Written by Najibah Mustaffa on 3:24 PM
3 Julai 2007
Hari ini genap sebulan kota haramain aku tinggalkan. Namun, ingatan padanya masih belum reda. Rindu pada 2 kota suci ini kian mencengkam !
Ya Allah…aku rindu pada Haramain..
Rindu pada ketenangannya
Rindu pada keberkatannya
Rindu pada kemuliaannya…
Entah bila lagi dapat ku sujud hampir dengan ka’abahMu
Entah bila lagi dapat ku ber’itikaf hampir dengan kekasihMu Muhammad…
Ya Allah, beratnya hati sarat menanggung rindu…
Masih terbayang-bayang pada pandangan mata…menyusur kedai-kedai sepanjang jalan menuju masjidil haram..
“ hajjah..hajjah…murah-murah..sepuluh riyal…” suara pak arab dan bukan arab yang sibuk berjual di sepanjang jalan boleh berbahasa melayu-indon.
Sungguh, peluang mengerjakan umrah ini satu nikmat, anugerah, kesempatan yang tak ternilai harganya. Syukur pada Allah yang mengizinkan aku yang kerdil lagi hina ini menjejakkan kaki ke tanah haram ini…terima kasih pada ayah kerana membawa aku untuk merasai pengalaman teristimewa ini. Nazar ayah untuk membawa aku ke tanah suci sepuluh tahun yang lepas terlaksana.
Alhamdulillah, umrah ini umrah bersama keluarga, bermusafir ke tanah haram bersama mak long sekeluarga dan mok ma sekeluarga suatu pengalaman baru. Rombongan keluarga kami berjumlah 10 orang, ditambah dengan orang kampung 8 orang, kumpulan kami semuanya 18 orang.
UJIAN PERTAMAKata orang, mekah ini tempat ujian. Alhamdulillah, tiada ujian berat-berat sepanjang musafir ini. Sejak di Malaysia lagi aku titip doa, Ya Allah, permudahkanlah urusanku sepanjang di sana…
Cuma kami sedikit diuji ketika hendak berlepas. 23 Mei 2007, penerbangan Saudi Arabia Airlines ke Jeddah yang dijadualkan pada jam 5.30 petang terpaksa ditunda, dan hanya dijadualkan berlepas pada 5.30 pagi keesokannya harinya. katanya ada masalah enjin. Agak kelam kabut kami, dan juga petugas KLIA ketika itu. Kami di arrange untuk ke hotel terdekat, check out semula setelah check in bukan urusan mudah rupanya. Boarding pass, Transit card, international passport menjadi ‘nyawa’ kami ketika itu. Kalau hilang…tak ke mana lah kami jawabnya.
Menunggu bas untuk dibawa ke The mines resort agak lama. Badan mula penat, ayah kelihatan letih, tak tahan panas dan penat menggalas beg ‘hand luggage’. Malam itu di the mines resort kami tiga beranak tidur lena – penat dan letih. Aku sahaja yg kerap terjaga bimbang terlajak tidur.
24 Mei 2007 – Ya Allah, mudahkanlah urusan perjalanan kami hari ini. Dalam hati berdoa, janganlah penerbangan ditunda lagi. 6.00 pagi kami sudah berada dalam perut Saudi Arabia Airlines. Usai solat Subuh, ketika membaca ma’thurat, airmata ini tumpah…entah kenapa….
Kami dihidangkan sarapan pagi, omelette, roti, buah, fresh orange. Sempat aku menjenguk ayah dan mak di seat penumpang sebelah sana..dalam hati terdetik..’makan ke ayah ni???’ …risaukan ayah yang banyak pantang..
Kapal terbang sudah mahu berlepas. Doa safar dibacakan. Ahh…Ujian lagi untuk kami…kapal terbang masih belum ‘ok’ rupanya. Kami diminta keluar ke terminal semula. Tunda lagi..2 hari terkandas di KLIA ujian besar untuk diri, malam ke-2 - Palace of the golden horses menjadi penginapan sementara kami, hati digamit-gamit untuk ke tanah suci…air mata sudah tak tertahan lagi, bersungguh2 aku mohon doa agar dimudahkan perjalanan kami ini. Kata ayah, ini ujian utk ke tanah suci, kena banyak sabar….hati tenang.
Alhamdulillah, 25 mei 2007 – kami benar2 terbang, 8 jam 30 minit dari Malaysia ke Jeddah. Berhenti seketika di Riyadh, Arab Saudi.
Di lapangan terbang Jeddah, ayat 9 surah yaasin menjadi teman, agar dimudahkan urusan kami di kaunter
check in nanti. Alhamdulillah, segalanya mudah. Perjalanan dari Jeddah ke Makkah, mengambil masa selama hampir 2 jam dengan menaiki bas.
“ Jeddah ini diambil dari kalimah Arab ‘Jaddah’ yang bermaksud nenek. Dinamakan sempena tempat Hawa tercampak setelah dikeluarkan dari Syurga, sementara Nabi Adam di India”. Mutawif yang membawa kami memberikan penerangan.
Sepanjang jalan kami bertalbiah…
“Labbaikallahummalabbaik…labbaika la syariikala kalabbaik..innal hamda, wanni’mata, laka walmulk, la syarikalak..”
Sudah hampir ke tanah haram, pintu gerbang dengan tulisan ‘HARAM BOUNDARIES BEGIN’ menjadi tanda aras yang memisahkan tanah haram dan tanah halal. Kami sudah masuk ke tanah haram, doa masuk tanah haram dibacakan oleh mutawif. Hati terasa sayu…airmata ini tumpah lagi, doa makin panjang, hujan airmata ini makin lebat, Ya Allah, Engkau terima juga aku menjejakkan kaki ke tanah haram ini…aku datang dengan hati yang berlumuran dosa, untuk memohon keampunan dari MU Ya Rahman….
(bersambung)
najibahmustaffa
kuala lumpur