Najibah's Weblog

Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.

Link Worth

Nur Aqilah Binti Nor Hisham

Written by Najibah Mustaffa on 9:50 PM

Assalamualaikum

Alhamdulillah, syukur
dan puji-pujian selayaknya bagi Allah atas anugerah terindah ini. Kami selamat dikurniakan puteri sulung pada 22 Julai 2009, jam 4.05 petang di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Terlalu banyak yang hendak dikongsikan pengalaman melalui detik bersalin dan menjalani kehidupan baru bergelar ibu. Namun, saya perlu sedikit masa untuk menyesuaikan diri mengurus diri dan anak dalam tempoh berpantang. Insyaallah, cerita-cerita akan menyusul kemudian. Dikongsikan gambar anakanda kami buat tatapan.


Terima kasih atas doa semua dan ucapan-ucapan yang dikirimkan. Jazakumullahu khairan kathiira.

Najibah & Hisham
Kuantan, Pahang



Cerita Hari ini

Written by Najibah Mustaffa on 12:04 PM

Belum Lagi...
Sudah 4 hari overdue. Lagi 2 hari 'masa kecederaan' yang tinggal, dengan harapan saya bersalin sebelum menyerah diri di HTAA pagi 22 Julai (Rabu) nanti untuk IOL. Nampak macam tipis je, sebab sehingga hari ni, saya tak rasa sakit yang major ataupun ada sebarang show. Baby nampaknya masih seronok berulit di alam rahim, masih enggan keluar menjengah dunia meskipun setiap hari ayahnya pujuk supaya keluar cepat. Kata saya pada abang: "sabar, belum masanya dalam takdir Allah untuk dia keluar..".

'House Manager'
Saya sudah mula bercuti dari kerja. Dan, sekiranya belum bersalin sehinggalah Rabu ini, saya masih ada 3 hari untuk menyelesaikan tanggungjawab sebagai house manager yang masih pending. Antaranya:

1. Iron baju dan seluar kerja abang sebanyak mungkin
2. Kemas 3 bilik di tingkat atas.
3. Packing barang-barang saya untuk dibawa balik berpantang di Terengganu nanti.
4. Double-check barang baby untuk bawa balik ke Terengganu.

Bersalin di Terengganu?
Pagi ni, ketika sedang menyediakan nasi goreng untuk sarapan, mak call. Mak mencadangkan saya untuk balik bersalin di Terengganu memandangkan due Rabu ini, masih sempat lagi untuk balik. Hmm, saya serba salah sebenarnya. Sebab abang nak sangat anak sulung kami lahir di Kuantan, jadi anak Pahang. Saya jelaskan kepada mak. Mak tidak memaksa. Katanya, bincanglah dengan abang, kalau abang tak bagi tak apa lah. Hmm...susah juga untuk meraikan permintaan dua-dua insan penting dalam hidup saya ini. Namun, saya perlu lebih meraikan hasrat suami bukan?.

WPU 464 Masuk Bengkel
Sudah sebulan lebih WPU (wira abang) tersadai di depan rumah. Tidak boleh start sebab masalah bateri. Dan pagi ni, dengan bantuan jiran, abang bawa kereta tu ke bengkel. Saya lega, sebab selagi kereta tu bermasalah, selagi itu lah abang not in a good mood bila teringat pasal kereta. Mujurlah ada WRB 8961, myvi comel tu untuk kami ke sana-sini. Moga-moga WPU cepat 'sembuh'.

9 Bulan Membina Bahagia

Written by Najibah Mustaffa on 10:02 AM

Selepas akad nikah: 17 Oktober 2008 (17 Syawal 1429)

Ucapan ringkas dengan tulisan tangan: 'Buat pasangan SAMARA (SAkinah, MAwaddah wa RAhmah), Gus Hisyam dan Kak Jibah' tercatat di muka depan buku "Bawa Hatimu Kepada Tuhan" karya Ustaz Amal .

Saya tersenyum menerima hadiah itu dari Ummu ketika bertemu beliau di Terminal Bas Kuantan. Ini buku ketiga yang dihadiahkan oleh pen
ulis muda berbakat ini kepada kami suami isteri. Terima kasih Ummu!.

Hari ini hari Jumaat bersamaan 17 Julai 2009.

17 Oktober 2008, juga bertepatan hari Jumaat, kami diijabkabulkan selepas solat Isyak. Akad yang disempurnakan suami telah menjadikan
kami suami isteri. Memasuki gerbang perkahwinan dengan 1001 perasaan, harapan, juga impian.

Sudah 9 bulan rupanya. Sebetulnya, terasa masih terlalu baru kami melayari alam rumahtangga. Sedang dalam debaran menunggu kelahiran permata hati kami beberapa hari lagi, Insyaallah.

Dan, pasangan SAMARA yang dinobatkan oleh Ummu kepada kami itu, kami terima sebagai doa, bukan sebagai 'title'. Perjalanan rumahtangga ini masih panjang. Kami baru sahaja memulakan pelayaran, dari tepian pantai yang damai
ke tengah lautan yang bergelora, berbekal sedikit ilmu dan pengalaman yang terus dicari dan dipelajari setiap hari. Dengan harapan, kami selamat untuk tiba ke destinasi. Kami masih belum diuji gelora hebat. Bahtera rumahtangga ini masih belum dipukul badai yang mengganas.

Ya. 9 bulan ini saya dan suami membina bahagia. Dan, sedikit sebanyak kami sudah mula merasai ujian hidup berumahtangga. Sesekali berselisih
pendapat dalam hal itu dan ini kadang-kadang membawa saya merajuk hati, namun alhamdulillah, itu tidak lama. Kerana, saya takut dan bimbang untuk berlama-lama mengikut emosi, bimbang kalau-kalau murka Allah menimpa saya lantaran suami berjauh hati!.

"Beruntung Hisham kahwin dengan enti..". Kata seorang sahabat suami kepada saya.

Namun bagi saya, bila sudah memetrai janji sebagai suami-isteri untuk hidup bersama sehingga ke hujung usia, tidak timbul soal siapa beruntung memiliki siapa. Jawab saya pada sahabat tersebut:

" Dalam perkahwinan, tiada siapa untung, atau sia
pa rugi. Kami sama-sama beruntung. Dipertemukan jodoh dan berusaha ke arah menyempurnakan sebahagian agama. Alhamdulillah, sehingga ini, kami saling melengkapi antara satu sama lain ".

Ya. Saya sendiri terlalu banyak kekurangan, dan selalunya kekurangan itu ditampung oleh dia yang bernama suami. Dia juga bukanlah siapa-siapa. Seperti saya, ada kurang dan lebihnya. Namun, menyedari dia sebagai imam dalam rumahtangga kami, hati saya sentiasa lunak untuk menerima 'didikannya' saban hari.

Di sebalik minatnya pada Kamen Rider, Ultraman, Transformers, novel dan cerita fiksyen, siri penyiasatan.. yang turut sama 'mengheret' say
a ke 'dunia' itu, selalu sahaja ada tegurannya yang membekas di hati saya. Adakala tegurannya sedikit menghiris rasa menyebabkan saya mengambil masa yang lama untuk menerima, dan adakala teguran itu membuatkan saya menitis airmata lantaran bersyukur kerana ada yang ingin memperbaiki kelemahan diri saya.

Ya Allah, hambaMU ini mensyukuri nikmat perkahwinan ini. Sering saya katakan kepada adik-adik Anjung Zahra' yang sering bertanya itu dan ini tentang perkahwinan yang mungkin masih misteri bagi mereka.

Perkahwinan ini tidak semuanya indah belaka. Ada musim bahagia yang menenangkan jiwa dan ada juga musim derita yang menggoncang rasa.
Semua itu perlu dilalui dengan iman dan kefahaman. Berbekalkan pedoman dan panduan kita sebagai insan beragama.

9 bulan ini masih terlalu baru. Kami perlu terus berdoa agar rumahtangga ini sentiasa diredhai Allah. Agar cinta dan kasih-sayang yang terhimpun dalam sebuah akad yang sah ini memberi kami kekuatan untuk terus memperbaiki diri menuju jalan ke taman nan indah. Cinta dan Syurga Allah!.

Doakan kami.

17 Julai 2009
Jumaat
10.51 am.

Kita Layak Diuji

Written by Najibah Mustaffa on 12:41 PM

Hari ini check-up bagi minggu ke-40 kehamilan. 'Overdue' nampaknya menjadi kenyataan. Namun, saya tenang-tenang sahaja. Mungkin kerana seawal pagi ketika menunggu giliran, saya mohon tenang dan kekuatan daripada Allah, sambil bibir mengalunkan ma'thurat dan zikir doa nabi yunus.

Ya. Menanti detik bersalin bagi kehamilan pertama seperti saya memang mencemaskan. Macam-macam terlintas di fikiran. Namun, menginsafi bahawa selagi bergelar manusia, kita layak diuji oleh Allah yang maha kaya, hati saya tenang. Bukankah di sebalik ujian itu ada 1001 hikmah dan pengajaran bagi mereka yang beriman?

Seperti yang dijangka, bayi kami masih belum turun (engage) walaupun kedudukan sudah berada di posisi yang betul (cephalic). Pemeriksaan degup jantung, placenta (uri), amniotic fluid (air ketuban) dan lain-lain... alhamdulillah, semuanya normal. Bayi kami nampaknya masih seronok berulit di alam rahim. Dalam takdir Allah, belum sampai masanya untuk dia menjengah dunia.

Saya meminta kepastian daripada doktor apakah yang menyebabkan bayi masih belum engage? Kata Dr. Najah, biasanya disebabkan masalah saiz bayi yang besar atau ibu tidak cukup tinggi di mana kepala bayi tidak boleh masuk dalam ruang pelvik ibu. Walau bagaimanapun, ketinggian saya adalah normal dan berat bayi dianggarkan dalam 2.8 kg sahaja. Tiada masalah di situ.

EDD baru ialah pada 22 Julai 2009. Sekiranya sampai tempoh tersebut masih belum bersalin, saya terpaksa 'menyerah diri' untuk Induction of Labor (IOL). Harapan untuk bersalin normal masih ada (sudah pasti c-sect, forcep dan vacuum bukan pilihan saya), melainkan jika berlaku sebarang komplikasi pada ibu dan bayi ketika di labor room nanti.

Saya dan suami masih berharap bayi kami ini keluar sebelum tarikh tersebut. Ya, terlalu berharap. Dan seiring dengan pengharapan itu, kami berusaha apa yang terdaya. Solat hajat, membaca zikir dan doa tertentu dan diusap pada perut, terus berkomunikasi dengan si kecil ini, banyakkan berjalan, posisi rukuk dan sujud, selain hati yang bulat pengharapan pada Allah, juga keyakinan bahawa DIA tidak akan mensia-siakan doa hamba-NYA yang meminta.

Namun, dalam hati kecil juga diletakkan sedikit ruang, andai selepas berusaha, Allah mentakdirkan bayi kami tidak lahir secara normal, redha dan berlapang dada itu lah yang sebaiknya.

Cuma, saya terus memohon kekuatan agar dipermudahkan segalanya. Amin Ya Rabbal 'Alamin. Hanya Dia yang maha mengetahui kelemahan saya, dan semoga saya tidak diuji dengan apa yang saya tidak mampu ketika berdepan dengan saat itu nanti.

Doakan saya.

14 Julai 2009
Kuantan, Pahang


Kembali Bertugas

Written by Najibah Mustaffa on 12:04 PM

Assalamualaikum

Hari ini saya kembali ke pejabat seperti biasa, setelah bercuti selama 4 hari minggu lepas. Walaupun pagi tadi hampir-hampir saya 'kalah' dengan rasa sakit seluruh badan sejak semalam dan braxton hicks (false alarm) yang makin menjadi-jadi, ingin saja ambil MC. Tapi, saya paksa juga diri untuk ke pejabat kerana:

1. Ada beberapa perkara yang perlu diuruskan sebelum cuti bersalin.
2. Urusan hand over tugas kepada pensyarah baru yang menggantikan saya ketika cuti bersalin nanti.
3. Bosan duduk di rumah
4. Perlu ke private untuk dapatkan MC. Rupa-rupanya Govt. ni sangat susah untuk dapatkan MC. Bak kata suami, sakit sampai muka 'lusuh' pun tak dapat jugak MC.

Sampai di pejabat, ramai terkejut kerana saya masih belum bersalin. Sangkaan mereka, saya sudah bersalin!

Hmm..hari ini usia kandungan saya sudah 39 minggu 6 hari. Esok, appointment dengan doktor. Kalau ikutkan EDD dalam buku merah (bagi mereka yang check-up di klinik kerajaan), tarikh jangkaan bersalin saya adalah 15 Julai 2009. Namun, berdasarkan scan terbaru ketika usia kandungan 7 bulan, EDD saya ialah pada 23 Julai 2009.

Entah bila si kecil ni nak menjengah dunia. Yang pastinya, hati saya tenang-tenang sahaja, selepas sedikit cuak minggu lepas. Ya, siapa yang tidak pernah merasa tewas sebegini?. Namun, beberapa hari ini, saya tenang sahaja..menanti saat dan ketikanya bergelar ibu. Kerana, saya meyakini, tarikh dan masa kelahiran bayi saya sudah ada termaktub dalam perancangan Allah. Saya dan suami (juga orang lain mungkin) hanya perlu menunggu dengan sabar dan tenang.

Terima kasih pada sahabat-sahabat yang prihatin. berkongsi tips itu dan ini, dan buat yang bertanya khabar. Saya amat menghargai kalian. Dan, semua tips, doa, nasihat, semua itu berbekas di hati saya.

Sharing is caring!

Najibah
13 Julai 2009; 12.18 pm
Kuantan, Pahang

Secebis Tenang Dari Ar-Rahman

Written by Najibah Mustaffa on 1:24 PM


Assalamualaikum w.b.t

Hari Jumaat yang tenang dan membahagiakan. Sudah 4 hari saya bercuti (dapat MC). Berehat di rumah di penghujung kehamilan ini bukanlah pilihan utama, memandangkan saya bosan bersendirian di rumah. Namun, kondisi diri membuatkan saya akur untuk berehat, menanti saat-saat permata hati menjengah dunia.

Di rumah, rutin biasa saya adalah mengemas rumah, membasuh baju, memasak dan melayari internet. Mengemas rumah seadanya, walaupun ikutkan hati nak mengalih, mengangkat itu dan ini, namun pesan ramai orang membuatkan saya berhati-hati.

Memasak juga seadanya, bila teringin nak makan sesuatu, saya akan masak. Semalam, teringin makan pajeri nenas, berkebetulan nenas yang ditanam di belakang rumah sudah masak, akhirnya ia menjadi juadah kami suami isteri petang semalam, dimakan bersama ikan panggang dan ulam kacang panjang serta sambal belacan.

Dan, tengahari ini, menu kami adalah ikan tongkol masak kicap dan sayur kacang panjang goreng. Alhamdulillah.

Hmm, entri saya sebelum ini "Resah di 39 Minggu" mengundang respons dari ramai sahabat. Ada yang meninggalkan komen di blog saya menitipkan kata-kata semangat dan ada yang call dan SMS setelah membaca blog. Terima kasih kerana menjadi teman yang menenangkan. Dan, terima kasih atas nasihat, tips dan doa.

Sebetulnya, ketika entri tersebut ditulis, saya benar-benar sedih. Kecamuk perasaan barangkali. Namun, setelah mengadu segala sedih dan kerisauan pada Rabbul Jalil, hati ini tenang kembali. Alhamdulillah, secebis tenang dari Ar-Rahman memberikan saya kekuatan. Pesan pada diri, tiada apa yang perlu dirisaukan, kerana saya beriman dengan firman Allah ini:


Maksudnya:
Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

(At-Talaq: 2-3)

Ayat Seribu Dinar ini menghembus ketenangan dalam diri. Saya yakin, Allah mengocak sedikit perasaan saya ketika ini kerana ada hikmah yang tersembunyi. DIA ingin mengajar saya erti tawakkal kepada-NYA, juga 'menggesa' saya untuk terus berdoa, merayu dan merayu pada-NYA agar dipermudahkan segala urusan.

Alhamdulillahi 'ala kulli haal. Saya terus memohon doa sahabat, agar segalanya dipermudahkan. Amin Ya Rabbal 'alamin.


Najibah
10 Julai 2009 - 1.32 pm
Jumaat
Kuantan, Pahang

Resah di 39 minggu

Written by Najibah Mustaffa on 11:13 AM

Assalamualaikum

Cuaca hari ni mendung. Sama seperti perasaan saya, yang juga mendung..suram. Pagi tadi check-up untuk 39 minggu.

" Kepala baby belum engage lagi..sepatutnya 36 minggu dah engage. ". Kata Kak Maria, jururawat yang memeriksa saya. Dia minta saya tunggu sekejap untuk bertanya doktor tentang perkara tersebut.

" Kalau kepala tak engage, mungkin bersalin nanti perlu 'dibantu'.." Ujar Kak Maria lagi.

Air muka saya berubah. Terbayang kaedah-kaedah 'bantuan' yang pernah saya baca dalam majalah Pa & Ma dan carian di internet.

Kaki melangkah longlai ke pejabat abang. Saya resah. Due hanya seminggu lagi, dan masih belum ada tanda untuk bersalin walaupun sakit-sakit sudah terasa.

Sampai di pejabat abang hampir 9.00 pagi. Abang ada kes. Saya penat untuk menunggu sehingga abang selesai. Saya minta kunci kereta dan memandu sendirian pulang ke rumah. Airmata saya bergenang. Dan, sampai di rumah, saya berwudhu' dan menunaikan solat sunat taubat dan solat hajat. Saya yakin, Allah sahaja yang boleh bantu, bantu tenangkan perasaan saya dan mudahkan saya untuk bersalin nanti.

Saya adukan keresahan hati saya pada Allah yang maha mendengar. Entah mengapa, saya begitu lemah hari ini. Airmata mengalir laju di saat berdoa kepada Rabbul Jalil. Terasa diri ini begitu lemah, begitu banyak dosa...dan dengan rasa diri yang begitu kerdil dan hina, saya memohon agar Allah mudahkan kelahiran permata hati kami ini.

Saya tenang. Namun, airmata tumpah lagi bila abang telefon dari pejabat. Saya tidak boleh bercerita panjang.

Lemahnya saya bukan?

Aku Ingin Mencintai-MU

Written by Najibah Mustaffa on 11:02 AM




Aku Ingin Mencintai-MU (EdCoustic)

Tuhan betapa aku malu
Atas semua yang Kau beri
Padahal diriku terlalu sering membuatMU kecewa
Entah mungkin karna ku terlena
Sementara Engkau beri aku kesempatan berulang kali
Agar aku kembali
Dalam fitrahku sebagai manusia
Untuk menghambakanMU
Betapa tak ada apa-apanya aku dihadapanMU
Aku ingin mencintaiMU setulusnya,
Sebenar-benar aku cinta
Dalam do’a
Dalam ucapan
Dalam setiap langkahku
Aku ingin mendekatiMU selamanya
Sehina apapun diriku
Kuberharap untuk bertemu denganMU ya Rabbi
Aku ingin mencintaiMu ya Rabb…maka izinkanlah…..

4 Julai 2009

Written by Najibah Mustaffa on 11:35 AM

Assalamualaikum
4 Julai 2009: Hari penuh bahagia. Mudah-mudahan rahmat Allah selamanya menaungi kita.

Tahniah Mama dan Baba!
" Alhamdulillah, kami telah dikurnia puteri sulung pada jam 12.03 am di An-Nur, Bangi. Terima kasih atas doa. -Ramadhan Fitri ".

SMS yang masuk ke inbox saya pada jam 12.30 pagi ini membawa berita gembira. Saya yang agak susah untuk melelapkan mata, resah kerana memikirkan Dijah yang sedang 'berjuang' untuk bersalin lantas mengucap syukur.

Alhamdulillah, dimudahkan segalanya. Dijah bersalin normal. Kami mengharungi tempoh kehamilan bersama, berkongsi cerita, pengalaman dan tips-tips untuk menempuh saat yang mendebarkan ini. Terasa ukhuwwah makin erat. Dan, giliran saya pula selepas ini.

Tahniah Mama dan Baba!

Semoga Bertemu...
Selamat Ulangtahun Kelahiran ke-27 buat sahabat akrab - Siti Syazwani. SMS saya kepada beliau di subuh hari 4 Julai 2009:

" Saya doakan Allah mudahkan segala urusan awak, dikurniakan segala yang terbaik dalam hidup di dunia dan akhirat dan mengurniakan awak dengan lelaki soleh dan musleh yang bahagiakan awak sampai ke syurga. "

Dalam hati kecil seorang sahabat, saya mendoakan yang terbaik untuk 'the iron lady' ini. Semoga, Allah terus mengirim kekuatan buatnya.

Membesar Dalam Iman.
Hari ini juga, merupakan ulangtahun kelahiran adik bongsu saya (Muhammad Ikhwan) yang ke-10.

Adik, semoga membesar dalam iman. Besar cita-cita saya, agar adik yang satu ini menjadi ustaz dan hafaz al-qur'an, semoga menjadi penawar dalam keluarga dan syafa'at di hari akhirat nanti.

Teringat beberapa ketika dulu:

"Adik dah besar nanti jadi ustaz ye? " .

" Tak mboh! Adik nok jadi polis GERAK KHAS!"

Terasa geli hati. Adik saya memang peminat setia rancangan tersebut. Sehingga mempengaruhi cita-citanya..:-)

Larut Dalam Cinta & Seruan Sinis!

Written by Najibah Mustaffa on 1:01 PM

Assalamualaikum

Saya kini larut dalam cinta. Hanyut bersama bait-bait indah karya Kang Abik dalam novel Ketika Cinta Bertasbih 1...dan kini saya sedang menghabiskan Ketika Cinta Bertasbih 2. Walaupun novel ini sudah lama diterbitkan, namun hanya kini saya tertarik untuk membacanya kerana didorong oleh suami.

Novel yang membawa saya menghayati bukan sahaja erti cinta sesama manusia, bahkan lebih dari itu, cinta pada Allah yang maha Esa. Cinta yang perlu disuburkan sentiasa, dengan qiyam, rukuk dan sujud kita, pada manisnya khusyuk tika beribadah , pada butir-butir tasbih di bibir yang sentiasa mengalun zikir...pada rasa syukur yang kian bertambah..segala-galanya!.

Sambil membaca, saya memuhasabah diri. Perasaan yang sama hadir ketika saya menghayati novel Ayat-ayat Cinta dua tahun yang lalu.

Cuma, perasaan saya sedikit terhenyak dengan komen seseorang di FB gara-gara status saya yang dipaparkan:

" Selesai Ketika Cinta Bertasbih 1..sedang menyambung KCB 2...lepas ni Laskar Pelangi pulak, pastu Sang Pemimpi...(demam membaca novel melanda kami suami-isteri..) "

Komen seseorang itu (yang tidak saya kenali):

" Tak rasa demam nak baca Al-Quran ke? Dlm tu lg sarat dgn crita n pengajaran. True stories plak tu. Sy ni nak baca KitabuLlah pun x brapa sempat. Novel2 jauh skali"

Kategori apa komen sebegini?

Untuk mengingatkan saya bahawa baca al-Qur'an itu lebih afdhal?
Untuk memberitahu saya bahawa membaca novel membuang masa?
Untuk 'menyedarkan' saya bahawa masa itu emas?
Untuk...dan untuk..dan untuk...

Entah..saya sukar menafsirkan. Cuma, perasaan saya terhenyak.

Seandainya saya ini mad'u (golongan sasaran yang diseru kepada kebaikan Islam), saya tidak akan terasa tertarik dengan 'seruan' yang menggunakan cara dan bahasa sedemikian. Entah, 'seruan' yang penuh sinis!

Saya menjawab semula komen tersebut dengan membuang emosi jauh-jauh:

" Insyaallah, setiap dari kita ada amalan harian sbg supplemen jiwa. Cuma, rasanya tidak perlu dihighlight dlm FB ni. Dan, ISLAM ni agama yg penuh dgn hikmah dan pengajaran. Hikmah dan pengajaran itu ada yg boleh kita dapat dari al-Qur'an, sunnah dan sirah..juga dari novel-novel yg membangun jiwa. Dan, mungkin cerita-cerita di televisyen...alhamdulillah, Allah masih mengurniakan saya masa untuk itu. Syukran atas peringatan."

Maaf. Saya memang sangat teliti dan sensitif dengan 'bahasa' yang digunakan. Ingatan ini untuk saya dan sahabt-sahabat juga,supaya sentiasa menjaga adab dalam berbahasa..

Pesan baginda kepada kita:

Dari Abdullah bin 'Amr bin 'Ash r.a. katanya, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, "Orang Islam yang bagaimanakah yang paling baik?" Jawab Rasulullah SAW, "Ialah orang-orang yang menjaga orang-orang Islam lainnya dari bencana lidah dan perbuatannya." (Sahih Muslim)

Kerana pulut santan binasa,
Kerana mulut..mungkin membuah dosa!

Najibah
3 Julai 2009
1.22 pm
Kuantan, Pahang



Berubah Kerana DIA

Written by Najibah Mustaffa on 11:15 AM

" Enti, Siti tak pakai tudung dah ye? ". Tanya Mastura kepada saya melalui YM tempohari.

Gambar-gambar penyanyi tersohor itu ketika berlangsungnya konsert beliau baru-baru ini mengiyakan pertanyaan tersebut.

" Hmm..dia pakai tudung sebab berjanji dengan peminat....". Saya menjawab ringkas. Masih terbayang manisnya Hajjah Siti ini bertudung secara sempurna ketika mengerjakan haji bersama suaminya tak lama dulu.

Niat Permulaan Amal
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”

Hadis ini jelas menyatakan kepada ketika, setiap amalan yang dilakukan adalah bermula dengan niat.

Saya tidak punyai kuasa untuk mengetahui 'niat' Siti di sebalik perubahannya memakai tudung tidak lama dahulu. Namun, pernah terbaca kenyataan bahawa beliau akan bertudung selepas mengerjakan haji sepertimana yang pernah dijanjikannya dengan peminat.
Industri hiburan tidak pernah sunyi dari kisah 'penghijrahan' artis-artis daripada zaman gelap kepada jalan cerah dan hidayah. Masih segar dalam ingatan saya, Fauziah Ahmad Daud @ Kak Ogy ketika kemunculan pertamanya dalam rancangan Melodi sejurus pulang dari mengerjakan umrah beberapa tahun dulu...satu perubahan drastik! Auratnya ditutup sempurna, tangisan sebaknya masih terngiang-ngiang di telinga, betapa beliau menghargai hidayah yang diberikan Allah kepadanya ketika berada di Mekah.

Namun, itu dulu. Kini? Perubahannya anda boleh lihat sendiri.

Saya bukan menghentam artis yang membuat perubahan kemudiannya tidak kekal dengan perubahan tersebut. Namun, ia menjadi peringatan yang besar buat kita semua...yang sudah pasti tidak terlepas dari 'ujian' ini.

Kerana apa kita berubah? Kerana siapa kita berubah? Soalan ini perlu ditanyakan pada diri. Jika kita berubah kerana manusia, hasilnya sudah tentu tidak lama. Kerana perubahan itu tidak jitu.

Namun, jika kita berubah kerana DIA, Allah yang Maha Besar. Insya 'allah, perubahan itu akan kekal selamanya, dengan syarat 'Hidayah' yang diberikan Allah itu dipelihara dengan sebaiknya. Dibajai dan disuburkan dengan amalan yang ahsan.

Hidayah Bukan Selamanya Milik Kita
Hidayah Allah tidak dijamin kekal selamanya. Ia boleh datang dan pergi. Ada orang yang beriman di sebelah pagi, namun kembali kufur di sebelah petangnya. Semudah itu hidayah boleh menjauh dari diri kita!.

Oleh itu, kita dituntut untuk berdoa saban hari, saban waktu agar tidak dipalingkan hati daripada mengingati Allah, agar tidak tergelincir dari jalan hidayah.



Maksudnya :

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau gelincirkan hati-hati kami sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami dan kurniakanlah bagi kami rahmat daripada-Mu, Sesungguhnya Engkau amat mengurniakan.

Iktibar Kisah Muhaajir Ummu Qais

Hadis berkenaan niat di atas ada kisah di sebaliknya. Para ulama’ menceritakan bahawa terdapat seorang sahabat yang berhijrah dari Makkah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawarrah bukan kerana menyahut seruan ALLAH s.w.t dan RasulNya, tetapi kerana ingin berkahwin dengan seorang wanita bernama Ummu Qais.

Wanita tersebut telah mensyaratkan kepada sahabat berkenaan supaya berhijrah ke Madinah jika ingin mengahwininya. Ekoran peristiwa tersebut, sahabat itu di kenali sebagai Muhaajir Ummu Qais yang bermaksud ‘orang yang berhijrah kerana Ummu Qais’.

Manusia Sebagai Asbab Perubahan
Cara Allah memberi hidayah kepada hamba-hambanya berbeza dan pelbagai. Ada yang Allah berikan hidayah secara terus ke hatinya, ada yang mendapat hidayah kerana berlaku sesuatu peristiwa dalam hidupnya, dan ada manusia yang mendapat hidayah kerana melihat kebaikan dan akhlak manusia lainnya.

Contoh terdekat ialah bagaimana dengan akhlak dan keperibadian Rasulullah s.a.w yang mulia itu, masyarakat Arab Jahiliyyah yang sejak sekian lama hidup dalam kejahilan boleh terpesona dengan baginda yang digelar Al-Amin itu, lantas ramai yang memeluk agama Islam!.

Dan, dalam kehidupan seharian kita, perkara itu sering berlaku bukan?

Isteri berubah kerana suami..
Sahabat berubah kerana sahabat...
Rakyat berubah kerana pemimpin..

Segala-galanya mungkin. Namun, perlu diawasi 'hati' bagi yang berubah asbabnya manusia. Bimbang perubahan itu 100% kerana manusia tadi. Bukan lagi kerana Allah yang telah menggerakkan hatinya untuk mencontohi individu tersebut.

Umpama yang sering berlaku dalam percintaan 'anta anti'.

Si perempuan berubah menjadi solehah kerana terpesona dengan si lelaki. Yang bagus ilmunya, bagus akhlaknya, sempurna solatnya. Namun, tanpa disedari, perubahan itu tidak dihubungkan kepada Allah, dia berubah hanya semata-mata tertarik dengan lelaki tersebut.

Niatnya sudah beralih.

Jagalah Hati
Hati ibarat ejen perubahan. Untuk berubah ke arah kebaikan, hati perlu dibaiki terlebih dahulu. Namun, hati itu sifatnya sangat terseni, dan teramat sulit untuk dipelihara dan dijaga.

Menyedari hati juga bukan milik kita, sebagaimana hidayah. Kita perlu kembali Allah yang memiliki hati, agar sentiasa memberi kekuatan kepada kita untuk menjaganya...agar nanti, kita pulang bertemu Allah denganmembawa hati yang sejahtera (Qalbun Salim).

Firman Allah SWT di dalam surah al-Shu’araa’ [88-89]:

“Hari (Akhirat adalah hari) yang tidak bermanfaat lagi harta mahu pun anak pinak. Kecuali seseorang yang datang kepada Allah dengan membawa hati yang sejahtera”.

Ingatan dan muhasabah buat diri ini yang sering lupa dan alpa..
dan anda juga...

kerana..AGAMA ITU NASIHAT.

Najibah
2 Julai 2009
12.15 pm
Kuantan, Pahang


38 Weeks. Counting Days.....

Written by Najibah Mustaffa on 12:26 PM

Assalamualaikum..

"Hmm..bila baby nak keluar ni?". Terasa tidak sabar. Musim seram, takut, suspen, cuak yang saya rasakan beberapa minggu yang lalu mudah-mudahan berakhir. Saya ingin tenang-tenang sahaja menanti saat kelahiran si permata hati. Tidak mahu hati dan fikiran runsing. Mengambil iktibar dan pesan sahabat-sahabat dan kakak-kakak di pejabat yang terlebih dahulu menempuh pengalaman yang 'istimewa' itu. Tenang, kuat semangat dan positif!.

Kata seorang kakak, sakit ketika bersalin memang tak terlupakan..namun, kepuasan melihat wajah anak sendiri selepas bergelut dengan kesakitan itu lebih membahagiakan. Dan, sakit itu sebenarnya penghapus dosa. Di saat menempuh kesakitan, rasailah ia sebagai kaffarah dosa-dosa kita selama ini, yang mungkin sudah menggunung tinggi!.

Saya kutip semangat dan mengumpul kekuatan, di celah-celah kesakitan di sana-sini yang makin acap dirasakan. Perasaan negatif cuba dibuang jauh-jauh.

Mungkin bagi sesetengah orang, pelik..mengapa saya terlalu 'stress' menghadapi saat bersalin nanti. Hmm..saya pun terfikir, kenapa ye? Sedangkan ianya proses biasa yang dilalui oleh setiap wanita yang bergelar ibu. Cuma, lain orang lain situasinya.

Sebenarnya, saya memang begini. Setiap perkara baru dan besar dalam hidup, saya akan terlalu memikirkannya. Perasaan ini lebih kurang sama seperti ketika saya ingin memulakan kerja di tempat baru, begitu juga ketika di ambang perkahwinan tidak lama dahulu. Suatu 'penyakit' yang sukar diubah.

Tentunya Mastura akan gelak sakan melihat saya (dan juga Khadijah) 'study' bagai nak rak sebagai persiapan untuk bersalin. Macam nak menempuh exam pulak!. Cuma tak buat latih tubi je..:-)

Dan, di usia kandungan sudah mencecah 38 minggu , sudah pastinya saya perlu bersedia. Bila-bila masa sahaja!. Kakak-kakak di pejabat ramai yang rajin membuat andaian..katanya 'perut awak dah turun..tak lama dah tu..'. Saya hanya tersenyum.

Kipas comel yang sedikit meredakan kepanasan di pejabat

Dan, saya sekarang ini mengalami kepanasan yang amat. Aircond yang terpasang sudah tidak terasa apa-apa, dan sebagai inisiatif, saya menggunakan USB Fan yang disambung ke laptop untuk menyejukkan badan. Sudahlah meja saya di hadapan sekali, setiap kakitangan yang lalu, pasti menegur 'kipas' comel saya tu.

Check-up untuk 38 minggu pagi tadi, alhamdulillah..semua OK. Syukur, bengkak kaki sudah tiada. Cuma sedikit bengkak dan kebas jari, menyebabkan cincin kahwin sudah tidak muat. Kedudukan bayi juga OK, Cephalic.

Cuma, sekarang ini saya sudah tidak lagi boleh bersolat sambil berdiri lantaran ketidakmampuan kaki dan juga saiz perut yang menyukarkan saya untuk berdiri semula selepas duduk setiap rakaat. Berdiri hanya ketika mengangkat takbiratul ihram kerana qiyam itu rukun solat (bagi yang mampu).

Saya juga agak ralat (dan sedih sebenarnya) kerana masih tidak mampu menghabiskan puasa qadha' Ramadhan yang lepas lantaran bilangan hari yang ditinggalkan agak banyak, dan proses penggantian puasa yang slow kerana alahan dan masalah HB rendah dan kurang darah yang saya alami. Saya pernah cuba berpuasa beberapa hari sepanjang kehamilan, dan ia mengakibatkan saya hampir pitam beberapa kali dan pergerakan bayi juga kurang aktif. Saya dinasihatkan supaya tidak berpuasa kerana bimbangkan keadaan bayi. Meskipun jauh di sudut hati saya, rasa ralat sangat dengan semua ini. Allahummaghfirli.....di atas ketidakmampuan ini.

Saya dan suami sedang runsing memikirkan untuk mencari pengasuh atau nurseri untuk menjaga anak selepas saya kembali bekerja nanti. Sehingga kini belum jumpa orangnya yang sesuai. Perlu terus mencari. Agak susah di Kuantan, kerana kami tidak kenal siapa-siapa. Perlu bertanya di sana-sini.

Sahabat-sahabat, mohon didoakan saya, dan juga sahabat akrab - Khadijah yang sedang menghitung hari. Andai ada tersalah silap kami, mohon dimaafkan. Bimbang ada dosa dengan manusia lantaran terlanjur bicara dan sebagainya.

Alhamdulillahi 'ala kulli haal. Rabbana yassir wala tu'assir. Semoga diringankan dan dipermudahkan segalanya. Amin Ya Rabbal 'alamin.

Perjalanan hidup ini sebentar cuma. Manfaatkan masa sepanjang usia. Tempatmu sebagai anak, jadilah anak yang solehah. Tempatmu sebagai isteri, jadilah bidadari yang membahagiakan suami. Tempatmu sebagai ibu, berusahalah menjadi ibu mithali mendidik generasi rabbani. Tempatmu sebagai insan..jadilah manusia yang berbakti.. Dan sudah pasti, tempatmu sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakan, sedarilah...KITA INI HANYA DI TARAF HAMBA. Carilah seberapa banyak bekal untuk dibawa pulang..ke sana.

Islamic Calendar