenuhnya untuk memahami tugas-tugas yang telah di ’handover’ kepada saya.

Berkerut-kerut juga dahi bila melihat senarai outstanding task ynag panjang berjela. Sesekali rasa tense cuba singgah, tapi cepat-cepat ditepis. Nak tak nak, saya perlu kuat, perlu berjiwa besar. Pesan saya pada diri sendiri, tidak perlu mengadu pada manusia. Terkadang, ia hanya menambah kecewa.

Alhamdulillah, dalam kerancakan menerima tugas baru di Jabatan, yang sesekali menyebabkan minda saya terasak dengan 1001 perkara dan perasaan saya yang berkecamuk dengan 1001 rasa, Nisa’ juga makin rancak dengan aktiviti-aktiviti yang makin best and quite challenging. Jadual program, mesyuarat, memenuhi diari saya hampir setiap minggu sehinggalah Ogos nanti.

Memang penat. Habis sahaja waktu pejabat, ada mesyuarat atau program di sebelah malam. Berakhirnya paling cepat pada jam 11 malam, dan selalunya sehingga jam 1-2 pagi.

Namun, kesibukan dan kepenatan inilah yang menghilangkan stress saya! Pelik bukan? 

Dan malam tadi, bertambah lagi kantung pengalaman. Peluang bertemu dengan Puteri Reformasi – YB Nurul Izzah Anwar di rumah Dato’ Seri Anwar merupakan satu pengalaman baru.

Pertama kali bersua muka dengan beliau, hati saya berbisik..”Hmm...lebih cantik dari dalam poster..”. Teringat joke di musim PRU dulu, ”Nurul Izzah menang sebab cantik!”. Macam-macam...

Mesra menghulur tangan bersalam dengan kami yang sampai lambat hampir 1 jam dari masa yang dijanjikan, disebabkan kesesakan jalanraya yang teruk. Orangnya peramah, cergas dan ligat namun sifat tegas beliau terserlah.

Masakan tidak, di usia belum sampai 20-an, beliau sudah ’turun padang’ membela bapa beliau – DSAI ketika isu pemecatan DSAI sebagai TPM pada tahun 1999.

Agak teruja bertemu dengan beliau. Laju tangan saya menaip SMS untuk dihantar kepada ayah dan mereka yang rapat.

Ayah membalas SMS saya..” Hebat kak bah jumpa puteri reformasi..”. Saya tersenyum sendiri. Lega, gembira, bersemangat! Biarpun dengan respon sebegitu ringkas dari ayah, saya terasa ada sokongan atas apa yang saya lakukan sekarang. Selalunya saya suka berkongsi cerita, bukan untuk suka-suka atau mengada-ngada, Juga bukan niat menunjuk-nunjuk, mencanang-canang berita, Cuma saya sekadar ingin berkongsi dengan insan-insan penting dalam hidup saya. Dan berharap pada secebis kata-kata semangat dan perhatian. Agar saya tahu, ada yang menemani saya sepanjang jalan.

Pertemuan dengan Nurul Izzah tidak lah begitu lama. Perbincangan berkisar tentang apa pengisian kemenangan yang harus Pakatan Rakyat lakukan, terutama dalam mendekati golongan muda yang semakin hilang identiti sekarang ini.

Selain kami, rupa-rupanya masih ada 2 kumpulan lain yang juga datang untuk bertemu beliau. Memahami beliau ada tetamu lain. kami harus mengundur diri.

” Tahniah YB, insyaallah kita bekerjasama selepas ini..” . Ucap saya sebelum meminta diri. Beliau tersenyum manis.

Semoga Allah membantu apa yang diusahakan ini, membersihkan hati-hati petugas Islam dari hati yang berkepentingan dunia, dan semoga Allah terus memberi ilham pada kita semua untuk terus menyumbang sesuatu ke arah pengislahan masyarakat yang makin parah hari ini.

Ya Allah, hambaMU ini ingin terus istiqamah. Perteguhkanlah!

Kita perlu menangis....

Written by Najibah Mustaffa on 1:10 PM

Melangkah ke takah usia 26 ini bukan semudah disangka rupanya. Doa saya kepada Allah agar sentiasa dimudahkan urusan hidup kini diuji.

Kadang-kadang, DIA memberi tanpa sempat kita menadah tangan memohon, dan kadang-kadang DIA memberi lebih daripada apa yang kita pinta..dan kadang-kadang juga, DIA menguji terlebih dahulu, sebelum diberi apa yang dipinta.

Subhanallah.

Dan kini, saya benar-benar diuji. Selain ujian kesihatan, ujian kerjaya juga sering membuat saya di persimpangan.

Buntu. Kadang-kadang terasa kuat untuk menempuh semua ini. Dan acapkali saya tewas pada perasaan sendiri.

Saya mencari-cari 'najibah' yang dulu. Yang kuat semangat, yang dapat menepis segala ujian. Tapi, saya gagal.

Buat sahabat-sahabat dan insan yang dekat di hati, saya mohon maaf andaikata 'cerita-cerita' tension dan stress saya agak muak terdengar di telinga. Saya hanya sekadar ingin berkongsi, dengan mereka yang saya percayai. Bukan niat untuk menambah beban orang lain, cuma untuk meredakan sedikit tekanan.

Apapun, saya sedar. Kekuatan itu perlu saya cari gali dalam diri. Pesan kak muna, "Awak perlu menangis untuk melangkah ke satu lagi level dalam hidup.."

Berikan saya masa untuk memanggil pulang semangat yang hilang.

Doakan saya.

Perjalanan hidup ini sebentar cuma. Manfaatkan masa sepanjang usia. Tempatmu sebagai anak, jadilah anak yang solehah. Tempatmu sebagai isteri, jadilah bidadari yang membahagiakan suami. Tempatmu sebagai ibu, berusahalah menjadi ibu mithali mendidik generasi rabbani. Tempatmu sebagai insan..jadilah manusia yang berbakti.. Dan sudah pasti, tempatmu sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakan, sedarilah...KITA INI HANYA DI TARAF HAMBA. Carilah seberapa banyak bekal untuk dibawa pulang..ke sana.

Islamic Calendar