Najibah's Weblog

Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.

Link Worth

2 Hari di Kuala Lumpur: Pertemuan Menyubur Ukhuwwah

Written by Najibah Mustaffa on 4:45 PM


Sesegar hijau daunan...



Catatan perjalanan kami suami isteri pada 25 dan 26 April ke Kuala Lumpur, bersempena KLIBF '09 telah pun suami saya abadikan dalam blog beliau.
Saya hanya menyambung tentang apa yang saya perolehi sepanjang dua hari ini.

Nisa’ Indoor Games: Rindu Terubat!


Sungguh! Saya teramat merindui mereka. Teman-teman seperjuangan dalam Nisa’ Malaysia. Sejak berpindah ke Kuantan, demi sebuah rumahtangga yang keutamaannya melebihi segala-galanya, diri ini terasa jauh dengan apa yang pernah saya lalui ketika zaman bujang dahulu.

Saya rindukan pertemuan kami dalam siri-siri mesyuarat, sesi brainstorming, aktiviti makan-makan, mahupun gathering santai di rumah Kak Mas.

Saya rindu saat-saat kami berprogram, menempuh suka-duka dalam perjuangan.

Saya rindu kata-kata nasihat dari teman-teman yang memancarkan ini.

Saya rindukan tazkirah dan muhasabah dari mereka.

Saya rindukan segala-galanya tentang Nisa’ Malaysia!

Bukan saya membezakan antara Nisa’ Malaysia dan Nisa’ negeri-negeri. Perasaan ini hadir kerana di situlah saya bermula. Dan dari situlah saya mula mempraktikkan konsep amal islami dan amal jama’ie, walaupun sekian lama saya telah mempelajarinya sejak di kampus.

Rindu inilah yang membuatkan saya acapkali diulit mimpi. Kenangan-kenangan kami silih berganti muncul dalam tidur.

Alhamdulillah, syukur pada Allah selayaknya, kerana mengizinkan pertemuan semula yang amat manis ini. Kasih mereka tidak pernah berubah. Ukhuwwah yang dipamerkan masih seperti dulu.

“Fadh, saya rasa bersalah sangat tak tolong apa-apa pun untuk program ni “. Luah saya ketika bersalaman dengan Fadh.

“ Eh, takpe la jibah, awak datang ni pun dah cukup menggembirakan kami”. Ujar Fadh sambil tersenyum.

Kak Muna, selaku pengarah program, tidak putus-putus meninggalkan komen di blog saya, dan juga SMS mengucapkan penghargaannya pada kami suami isteri kerana hadir ke program ini.

Akhlak yang sentiasa menjadi magnet buat saya agar tidak jauh dengan jemaah. Tidak pernah sekali terasa disisihkan, atau dipersalahkan atas komitmen yang makin kurang.

Terima kasih atas sebuah ukhuwwah yang teramat manis. Mudah-mudahan datang dengan dorongan dalam diri ini untuk terus istiqamah seperti kalian, wahai mata rantai perjuangan Islam.

Terharu melihat ramai di kalangan sahabat dan junior saya ketika di UM dulu turut komited menyumbang tenaga bagi menjayakan program ini. Alhamdulillah, mudah-mudahan kehadiran antunna adalah kehadiran yang menberi kesan.

KLIBF ‘ 09: Asah minda!

Seronok berkunjung ke KLIBF kali ini. Walaupun penat ‘mengheret’ kaki dan terasa bagai nak patah pinggang berasak-asak dengan lautan manusia, ditambah pula perut yang makin membesar ‘dilanggar’ orang sesuka hati. Saya puas!

Setidak-tidaknya, buku-buku yang telah disenaraikan untuk dibeli berjaya diperolehi. Cuma, hasrat untuk mendapatkan buku mengenai undang-undang Tort untuk tujuan pengajaran tidak tertunai. Kaki sudah letih melangkah untuk round booth lain.

Pengalaman bertemu Ustaz Hasrizal juga amat manis.

“Humble orangnya”…Hati saya berbisik tatkala melihat Ustaz Hasrizal. Tetap mengukir senyuman yang paling manis buat pengunjung dan peminat beliau yang berbaris untuk minta tandatangan, walaupun dari riak wajah beliau, saya mengerti ustaz keletihan.

Bertambah lagi koleksi buku. Tinggal lagi kesungguhan untuk mengasah minda dengan membacanya, bukan hanya tersusun cantik di rak yang telah penuh dengan buku-buku.

Hubungkan tali-tali itu

Terima kasih kepada Rahmat dan Naimah, pasangan suami isteri yang juga merupakan sahabat sekelas kami ketika di UM atas pelawaan untuk kami tumpang tidur di rumah mereka di Putrajaya. Alhamdulillah, bermalam di Putrajaya juga menemukan kami dengan Nasir, juga sahabat ketika di UM dulu.

Pelawaan Khadijah dan Ramadhan untuk kami bersarapan di rumah mereka kami terima dengan hati terbuka. Tiba di rumah mereka hampir jam 9.30 pagi. Suami agak resah kerana kami telah berjanji dengan Ustaz Nazri untuk ke rumah beliau pada jam 10 pagi, bimbang terlewat (Suami saya sangat punctual).

Demi kesinambungan ukhuwah. Saya bahagia dengan pertemuan kami - tiga pasangan yang bakal menimang cahayamata Julai ini.

Mudah-mudahan ada berkat pada pertemuan ini.

Dan, siri kembara kami diakhiri dengan ziarah ke rumah Ustaz Nazri Chik dan Kak Mai, juga bidadari mereka, Najiyya yang comel dan bijak!.

Terima kasih buat ustaz dan kak mai, serta Najiyya yang sudi menerima kunjungan kami, dengan layanan yang berbekas di hati. Insyaallah, semoga ukhuwwah ini terus subur dan diredhai Ilahi.

Dan, mohon ampun dan maaf, buat beberapa orang sahabat yang mempelawa kami untuk ke rumah mereka. Bukan tidak sudi, dek masa yang tidak mengizinkan. Dua hari di Kuala Lumpur terlalu singkat untuk kami menziarahi semuanya. Namun, kami tetap menghargai pelawaan yang diberi. Mudah-mudahan, ada ruang dan peluang untuk bertemu lagi.

Kembara ini kembara ukhuwwah. Mengeratkan kembali ukhuwwah yang telah lama terjalin. Mudah-mudahan dalam catatan Malaikat, apa yang kami lakukan ini ada pahalanya dalam menghubungkan ukhuwwah, menjadi manusia yang saling berkasih-sayang kerana Allah.

"Say from your heart.."

Written by Najibah Mustaffa on 12:22 PM



" I nak you all semua bercakap benar, walaupun pahit, just say from your heart." Kata-kata kak mas, pengarah Nisa' Malaysia terngiang-ngiang di telinga. Itulah perkataan yang selalu diulang-ulangnya, tiap kali perjumpaan kami.

Ajaib! Orang yang bercakap atau memberi dari hati, kesannya akan terus menusuk ke dalam kalbu si pendengar.

Walaupun kalimah yang terucap di bibirnya hanya sepatah kata, namun kerana ikhlas dan benar dalam berkata-kata, Allah ‘bantu’ dengan menyampaikan hasrat si pemberi terus ke hati penerima. Subhanallah, yang menghubungkan hati-hati, yang mentadbir dan mengarahkan bagaimana hati berhubung.

Dan konsep inilah yang makin sebati dalam diri kami, anak muda yang bergerak dalam Nisa’, menyumbangkan sedikit sebanyak tenaga dan keupayaan yang ada. Meskipun acapkali dihambat cabaran seorang da’ie muda. Rumahtangga, kerjaya, kewangan, keluarga. Semuanya menuntut komitmen yang bukan sedikit. Permulaan ke arah stabil.

Dan, pengajaran ini yang diperolehi ketika bersama Kak Mas dan Nisa’ Malaysia saya kongsikan bersama suami. Sudah banyak kali kami berbincang soal ini. “Bercakap dari hati”. Dan, lahirlah entri “Agar Dapat Ku Sentuh Hatimu”, suara hati suami saya yang digarap dari pesan ustaz abang (Ustaz Zamri).

‘HATI’ DALAM LAPANGAN DAKWAH

Sebagai seorang da’ie, kita berhubung dengan hati mad’u. Mudah sahaja untuk memiliki fizikal seorang mad’u, namun untuk menawan hati? Boleh mengambil masa bertahun-tahun! Sebagai contoh dalam pilihanraya, bukan mudah untuk menawan hati pengundi, bakal YB dan parti yang diwakilinya perlu bekerja keras bertahun-tahun! Namun, usaha keras itu lebih berbaloi kerana hati yang ditawan dalam tempoh yang lama lebih teguh berbanding hati yang ditawan hanya dalam tempoh berkempen, dengan taburan duit, beras, kain pelikat dan t-shirt!

Bukan mudah menawan hati.

Syaratnya, da’ie perlu memberi dari hati, seikhlasnya dan benar dalam percakapan. Bukan sekali dua kita mendengar ceramah, ada penceramah TV, penceramah radio, penceramah surau atau pun penceramah pentas-pentas politik. Tidak kurang juga penceramah yang memegang title ‘selebriti’.

Namun, tidak semua intipati ceramah itu masuk ke hati dan dihayati. Ada penceramah yang siri ceramahnya berdegar-degar, namun ceramahnya hanya didengar oleh kerusi-kerusi dan meja.

Ada penceramah yang tampil dengan pelbagai kisah yang dikatakan bersumberkan sirah, namun tidak dapat dipastikan kesahihannya, mendayu-dayu suaranya bercerita, diasyikkan lagi dengan lenggokan badan dan lirikan mata. Pendengarnya khusyuk mendengar, bukan mendengar untuk mengambil iktibar, mendengar kerana terpaku dengan cara penceramah itu bercerita!

Dan, tidak kurang juga penceramah yang memukau pendengar dengan pakaiannya yang bergemerlapan. Make-up nya ‘sekilo’ bak kata suami saya. Teringat kata-kata Ustaz Pahrol dalam blog beliau tentang penceramah sebegini…”anda murabbi atau selebriti?”.

Begitu juga buat petugas-petugas Islam, ajaklah mad’u mendekati Islam dengan hati yang ikhlas. Kerana sayangkan mereka, kerana inginkan mereka turut bersama-sama kebenaran. Bukan ‘mempergunakan’ mereka hanya semata-mata untuk mendapatkan undi dan kepercayaan mereka.

‘HATI' DALAM RUMAHTANGGA

Hati dalam rumahtangga sepertimana dalam lapangan dakwah, peranannya cukup besar. Rumahtangga yang dilayari tanpa kebersamaan hati, sudah pasti hari-hari yang dilalui hambar dan suram. Dan, rumahtangga yang dilayari dengan terlalu mengutamakan ‘soal hati’, kadang-kadang boleh membawa kepada persengketaan antara suami isteri, mencalar rasa dan membunuh kebahagiaan.

Pesan buat para suami, memberilah dari hati. Nafkah buat keluarga, walaupun terasa beban begitu berat terpikul di pundak, ikhlaslah atas nama amanah. Nasihat yang dititipkan buat isteri dan anak-anak, lazimilah ia dengan perasaan ikhlas. Menegur dan mendidik kerana sayang, kerana amanah, bukan dirasuk nafsu ammarah.

Pesan buat para isteri, memberilah juga dari hati. Tempat kita dalam rumahtangga bukan sekadar menerima. Hayati erti memberi dalam mengurus rumahtangga, menggembirakan hati suami, menjaga makan minumnya, pakaiannya, memelihara maruahnya, menghormati keluarganya. Semua itu bukan sia-sia. Andai ikhlas dan sabar sentiasa menjadi amalan diri, pahala berganda yang tak terhitung difikiran dan tak ternampak dimata telah Allah sediakan.

SIAPA PUN KITA, DI MANA-MANA


Memberilah dari hati. Dan hati itu perlulah bersih, ikhlas dan sentiasa benar.
Orang yang memberi dengan hati yang ikhlas, kesannya akan jatuh terus ke hati si penerima. Jauh ke ruang paling dalam.

Dan, rasanya cukup berbeza dengan orang yang memberi sekadar di bibir, namun hati tidak seikhlasnya memberi. Pemberiannya tawar dan hambar, tidak semanis orang yang memberi dengan hati!

Ya Allah, peliharalah hati-hati kami ini dari karat mazmumah. Agar kami pulang kepada-Mu dengan membawa hati yang sejahtera. Amin.

Let's Play...Nisa' Indoor Games

Written by Najibah Mustaffa on 10:55 PM



Assalamualaikum dan Hi Kawan2!!!

Masih ingat apa yang kita selalu main ketika kecil? Permainan seperti congkak, batu seremban, snake & ladder , dam dan sebagainya sentiasa bermain di kotak fikiran.

Namun adakah generasi muda kini mengenali permainan-permainan ini?

Seronoknya main dan tentunya anda ingin mengulanginya kembali...Jika dulu pada tahun 2007, kita ada NISA' Games di Kota Bharu,

Kini, mari sama-sama meriahkan Nisa’ Indoor Games 2009 (NIG 2009) di Shah Alam, dengan sama-sama datang sebagai penonton atau peserta.

Maklumat program seperti berikut :-

:: Tarikh & Hari ::

Sabtu, 25 April 2009

:: Masa ::

7.30 pagi – 6.45 petang

:: Tempat ::

Dewan Jubli Perak,

Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

:: Anjuran ::

Nisa’ Malaysia

Semua dijemput hadir.

Jom sama-sama meriahkan!

Visit &Terminal Satay Zul

Written by Najibah Mustaffa on 9:46 PM

Assalamualaikum

Minggu ni agak sibuk dengan urusan di kolej, ditambah lagi dengan siri sakit belakang, lenguh kaki dan macam-macam rasa di bulan ke-6 pregnancy ni. Menjalani hari-hari yang penat. Urusan rumahtangga pula terasa kurang sempurna. Tiada mood untuk blogging, walaupun ada beberapa point berlegar dalam kepala untuk dijadikan entri.



Hujung minggu lepas, kami dikunjungi sahabat satu jabatan ketika di UM dulu, pasangan suami isteri Rahmat dan Naimah. Kali terakhir berjumpa ketika mereka hadir ke kenduri kami di Terengganu Oktober tahun lepas. Mereka sama seperti kami, menanti kehadiran 'orang baru' dalam keluarga pertengahan Julai ini. Insyaallah.

Menu saya bagi menyambut kehadiran mereka: Nasi ayam dan puding jagung sebagai hidangan makan tengahari. Alhamdulillah, berbaloi rasanya memasak, walaupun dalam keadaan penat bila melihat tetamu (err..termasuk suami saya) berselera menikmati juadah. Apapun, terima kasih pada mereka berdua atas ziarah. Mudah-mudahan membawa berkat ke rumah kami. Insyaallah, kami pula akan membuat kunjungan balas ke Putrajaya nanti.

Kami juga menerima kunjungan daripada Adik Nur, adik saya yang kini sedang menuntut di UM, tahun ketiga. Dan malam tadi, bagi meraikan adik yang datang, kami menikmati makan malam di Terminal Satay Zul, Jalan Teluk Sisek, Kuantan. Komen saya, rasanya memang marvellous!Lagi sedap dari sate kajang Hj. Samuri. Tak percaya? Jemput datang Kuantan, kita sama-sama rasakan kelazatannya (err..sebenarnya saya teringin nak makan lagi..huhuh).

Me and my sister

Muka lapar ke ni?

Sebelum...nyum..nyum..

Selepas....erkk, licin!

Sambil-sambil makan, kami buat kesimpulan kenapa Terminal Satay Zul ni sangat famous di Kuantan:

1. Of course sebab rasa satay yang sangat best, marvellous! Tak reti nak cerita macamana sedapnya..hehee
2. Lokasi strategik, tepi jalan, cuma parking agak limited
3. Pekerja yang murah dengan senyuman
4. Servis yang sangat cepat, tak sampai 10 minit order.
5. Harga berbaloi.
6. Ruang dalam restoran (dua tingkat) yang kondusif, kemas dan bersih.

Cubalah!
@ipin02

Menjelang KLIBF09

Written by Najibah Mustaffa on 10:20 PM

Assalamualaikum.

Sekadar catatan ringkas, menjelang Pesta Buku Antarabangsa 2009 @ KLIBF09, saya dan suami sudah merancang senarai buku-buku yang akan dibeli nanti. Hobi yang kami kongsi bersama - suka beli buku, walaupun koleksi buku-buku sudah memenuhi rak dan ada yang masih belum dibaca. Insyaallah, kami akan 'turun KL' pada 24-25 April nanti.



Novel ketiga bekas teman serumah sewa saya, Cik Ummu Hani yang manis, penulis yang berbakat besar dan berjiwa besar! Setelah nama saya ada tercatat dalam novel pertama beliau "Ladang Hati Mustika", kali ini nama saya dan suami diabadikan dalam novel ketiga beliau. Walaupun hanya sekadar nama (bukan melambangkan watak kami yang sebenar), kami terharu. Saya teruja untuk mengetahui kisah 'Om' yang pernah diceritakan oleh ummu kepada saya sebelum ini.

Walaupun saya dah lepas SPM, dan tiada adik atau saudara mara yang akan ambil SPM dalam waktu terdekat, saya nak beli juga buku ni. Sebab di sebalik resepi yang menjadi rahsia kejayaan Nik Nur Madihah ini, ada 1001 pedoman hidup yang boleh kita jadikan panduan. Mungkin boleh jadi 'modal' untuk saya bersyarah kepada pelajar-pelajar yang sering bermasalah di dalam kuliah.

Buku pertama Ustaz Hasrizal Jamil @ Abu Saif - Aku Terima Nikahnya telah saya khatam dalam masa tidak sampai satu hari. Sedikit sebanyak menjadi pedoman buat saya yang ketika itu masih dalam tempoh pertunangan, persiapan ke arah membina rumahtangga. Dan buku kedua ini, untuk kami yang telah menempuh alam rumahtangga, baru di 'semester pertama'. Banyak yang perlu dipelajari.



Dan, suami saya sangat teruja untuk membeli buku karangan Ustaz Pahrol ini. Dan, saya pun teruja untuk sama membacanya. Kerana, persamaan beliau dengan Ustaz Hasrizal, gaya bahasa yang menarik minat saya, dan olahan motivasi rumahtangga yang sangat menarik.

Ini yang terfikir dalam kepala dan akan masuk senarai. Yang belum masuk senarai banyak lagi.

@upin01


Audit Manusia vs ‘Audit’ Allah

Written by Najibah Mustaffa on 10:03 PM


Pernah berdepan dengan pengalaman diaudit oleh auditor organisasi anda bekerja? Bagi yang pernah, tentu faham benar betapa kelam kabutnya kita bila akan diaudit!

Pertama kali berdepan pengalaman audit ialah ketika menjadi pembantu penyelidik di Universiti Malaya sekitar tahun 2006. Kemudiannya ketika berkhidmat di Takaful Malaysia, pernah kami menerima kunjungan audit dari Bank Negara Malaysia dan minggu ini, saya (dah hampir semua pensyarah dan kakitangan) kelam kabut menyiapkan dokumentasi untuk Lawatan Kualiti daripada UTM Kuala Lumpur isnin ini.

Semuanya perlu diperincikan, diteliti dan memenuhi piawaian. Itu hanya audit yang berkala, bukannya setiap hari.

SETIAP HARI KITA ‘DIAUDIT’

Pernahkan terfikir bahawa dalam kehidupan, kita juga diaudit? Bukan berkala, bahkan setiap hari, setiap masa! Dan auditor itu bukan calang-calang, tiada satu pun tidak terekod, segalanya dicatat dan dibuat penilaian.

Itulah tugas malaikat raqib dan ‘atid, ibarat auditor dalam kehidupan seharian kita. Solat harian kita diaudit, adakah solatnya menepati waktu atau mungkin dihujung-hujung waktu? Itu dimasuk dalam catatan mereka. Tentunya lagi parah bagi mereka yang sama sekali tidak menunaikan amalan pertama yang akan dihisab itu.

Bagi yang bersolat, penilaian mereka tidak sama. Bagi yang khusyuk, sempurna solatnya mengikut rukun akan diberi markah lebih. Bagi yang solat, tetapi khusyuk entah ke mana, hatinya lalai, sudah tentu markahnya berkurang.

Begitu juga dalam urusan harian kita yang lain, pakaian kita, samada sempurna menutup aurat ataupun tidak, makan dan minum adakah bersumberkan yang halal ataupun tidak, mu’amalah harian, jual beli dan sebagainya, adakah terlibat dengan riba atau tidak, taat dan patuh kita pada suami, hormat dan cinta kita pada kedua ibu bapa, akhlak kita dengan insan sekeliling, amanah kita pada tanggungjawab yang terpikul, segala-galanya diaudit!

Setiap hari bertambah ‘buku catatan’ amalan kita. Semuanya dinilai Allah, entahkan lulus atau tidak untuk ke Syurga. Keputusannya di perhitungan Mahsyar kelak, di neraca al-Mizan. Pada hari yang mana manusia sibuk dengan urusan diri masing-masing.

Namun, Allah itu maha pengasih dan penyayang. Dosa yang tercatat masih boleh ‘dipadam’, selagi mana dosa itu bukan syirik. Dianjurkan istighfar dan solat sunat taubat, selain menambahkan amalan-amalan sunat, bagi menghapus dosa yang sudah tercatat, dan menampung kekurangan amalan-amalan lain.

Subhanallah. Kasih sayangNya melangit luas. Hanya kita manusia yang sering alpa dan buta dalam menilai kehidupan. Yang mana kaca, mana permata. Yang mana sementara dan yang mana kekal abadi.

I have been tagged!

Written by Najibah Mustaffa on 9:28 PM



Assalamualaikum semua.

Entri kali ini adalah untuk membayar hutang tag, setelah di tag oleh Faiz beberapa minggu lepas. Kali ini baru berkesempatan untuk jawab. Faiz, here my answers:

1) Apakah nama blog anda sekarang dan kenapa anda memilih nama itu?

”Kembara Seorang Hamba”. Nama @ Tagline ni menjadi pilihan sebab saya ingin selalu mengingatkan diri, bahawa saya ini hanya seorang hamba Allah, lemah serba-serbi, dan mustahil mampu berjalan di atas muka bumi ini tanpa izin dan inayah dari-NYA.

(Mungkin nama blog ini akan ditukar atas permintaan suami saya, katanya hampir sama dengan nama blog Latiffah @ Kembara Seorang Aku.


2) Apakah link blog anda sekarang dan bagaimana boleh timbul idea untuk menamakannya seperti itu?


http://nuwairah.blogspot.com/

Bertemu dengan nama ‘nuwairah’ ketika belajar di Universiti Malaya, Nilam Puri, Kelantan pada tahun 2000. Masa tu beli Diari Muslimah (dari Jaafar Rawas) dan dalam diari tu ada dicatat koleksi nama-nama indah dan makna menurut Islam.

Berkenan dengan ‘nuwairah’ yang bermaksud ‘satu jaluran cahaya yang halus’. Sejak itu, selain najibah, nama saya adalah ‘an-nuwairah’ (ditambah ‘alif lam’) dan jangan tidak percaya, nama itu begitu sinonim dengan saya ketika di nilam puri, sehingga ada sahabat-sahabat yang memanggil saya dengan nama tersebut.

Nama ini dipilih dengan harapan, mudah-mudahan, saya mampu menjadi ‘cahaya’ yang menerangi insan-insan yang saya cintai dan sayangi sepanjang hidup saya.

3) Apakah metod penulisan dalam blog anda?

Tiada metod khusus. Menulis apa sahaja yang terlintas di fikiran dan hati.

4) Aktif menulis penulisan ilmiah dalam blog tapi kurang aktif di khalayak luar (dakwah)?

Penulisan ilmiah? Hmm, saya belum sampai ke tahap itu. Rasanya saya lebih aktif ‘di luar’ berbanding menulis blog. Sejak terlibat dengan Nisa’ Malaysia, saya melihat dakwah dalam kacamata yang lebih luas. Konsepnya mudah. Setiap hari anda ada peluang berdakwah kerana setiap hari anda berjumpa mad’u (sasaran dakwah). Dan dakwah itu boleh jadi dengan hanya berwajah manis, senyum dan salam setiap kali anda bertemu orang, dan pamerkan akhlak mulia sebagaimana ajaran Islam. Jadilah manusia bermagnet! Mudah-mudahan dengan tempias anda menjadi ‘model’ Islam acuan Rasulullah, insan-insan di luar sana tidak lagi negatif kepada Islam. Itu juga dakwah.


5) Pernah terasa nak hapuskan blog anda? Sebabnya?
Pernah. Bila terasa menjadi ‘blogger’ mendedahkan diri kepada fitnah, dan mungkin diri sendiri menjadi fitnah dan tulisan dalam blog tidak bermanfaat kepada orang lain. Bimbang lebih banyak dosa berbanding pahala.

6) Apakah pendapat anda mengenai blog kepada pemilik blog yang tag anda ini?

Faizah @ Faiz. Bila baca blog Faiz, komen saya: Faiz ada bakat menulis! Kalau diasah, boleh berada satu saff dengan novelis tanahair dan juga teman akrabnya cik ummu.

Baca blog Faiz terasa seolah-olah ‘mendengar’ Faiz bercerita. Teruskan menulis!

Itu sahaja jawapan saya. Dan buat masa ni, saya tiada idea untuk tag siapa-siapa. Mohon langgar peraturan tag!
@kakros01

Scan baby: Perlu atau tidak?

Written by Najibah Mustaffa on 4:03 PM



"Dah scan ke? Boy or girl?". Acap benar soalan ini diajukan kepada saya, juga suami.

" Pergilah scan...", saran seorang kakak di pejabat, siap dengan cadangan klinik yang ada scan 4D. Katanya hasilnya lebih jelas dan puas hati.

Kami yang pada awalnya 'tidak kisah' sama ada anak yang bakal lahir ini lelaki atau perempuan agak terkesan dan terpengaruh. Seperti biasa, suami membuat 'research' di internet. Pertamanya untuk mengetahui lokasi klinik yang dimaksudkan, dan yang kedua, untuk 'survey' harga.


Hasil 'research' tersebut, kos untuk sekali scan yang paling murah di Kuantan adalah RM70. Saya termenung.

"Macam mana, nak scan ke?" Tanya suami. Saya diam, dalam hati berkira-kira perlu atau tidak kami melaburkan RM70 semata-mata untuk mengetahui jantina permata hati kami yang bakal menjengah dunia lebih kurang tiga bulan lagi.

Hasil musyawarah kami selepas solat zohor hari itu, "tidak jadi scan". Itu keputusan muktamad kami. Walaupun terdetik juga di hati saya untuk melihat 'dia' di 'dalam sana', dan dengan mengetahui jantina kata orang memudahkan persiapan untuk membeli kelengkapan baby nanti, saya dan suami memikirkan yang mana lebih penting.

"Dalam kegawatan ekonomi global hari ini, RM70 itu besar maknanya". Kata saya.

"Jantina tu kan dalam rahsia Allah..". Suami menambah.

Kami redha dengan apa yang bakal dikurniakan Allah kepada kami. Dan saya sebagai bakal ibu, pengalaman melalui fasa alahan yang memeritkan tidak membuatkan saya terlalu berharap itu dan ini pada anak yang bakal lahir.

Cukuplah sepanjang proses kehamilan ini, saya dan 'dia' sihat, dipermudahkan proses bersalin nanti, dah semoga kami dikurniakan Allah anak yang sempurna sifatnya, dan tanggungjawab kami pula selepas itu untuk mendidiknya agar menjadi anak yang soleh dan solehah.

Semoga kami diberi kekuatan. Dan sebenarnya, proses tarbiyyah anak bermula seawal 'dia' di dalam kandungan lagi. Saya seboleh mungkin menepis rasa penat untuk melazimi ma'thurat dan al-qur'an, kerana ianya bukan sahaja makanan untuk jiwa saya, namun proses pendidikan awal buat 'dia' di dalam sana.

Rabbana Yassir wala tu'assir!

Blog: Jangan ia menjadi beban

Written by Najibah Mustaffa on 3:34 PM



Kenapa tulis blog? Soalan ini sering bermain dalam fikiran saya. Sementelah menziarah blog @ laman individu-individu hebat, seperti saiful islam, ustaz zaharuddin dan ramai lagi, terasa benar blog saya tidak berisi. Tulisan mereka bermaklumat dan bermanfaat. Mereka menulis atas nama ‘dakwah’, menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Tersentak dengan tulisan dan ‘teguran’ Ustaz Zaharuddin kepada blogger, pemilik friendster, facebook dan macam-macam lagi, “jangan ianya menjadi beban kepada kita di akhirat kelak.”

Ini suatu muhasabah buat diri sendiri. Sebetulnya, sudah lama saya ingin menulis tentang perkara ini, panduan buat blogger, terutamanya yang bergelar muslimah. Dan perkara ini juga seringkali saya bincangkan bersama suami, dan sebagai nakhoda dalam pelayaran bahtera rumahtangga ini, ‘dia’ sering mengingatkan saya tentang etika dan panduan ketika menulis.

Ada yang menulis blog kerana ingin mengabadikan catatan perjalanan hidupnya ke dalam sebuah ‘diari’, tidak kurang yang sekadar mengikut trend terkini dan ada yang menulis sememangnya kerana ingin ‘memberi’, mendidik masyarakat @ mad’u dalam lapangan maya yang kesannya lebih meluas dan efektif berbanding ceramah mahupun halaqah.

Biar apa pun tujuan kita menulis, namun perlu diingatkan tulisan atau catatan itu biarlah berakhlak, gambar-gambar yang dipaparkan biarlah sopan dan menutup aurat, terutama kepada mereka yang bergelar ‘muslimah’, kerana wanita itu ruang fitnahnya lebih besar berbanding lelaki.

Saya ‘takut’ melihat gambar-gambar blogger yang dipaparkan di blog masing-masing. Bagi mereka yang tiada asas agama, mungkin tidak terlalu jelik di pandangan mata. Namun bagi mereka yang dirasakan faham agama dan tahu hukum, gambar dengan ‘pose’ manja, auratnya kurang sempurna, ini sudah pasti membuah dosa. Lelaki yang memandang, menatap dan menghayati keindahan wanita tersebut sudah pasti terdetik perasaan yang tidak sewajarnya dalam hatinya, dan di sini syaitan sudah mula memainkan peranannya lalu berlakulah fitnah.

Begitu juga dengan tulisan atau catatan. Tidak salah berkongsi cerita peribadi, namun awasilah setiap perkataan yang ditulis dan tapislah fakta yang ingin dikongsi, yang mana perlu dan yang mana tidak.

Semua yang ditulis, dan gambar yang di ‘upload’, semuanya ada ‘saham’ di akhirat kelak. Apa yang kita inginkan, saham itu saham yang membawa kita syurga, membantu meringankan azab di barzakh kelak, memudahkan kita di perhitungan mahsyar yang maha luas nanti.

Bukannya ‘saham’ yang menambah beban ketika di soal munkar dan nakir di alam kubur, dan menjerumuskan kita ke neraka yang seksaannya maha dahsyat sekali. Naudzubillahi minzaalik!

Catatan ini peringatan buat diri saya yang sering lupa, dan kalian jua. Semoga beroleh manfaat.

Ya Allah, kami damba redhaMu. Kami berlindung dari kemarahanMu. Ampunkan kami di atas kealpaan kami selama ini.

Perjalanan hidup ini sebentar cuma. Manfaatkan masa sepanjang usia. Tempatmu sebagai anak, jadilah anak yang solehah. Tempatmu sebagai isteri, jadilah bidadari yang membahagiakan suami. Tempatmu sebagai ibu, berusahalah menjadi ibu mithali mendidik generasi rabbani. Tempatmu sebagai insan..jadilah manusia yang berbakti.. Dan sudah pasti, tempatmu sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakan, sedarilah...KITA INI HANYA DI TARAF HAMBA. Carilah seberapa banyak bekal untuk dibawa pulang..ke sana.

Islamic Calendar