Najibah's Weblog

Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.

Link Worth

Saya Telah Berpindah

Written by Najibah Mustaffa on 9:02 PM

Assalamualaikum

Makluman, saya telah berpindah ke

http://nuwairah.ilmuone.com


P/S: Mohon kemaskini link baru saya di blog anda.

Saya hargai kunjungan anda. Terima kasih. :-)

Najibah
7 Disember 2009, 9.07 pm
Kuantan, Pahang


Tips: Bantu Bayi Tidur Lena

Written by Najibah Mustaffa on 11:02 AM

Assalamualaikum.

Hujung minggu yang dingin sebab musim tengkujuh di Pantai Timur. Sebenarnya kerja saya berlambak untuk mengurus rumahtangga, tapi keinginan untuk blogging mengatasi keutamaan pada kerja-kerja tu..=)

Hari ini nak berkongsi tips untuk bantu bayi tidur lena. Pengalaman saya, ketika Aqilah berusia 2 bulan, dia mula 'liat' nak tidur malam. Cubaan saya untuk tidurkan dia biasanya selepas solat Isyak, dan hanya akan berjaya sekitar jam 1-2 pagi. Dan, pernah si comel ni buat syif malam sampai ke jam 4 pagi!.

Bukan sekali dua saya menangis sebab TERTEKAN. Bantuan suami hanya meredakan sedikit tekanan dan kepenatan saya, selebihnya saya yang terpaksa berjuang sendiri sebab Aqilah bila meragam dia hanya inginkan ibunya. Berminggu-minggu saya 'lalok' dan'mamai' bila memandu ke tempat kerja. Waktu mengepam susu di surau kolej ketika solat zohor digunakan untuk tidur seketika. Tidur sambil mengepam!

Seperti biasa, saya buat research. Dan hasil penjelajahan itu, maka dikongsikan sedikit tips untuk bantu bayi anda tidur lena:

1. Mandikan dengan air suam sebelum tidur.
Ini memang saya buat, sebab di rumah pengasuh Aqilah mandi untuk malam pada jam 4.30 petang. Terlalu awal. Jadi, saya mandikan sekali lagi sebelum tidur, biasanya selepas Isyak.

2. Urut seluruh badan dengan baby oil.
Kuasa urutan memang hebat! Bukan orang dewasa sahaja suka diurut, bayi juga. Urutan melegakan tekanan, memberikan ketenangan, membantu meransang pertumbuhan dan perkembangan bayi dengan lebih cepat, menguatkan otot dan tulang dan sudah tentu merapatkan hubungan kasih antara ibu dan anak..=). Saya gunakan organic baby oil Mei Mei dengan haruman Lavender.

3. Dodoikan dengan lagu kegemaran dia
Muzik atau alunan lagu yang perlahan boleh membantu bayi tidur lena. Sambil menyusu, saya bacakan surah-surah pendek dan bernasyid atau berzikir. Insyaallah, ia juga membantu perkembangan rohani bayi..dan dijauhkan dari gangguan syaitan..

4. Elakkan merangsang bayi ketika dia hampir tidur.
Contohnya mengagah, bunyikan rattle, bagi dia teether..=). Dan, ransangan yang paling bahaya untuk aqilah ialah suara ayah dia. Banyak kali aqilah kembali bulatkan mata bila dengar suara ayah..Saya terpaksa arahkan suami untuk 'kunci mulut' seketika sementara tidurkan Aqilah.=)

5. Biarkan dia bermain sampai letih. Baru dibawa untuk tidur.
Ada yang cakap kat saya, kena jadualkan waktu tidur bayi. Jangan biar bayi yang buat jadual sendiri. Saya cuba, selepas Isyak bawa masuk bilik untuk ditidurkan walaupun matanya masih bulat. Dan hasilnya, saya stress. Sebab dia masih tak nak tidur, dan apa yang saya dapat hanyalah penat. So, saya biarkan sahaja dia bermain, menjerit, tengok TV etc...sampai lah dia menangis dan merengek untuk minta susu. Inilah masa terbaik untuk ditidurkan..=)

6. Pastikan tempat tidurnya selesa
Tiada semut, debu etc yang boleh menganggu..tak terlalu sejuk dan tak terlalu panas.

Alhamdulillah, kini Aqilah sudah boleh tidur lena, walaupun masih lagi lewat, sekitar jam 12 tgh malam, sebab dia teman ayah tengok TV..=)

Selamat mencuba!


Kata Ibu: Menjadi ibu mengajar saya satu perkara, tidur tidak lagi lena..=)

5 Disember 2009
11.43 am

Pelupa Selepas Bersalin?

Written by Najibah Mustaffa on 1:43 PM

Assalamualaikum.

Ketika di zaman persekolahan peringkat menengah, saya adalah seorang yang sangat kuat ingatan. Sebagai pelajar aliran agama, saya perlu banyak menghafal dalil ayat-ayat al-Quran, hadis dan juga sirah Rasulullah s.a.w. Alhamdulillah, saya mampu menghafal semua itu dengan baik. Ditambah pula dengan minat yang mendalam pada subjek agama.

Juga bagi matapelajaran Bahasa Arab. Kalimah arab, makna seerti, perkataan berlawanan, peribahasa dan bidalan arab juga mampu saya hafal dengan baik. Seringkali saya mendapat markah tertinggi bagi matapelajaran Bahasa Arab, Pendidikan Al-Qur'an dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah ketika dalam kelas.

Masuk ke alam universiti, daya ingatan saya juga masih kuat, walaupun tidak sehebat alam persekolahan. Saya boleh mengulang semula ayat yang diucapkan oleh orang lain 'sebijik-sebijik', dan juga 'melakonkan' semula peristiwa yang berlaku apabila ada sesi 'sharing moments' bersama sahabat-sahabat sehingga saya digelar 'scanner'.

Itu dulu. Tapi sejak kebelakangan ini, selepas bersalin, saya diserang penyakit LUPA.

" Abang, kursus abang kat Temerloh tu berapa haribulan ek? ". Tanya saya pada suami sambil melipat pakaian yang baru diangkat dari jemuran.

" Berapa kali dah abang nak cakap?". Jawab suami dengan intonasi sedikit tinggi sambil menarik nafas. Marah mungkin sedangkan dia bukan seorang yang pemarah.

Saya terdiam. Ada rasa sedih menyelinap dalam hati. Bukan sedih kerana dimarahi suami. Memang wajar pun dia marah, jika ditanya soalan yang sama berulang kali. Saya sedih kerana mengenangkan diri yang semakin hari semakin menjadi-jadi penyakit lupa!.

Itu situasi yang berlaku tidak berapa lama dahulu. Ketika itu, suami ada 3 kursus, mesyuarat dan program secara berturut-turut di 3 tarikh dan lokasi berbeza. Saya bertanya untuk pengesahan dan ditandakan dalam jadual bilakah harinya saya akan hanya tinggal berdua dengan Aqilah apabila suami keluar berkursus. Walaupun sudah bertanya banyak kali, dan dijawab banyak kali, saya masih gagal mengingat dengan baik. Maklumat hanya disimpan dalam otak saya untuk tempoh sekejap sahaja.

Lupa atau 'blur'. Itulah keadaan saya ketika ini. Entah apa punca, tapi ianya ketara selepas melahirkan anak. Nama pelajar saya bagi keempat-empat subjek bagi semester ini juga gagal saya hafal seorang demi seorang. Sedangkan semester lepas, saya mengenal semua pelajar saya!.

Inilah saya, seorang isteri dan ibu yang terlalu ingin menjadi insan terbaik buat suami yang dicintai dan anak yang dikasihi. Dan, dalam usaha untuk menjadi terbaik itu, saya terlalu banyak berfikir. Otak saya mencapah memikirkan pelbagai perkara.

Sambil memasak, tangan laju memasukkan kain kotor ke dalam mesin basuh. Kepala ligat berfikir apa yang perlu dibuat selepas ini, pam susu, lipat kain, main dengan anak, gosok baju. Sambil memandu di pagi hari ke tempat kerja, dan membasahkan lidah dengan zikir ma'thurat, otak juga berfikir tentang anak. Waktu pulang dari kerja, sambil memandu juga berfikir apa yang ingin dimasak, nak kemas rumah, tentang planning balik kampung, peti sejuk yang perlu dicuci, bilik air perlu dibersih, stok lampin anak sudah habis perlu dibeli, macam-macam!.

Sementelah kini, tidur malam saya sudah tidak lagi seperti dulu. Bangun 4-5 kali setiap malam untuk menyusukan Nur Aqilah (bayi menyusu badan akan bangun lebih kerap untuk menyusu sebab cepat lapar- susu badan cepat hadam), 'mamai', sakit kepala berdenyut-denyut kerana rutin tidur yang tidak sempurna. Itu mungkin juga faktor saya jadi pelupa.

Saya tidak mahu menyebut perkataan ini: "Inilah pengorbanan seorang ibu", sebab saya tidak mahu mengungkit tugas yang sudah menjadi amanah buat saya. Cuma, sesekali terkenangkan pengalaman ketika bersalin dahulu, 16 jam menahan sakit kontraksi dan bersalin tanpa bantuan epidural. Mengalir airmata untuk melahirkan seorang anak. 16 jam seorang ibu bertahan demi anaknya. Lain orang lain pengalaman. Tapi sudah pasti bila disebut tentang pengalaman melahirkan anak, padanya ada cerita tentang kesakitan dan keperitan. Itulah sebabnya syurga itu di bawah tapak kaki ibu kan?

Adakah ibu-ibu diluar sana turut mengalami penyakit lupa seperti saya ini?.

Kata Ibu: Seorang ibu akan merasa penat sepanjang hayatnya, kerana dia telah dijanjikan balasan rehat di akhirat kelak. Insyaallah.


4 Dis 2009
2.08 pm

Jadi Pakar Laktasi?

Written by Najibah Mustaffa on 4:35 PM

Assalamualaikum...

Malam kelmarin, saya menerima panggilan daripada junior saya ketika di UM dulu iaitu Faten Nurain. Saya masih menyimpan nombor beliau dengan nama "SU PMI-Fatin' sebab ketika di kampus dulu, beliau adalah Setiausaha PMIUM, yang selalu panggil (jemput) saya untuk mesyuarat, dan suaminya Haafizuddin adalah Presiden ketika itu. =). Fatin juga seperti saya, ibu muda, baru menimang cahayamata 2 bulan.

Sudah diagak, tentu persoalan tentang penyusuan ibu yang ingin ditanya. Dan, sangkaan saya tepat. Agak lama kami bersembang tentang penyusuan ibu, tips-tips menambahkan susu dan teknik penyusuan yang baik. Suami hanya tersenyum. Dia tahu, saya tengah 'berangan' jadi pakar laktasi! hehehe...

Sebenarnya saya malu bila ada sahabat-sahabat yang telefon, SMS, tinggalkan komen di blog dan bertanya melalui Facebook mengenai penyusuan ibu. Sebab yang bertanya itu ada antaranya sudah beranak dua! Dan, ada juga yang terlebih dulu menjadi ibu berbanding saya. Bimbang juga dilihat terlalu 'excited' dengan penyusuan ibu dan penjagaan anak-anak.

Sungguh, saya tidak punya banyak ilmu tentang ini. Namun, saya punya semangat yang luarbiasa bila bercakap tentang penyusuan ibu. Dan, saya sangat-sangat berbesar hati apabila ada yang bertanya lanjut tentang apa yang saya tulis di blog kerana perkongsian itu mencambahkan ilmu.

Dan, atas semangat luarbiasa itulah, hampir setiap hari, setiap masa saya cuba untuk menambah ilmu tentang penyusuan ibu. Carian di internet, buku, majalah sudah menjadi sumber rujukan utama. Dan, apa yang saya jumpa, itu yang ingin saya panjangkan dalam blog ini. Dan, saya tidak pernah merasa ilmu ini cukup. Menjadi ibu memerlukan kita belajar sepanjang masa bukan?

Terima kasih pada yang bertanya. Dan, mohon maaf andai ada jawapan saya (yang bukan pakar) tidak tepat dan sebagainya. Saya hanya ingin berkongsi. Saya rasa sangat bahagia bila dapat bantu ibu-ibu lain menambahkan ilmu tentang penyusuan ibu. Sebab dalam masa yang sama, saya juga turut belajar. Sebab tidak ramai ibu muda yang bekerja hari ini yang sokong penyusuan ibu.

Banyak contoh di sekeliling saya. Ibu menghentikan penyusuan untuk anaknya, diganti dengan susu formula seawal usia mereka 1 bulan, sedangkan mereka mampu untuk menyusukan. Melainkan bagi ibu yang ada masalah tertentu yang tidak memungkinkan mereka menyusukan anak mereka.Penyusuan ibu juga disebut dalam Al-Quran dalam beberapa ayat. (Saya tengah kumpul bahan untuk tulis artikel tentang penyusuan dalam Islam). Apabila disebut dalam Al-Qur'an, sudah tentu ada keistimewaannya bukan?

Syabas saya ucapkan pada sahabat-sahabat terdekat, si ibu muda yang gigih meneruskan penyusuan ibu, demi memastikan anak mereka mendapat haknya iaitu susu terbaik di dunia. Walaupun penat, berhabis duit dan sebagainya, itulah pelaburan anda untuk si permata hati. Mudah-mudahan dengan berkat titisan susu ibu yang masuk dalam perut anak-anak kita, dia tidak lupakan kita bila kita tua nanti. Insyaallah. Ibu dan ayahnya tetap dalam hatinya, di mana-mana jua.

Akhirnya, saya tidak lupa memanjangkan syukur pada Allah, yang masih mengalirkan susu dalam badan saya untuk Nur Aqilah, yang berikan semangat luarbiasa itu pada saya. Sebab, tanpa kekuatan yang Allah bagi ini, saya juga boleh tewas dengan kepenatan (dan juga perasaan malas) yang makin terasa sejak akhir-akhir ini. Dan, mudah-mudahan dengan sedikit perkongsian dan niat saya untuk bantu mudahkan sahabat-sahabat lain meneruskan penyusuan, maka Allah juga mudahkan saya untuk menyusukan Nur Aqilah sehingga usianya 2 tahun. Insyaallah.

Kata Ibu: Saya ada angan-angan, yang terbit sejak bergelar ibu iaitu untuk jadi pakar laktasi dan buka butik barangan keperluan ibu dan bayi. Mungkinkah? =)















Aqilah 4 bulan...

Najibah
3 Disember 2009
4.00 pm


Saling Membantu Bahagiakan Rumahtangga

Written by Najibah Mustaffa on 3:23 PM

"Abang, tolong jemurkan kain boleh? ". Suami yang sedang membaca majalah bingkas bangun, masukkan kain yang sudah di 'spin' ke dalam bakul dan bawa ke jemuran. Dalam masa 2 minit, semuanya sudah terjemur, walaupun 'senget-benget'.

" Abang, kita lipat kain sama-sama nak?". Saran saya pada suami yang sedang leka menonton rancangan televisyen kegemarannya. Bimbang juga menganggu konsentrasinya.

Dan, acapkali ketika saya sedang menyusukan Aqilah di tingkat bawah selepas Subuh, terdengar bunyi 'iron board', tanda suami sedang menggosokkan pakaian kerjanya sendiri.

Bukan mudah untuk saya serasi dengan situasi seperti ini. Sedih rasanya hati bila suami melakukan kerja rumah yang sepatutnya diuruskan oleh isteri.

BUDAYA PANTAI TIMUR
Saya lahir di Terengganu, sebuah negeri Pantai Timur yang dahulu kebanyakan para isteri menjadi surirumah. Saya membesar dalam sebuah keluarga dan masyarakat sekeliling yang menjadikan suami sebagai 'raja' dalam rumahtangga.

Segala urusan rumahtangga daripada memasak, mengemas, basuh kain, jaga anak, adalah terpikul di pundak si isteri. Tugas suami hanyalah mencari rezeki, mantapkan ekonomi keluarga dan menjadi pembuat keputusan terhadap perkara-perkara besar dalam rumahtangga.

Contoh terdekat adalah ayah saya, di mana segala urusan rumahtangga diserahkan kepada emak bulat-bulat. Cuma kadang-kadang datang 'mood' nya, ayah akan memasak makanan yang digemarinya dan juga mengemas rumah sebab ayah 'pantang' lihat rumah bersepah.

Begitu juga contoh pada kedua-dua abang. Sama. Tidak pernah saya lihat abang tolong jemurkan kain, atau tukarkan lampin anak dan sebagainya. Itu budayanya. Mungkin kerana keadaan ayah dan abang-abang saya mempunyai isteri yang tidak bekerja, surirumah sepenuh masa.

AWAL PERKAHWINAN
Suami saya berketurunan Banjar, dan sedikit pengetahuan saya tentang orang Banjar ini, golongan lelaki mereka rajin. Mungkin tidak semua, tapi sifat rajin dan 'ambil tahu' pasal urusan orang perempuan ada pada suami.

Ketika di awal perkahwinan, di mana saya mengalami alahan yang teruk selama 3 bulan di awal kehamilan, suamilah yang menguruskan rumahtangga. Meskipun saya terasa ralat membiarkan semua kerja rumah dilakukan oleh beliau, namun saya bersyukur kerana pertolongannya itu serba sedikit meringankan beban saya.

CABARAN ISTERI BEKERJA
Memang saya akui, pada awalnya sangat kekok bila membiarkan suami buat kerja rumah atau minta tolong pada suami. Dan, sementelah kini kami sudah mempunyai anak, komitmen saya pada rumahtangga berganda. Bukan sekadar mengurus keperluan suami, rumah dan diri sendiri, saya juga perlu fokus kepada anak.

Dalam keadaan saya bekerja, memang diakui sangat penat dan letih. Sudah tiada istilah rehat dalam kamus hidup seorang ibu. Dan, bagi saya yang menyusukan Aqilah, pagi saya kelam-kabut dengan tugas rutin mengepam untuk menyediakan stok susu, mengemas rumah, menyediakan kelengkapan Aqilah untuk dihantar ke rumah pengasuh dan bersiap-siap untuk keluar bekerja.

Pulang daripada kerja pula, saya meneruskan rutin mengepam, memasak, melayan Aqilah yang sudah pandai inginkan perhatian saya, basuh baju, jemur baju dan lipat, menggosok pakaian untuk bekerja keesokan harinya. Tugas-tugas ini tidak pernah selesai sehinggalah membawa ke malam.

Masa terlalu cemburu dengan saya. Kadang-kadang tidak sempat berlama-lamaan berzikir selepas solat dek kerana Aqilah yang merengek inginkan susu. Acapkali ma'thurat di baca ketika menyusukan Aqilah.

Hanya sesekali ada kesempatan untuk membaca majalah dan buku, satu hobi yang sejak lama sudah tidak menjadi rutin.

PERTOLONGANNYA SATU RAHMAT
Selalunya saya minta tolong suami untuk buat kerja rumah yang tidak sempat diselesaikan dalam keadaan hati yang berat. Acapkali hati menangis, mengenangkan kelemahan diri di sana-sini, tidak mampu menjadi isteri dan ibu yang hebat, yang boleh menguruskan rumahtangga dengan baik.

Namun, saya perlu akur pada ketidakmampuan diri. Kami sama-sama bekerja, dan kami sama-sama merasai penatnya mencari rezeki. Dan, saya perlu akur bahawa tugas mengurus rumahtangga ini bukan lagi terpikul atas pundak seorang isteri, kami perlu sentiasa bekerjasama.

Pertolongannya itu satu rahmat dan cukup meredakan sedikit tekanan bergelar ibu dalam masa yang sama bekerja. Meskipun di peringkat awalnya, saya perlu 'meminta' untuk dibantu. "Abang, tolong itu...", "Abang, tolong ini...".

Menyedari tugas mengurus rumahtangga bukanlah 'gifted' ataupun kelebihan semulajadi yang ada pada orang lelaki, saya perlu bersabar untuk minta dibantu. Saya tidak boleh mengharapkan suami sudah tahu apa yang patut dibuat tanpa saya memintanya.

Saya yang perlu memulakan.

IKUT SUNNAH
Baginda s.a.w pun turun padang membantu para isteri baginda dalam mengurus rumahtangga. Bukan sedikit sirah yang boleh kita ambil pedoman, Nabi yang mulia menjahit sendiri baju yang koyak, tolong isteri baginda menguli tepung dan pelbagai lagi. Sedangkan di lapangan ummah, bagindalah manusia paling sibuk!

Siapakah yang paling layak untuk kita teladani dan susuri sirahnya, kalau bukan Muhammad, kekasih Allah?

Terima kasih pada suami yang banyak membantu ringankan beban. Saya ini masih cuba memperbaiki kekurangan diri, di sana-sini.

Semoga Allah permudahkan.

Shopping @ The Momy and Baby Place

Written by Najibah Mustaffa on 10:19 AM



Assalamualaikum.

Sudah lama saya berhasrat untuk menulis entri tentang The Momy and Baby Place, butik keperluan ibu dan bayi yang dibuka lebih kurang 3 bulan lalu di Kuantan. Saya sangat teruja dengan butik ini sebab 'tokey' dia adalah melayu iaitu Puan Maryaa. Sejak tinggal di Kuantan, sebelum mengenali butik ini, saya sering membeli keperluan ibu dan bayi di Baby Home, Twins Baby dan Anakku. Dan, bila jumpa butik milik orang Melayu (kredit kepada suami yang 'jumpa' butik ini melalui carian di internet), saya tak pandang butik lain dah..=)

Butik ini sebab baru dibuka, tidaklah se'gah' butik atau kedai bayi lain yang pernah saya pergi. Barang pun masih tak banyak, namun saya 'tabik' usaha Puan Maryaa yang gigih untuk buka butik ini setelah beberapa lama menjalankan bisnes secara online.

Dan, saya tertarik tulisan Puan Maryaa dalam laman web rasmi The Momy and Baby Place iaitu sebab mengapa beliau membuka butik ini:

" Being a mommy myself and staying in Kuantan, I find it quite difficult to shop for breastfeeding, babywearing and clothdiapering products (apart from online shopping). That was why I came with the idea to start this Momy and Baby Place. Hopefully it will be beneficial to the mommies, daddies and babies in Pahang, Terengganu and Kelantan as well as everywhere else."

Saya mengakui perkara ini iaitu sukar untuk beli barang-barang keperluan ibu dan bayi secara 'one stop centre'. Alhamdulillah, kini saya dan suami menjadi pelanggan tetap dan sudah pun menjadi ahli The Momy and Baby Place.

Antara keperluan ibu dan bayi yang telah saya beli di sini ialah:

1. Set Pam Elektrik jenama Medela Swing (lengkap dengan cooler bag, ice-pack).
2. Botol penyimpanan stok susu Safety Plus
3. Liner untuk penyimpanan susu
4. Nursing Tea (Membantu 'boost' susu ibu)
5. Mama Patch Ring Sling (senang 'kendong' Aqilah bila keluar berjalan @ shopping)
6. Mei Mei Organic Baby Oil (sangat membantu Aqilah untuk tidur lena bila diurut dengan gunakan baby oil ini)
7. Mei Mei Organic Cleanser (Untuk basuh feeding bottle dan perkakas penyusuan)
Dan, sebagai ahli, saya:

1. Layak untuk menikmati diskaun 5% untuk setiap pembelian
2. Dapat hadiah hari lahir (ibu dan baby)
3. Dah dapat hadiah / gift wetbag, stokin berkait untuk Aqilah dan stokin panjang (saya tak tau orang sebut apa) yang sangat comel, warna pink...sesuai untuk dipakai dengan rompers.

Puan Maryaa pun SANGAT support penyusuan ibu dan beliau dalam proses menyediakan 'Mini Library' untuk ibu-ibu menyusu. Saya dah pun pinjam 2 buku dari beliau iaitu 'Menyusu Si Permata Hati' dan "Anak, Anugerah Terindah".

Beliau pun peramah, senang dibawa berbincang tentang penyusuan ibu, anak beliau - Ibrahim yang comel dan bijak. Dan, saya berharap suatu masa nanti, The Momy and Baby Place boleh bekerjasama dengan kumpulan sokongan ibu yang lain seperti susuibu.com, sarakids, lunatots dan lain-lain untuk anjurkan bengkel penyusuan ibu di Kuantan pulak. =)

Selamat Maju Jaya untuk beliau. Say YES to breastfeeding! =)

Kata Ibu: Saya menyusu Nur Aqilah bukan untuk jimat duit dari beli susu formula, bukan juga kerana saya malas nak bancuh susu tengah-tengah malam. Saya menyusu dia kerana itulah kepuasan buat saya yang bergelar ibu, dan satu kebahagiaan melihat si permata hati membesar dengan sihat, makin tembam dan jarang sakit dengan berkat susu ibu. Alhamdulillah. Segala puji selayaknya untuk-Mu ya Allah.















Najibah

1 Disember 2009

10.48 am

Perjalanan hidup ini sebentar cuma. Manfaatkan masa sepanjang usia. Tempatmu sebagai anak, jadilah anak yang solehah. Tempatmu sebagai isteri, jadilah bidadari yang membahagiakan suami. Tempatmu sebagai ibu, berusahalah menjadi ibu mithali mendidik generasi rabbani. Tempatmu sebagai insan..jadilah manusia yang berbakti.. Dan sudah pasti, tempatmu sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakan, sedarilah...KITA INI HANYA DI TARAF HAMBA. Carilah seberapa banyak bekal untuk dibawa pulang..ke sana.

Islamic Calendar